Home > Menu > Karya > Artikel > Pergaulan (Ikhtilat) Dalam Islam

Pergaulan (Ikhtilat) Dalam Islam

Umat Islam bukan sahaja umat yang terpilih, malahan insan yang bertuah kerana diutuskan Nabi Muhammad S.A.W.

Antara kelebihan kita dijadikan ummat Rasulullah ialah dengan turunnya wahyu yang menjelaskan pelbagai syariat dan batasan hukum sebagai langkah keselamatan dan untuk mendidik jiwa mukminin baik dari segi lahiriah mahupun batiniah.

Maka pada kali ini, syariat pilihan yang ingin dibincangkan ialah mengenai IKHTILAT.

Ikhtilat bererti PERCAMPURAN. Dan apa yang dimaksudkan ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ikhtilat terbahagi kepada 2 bahagian, ikhtilat mengikut syariat dan tidak mengikut syariat.

Disini saya coretkan beberapa pengalaman daripada seorang mahasiswa timur tengah. Namanya Abdullah.

Beliau berasal dari Kedah dan mengenali istilah ikhtilat semenjak dari zaman sekolah lagi. Lengkap dengan definisi dan penerangan. Namun, beliau mula diberi peluang untuk mempraktikkannya sewaktu bermusafir di sebuah negara bukan Islam, Australia.

Kagum dengan ajaran Islam di sana, pengalaman pertamanya menyaksikan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah dari program-program yang beliau sertai. Adanya penghadang tirai antara peserta yang berlainan jantina. Aktiviti yang perlu diasingkan, sememangnya akan diasingkan. Jangankan mengintai, bilangan mereka disebalik tirai pun tidak dapat diagak.

Rasa ‘selamat’ dengan atur cara begini, mengingatkan beliau dengan isi penyampaian Loon, seorang bekas penyanyi rap, yang sering bergandingan dengan Usher. Loon merupakan seorang muallaf. Nama Islamnya Amir Junaid Muhadith. Beliau dijemput hadir ke program yang turut Abdullah sertai.

Antara ucapan awalnya, “Islam adalah agama pelindung, kemana kamu pergi, ia akan sentiasa membenteng kamu supaya tidak tersasar dari landasan fitrah. Begitu juga hubungan sesama manusia. Jika Allah tidak menurunkan syariatNya, pasti manusia terus hanyut dalam pergaulan yang tidak berbatas.”

Begitulah antara petikan dari Amir Junaid Muhadith.

Selain itu, Abdullah turut menyelitkan pengalamannya ketika mengikuti program di AMYN Centre, sebuah penempatan bagi Muslim di Brisbane. Syeikh Aslam adalah tuan guru yang selalu memberi tazkirah di sana. Abdullah berpeluang menghadiri dua slot iaitu Reading Riyadus-Saliheen dan Arabic Class. Setiap kali program berlangsung, para wanita akan berada di tingkat atas dan lelaki akan berada di tingkat bawah. Wanita hanya mengikuti program melalui skrin besar di tingkat atas.Segala perkara berkaitan teknikal pembesar suara dan acara dewan di bahagian  wanita disiapkan sebelum program bermula. Kebiasaannya, adik ipar Syeikh Haslam, Syeikh Yusuf yang menguruskannya. Antara sifat mulia yang ada pada Syeikh Yusuf adalah beliau sangat menjaga pandangan dan ikhtilat. Jarang sekali beliau mengerling atau memandang wanita yang hadir dalam majlis itu. 

Abdullah meneruskan lagi, sekiranya dewan wanita ada masalah berkaitan teknikal, Syeikh Yusuf akan menelefon isterinya, Syeikhah Hasleena untuk mengesahkan. Tiada wanita lain sebagai perantara. Jika benar benar bermasalah, barulah Syeikh Yusuf akan naik ke atas untuk membetulkannya.

Dari situ Abdullah belajar betapa pentingnya penglibatan suami isteri dalam aktiviti dakwah. Mereka akan menjadi penghubung komunikasi dan seterusnya menjaga ikhtilat antara lelaki dan wanita yang hadir dalam majlis itu. Bukanlah saya ingin mengatakan program di Malaysia tiada semua ini. Ada. Malahan semenjak di bangku sekolah lagi kita diajar tentang batasan pergaulan lelaki dan perempuan. Contoh paling mudah adalah sewaktu di lapangan perhimpunan sekolah, pelajar lelaki dan perempuan diasingkan menjadi dua kumpulan. Maka ia dapat mengurangkan risiko sosialisme. 

Sedikit pesanan yang dapat dikongsi bersama, sebagai pelajar yang terpilih untuk menuntut ilmu di Mesir, sewajarnya kita menjadi contoh kepada mahasiswa Malaysia di negara lain dalam menjaga batas pergaulan. Dewasa ini, banyak fenomena serta pandangan negatif yang dilontarkan terhadap mahasiswa Mesir kerana mula menghidupkan bunga bunga ikhtilat tidak syar’ie. Berdua-duaan di khalayak ramai, di Kafetaria, di perpustakaan kini menjadi kebiasaan. Barah ini seharusnya di sekat segera dari terus menular ke generasi seterusnya. Bimbang akan merosakkan bi’ah solehah yang sekian lama bertapak sempurna di bumi Mesir amnya, dan Zagazig khususnya. 

Alang-alang berkisah tentang ikhtilat, saya sertakan sedikit panduan berinteraksi antara lelaki dan perempuan :

 1) Niat kerana Allah.

 2) Matlamat melibatkan perkara yang perlu sahaja dan diharuskan di dalam Islam, contohnya perubatan, pembelajaran serta pengurusan yang bertepatan dengan syara’.

 3) Cara suara dan gerak geri mempunyai peranan utama di dalam berinteraksi, samada secara fizikal atau melalui alat-alat komunikasi. Matlamat tidak menghalalkan cara. Garis panduan asas mesti sentiasa diikuti, antaranya termasuklah :

  • menjaga pandangan
  • memelihara aurat
  • bersuara dengan intonasi yang formal atau yang sepatutnya
  • mengawal gerak geri agar berpadanan dengan tujuan
  • bertutur dengan perkara yang perlu sahaja

 Semoga kita semua dapat mematuhi garis garis panduan yang Allah telah tetapkan agar hidup kekal bahagia dalam landasan iman dan Islam, inshaAllah.

 

Disediakan oleh :

Nurul Saidatul Husna Binti Mohamad Ab Karim

Tahun 5 Perubatan, Universiti Zagazig.

Tinggalkan komen anda