Home > Menu > Karya > Artikel > Wanita @ Akhawat haram keluar rumah?

Wanita @ Akhawat haram keluar rumah?

Wanita masa kini tidak lagi hanya berada  di dapur atau membuat kerja rumah, menjaga anak dan menguruskan rumahtangga sahaja. Namun, kaum wanita kini turut keluar bersama-sama dengan kaum lelaki bagi menyumbang dalam pelbagai bidang dan ruang.  Apabila kita teliti ayat 33 Surah Al-Ahzab, wanita diminta tetap tinggal di rumah. Justeru, apakah sebenarnya hukum wanita keluar rumah?

{قال الله تعالى : {وَقَرۡنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَ

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu” (Al-Ahzab : 33)

Adakah pengkhususan ayat di atas hanya pada isteri-isteri Rasulullah S.A.W  sahaja?
Apakah hukumnya wanita keluar rumah? Sebagai contoh, wanita tersebut keluar rumah untuk ke masjid atau bagi memenuhi suatu keperluan. Adakah ia juga perlu diambil kira dan bagaimana hukumnya pada masa kini?

Ayat di atas tidak hanya khusus untuk isteri-isteri Nabi Muhammad S.A.W sahaja, akan tetapi ianya ditujukan umum buat semua wanita mukmin. Pada awalnya, ayat tersebut diturunkan kepada para isteri baginda. Namun begitu, hukumnya mencakupi bagi semua wanita beriman. Mereka semua disuruh agar selalu berada di rumahnya, taat kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Mereka juga dilarang melembutkan suara ketika berbicara bersama lelaki yakni suara lembut yang menggoda orang fasik dan munafik. Hendaknya wanita itu berbicara secara baik, tidak lembut padanya dan tidak kasar, dan jangan pula ia berhias diri seperti kaum jahiliyah yang terdahulu.

Wanita tidak dilarang sama sekali untuk keluar dari rumah sekiranya mereka mempunyai keperluan untuk keluar. Misalnya keluar menuntut ilmu, menghadiri program ilmu agama dan program membina diri untuk menjadi muslimah yang lebih baik, bersilaturrahim, keluar berubat dan berdagang selagi mana mereka mematuhi syarat –syarat yang telah di gariskan oleh syariat.

1. Mengenakan Pakaian yang Menutup Aurat

Menutup aurat adalah syarat mutlak yang wajib dipenuhi sebelum seseorang wanita tersebut keluar rumah. Kerana Allah SWT telah berfirman dengan tegas di dalam Al-Quran:

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab:59)

 2. Tidak Tabarruj (berlebih-lebihan) atau Mempamerkan Perhiasan dan Kecantikan

Wanita yang keluar rumah dan menutup auratnya, juga tetap harus menjaga dandanannya. Dilarang mempamerkan perhiasan dan kecantikan, terutama di hadapan para lelaki kerana Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran:

“Janganlah mempamerkan perhiasan seperti orang jahiliyah yang pertama” (Al-Ahzab : 33)

3. Tidak Melunakkan, Memerdukan atau Mendesahkan Suara

Selain itu, para wanita yang keluar rumah juga diharamkan bertingkah laku yang boleh menimbulkan syahwat para lelaki. Seperti mengeluarkan suara yang menggoda, atau memerdukannya atau mendesah-desahkan suara.

Larangannya tegas dan jelas di dalam Al-Quran, tidak timbul persoalan shahih atau tidak shahih, kerana semua ayat Al-Quran hukumnya adalah shahih.

“Janganlah kamu tunduk dalam berbicara (melunakkan dan memerdukan suara atau sikap yang sejenis) sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik” (Al-Ahzab : 32).

4. Menjaga Pandangan

Dalam konteks ini,bukan hanya lelaki saja yang haram meliarkan pandangan matanya, tetapi wanita juga perlu menjaga pandangan.

Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Katakanlah pada orang-orang lelaki-lelaki beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya…”(An-Nuur : 30-31)

5. Aman dari Fitnah

Tuntutan wanita keluar rumah akan terbatal dengan sendirinya apabila adanya fitnah atau keadaan yang tidak selamat. Perkara ini sudah menjadi ijma’ atau disepakati para ulama.

6. Mendapatkan Keizinan Daripada Orang Tua atau Suaminya

Hal ini sering dipandang enteng oleh para muslimah terutamanya aktivis dakwah kerana mungkin apabila mereka sudah berada dalam arena aktivis dakwah ini dan tuntutan gerak kerja luar yang sentiasa mengikat, maka seolah-olah izin daripada pihak orang tua mahupun suami menjadi hal yang diabaikan. Sedangkan mendapat keizinan tersebut adalah  suatu keperluan dan tidak boleh diabaikan begitu saja.

Pada dasarnya memang wanita yang telah berkahwin harus mendapatkan izin suami untuk keluar rumah . Dan ini juga merupakan kehendak syariat. Tidak timbul soal beban dan paksaan atau menjadi halangan.

Izin dari suami harus difahami sebagai sebuah bentuk kasih sayang serta perhatian dan wujud dari rasa tanggungjawab yang wajar lahir dari jiwa suami yang bertindak sebagai seorang pelindung.

Dan percayalah, jika urusan meminta izin keluar rumah ini kita titikberatkan, nescaya semakin harmonis sesebuah perhubungan dan rumahtangga itu.

Begitu juga bagi wanita yang belum bersuami. Letakkan keutamaan memohon keizinan untuk keluar rumah itu pada ibu bapa dan ini juga merupakan salah satu ciri anak yang baik dan solehah.

Wanita disarankan supaya elakkan diri  untuk keluar malam dan selesaikan semua urusan pada siang hari. Jika terdapatnya sesuatu keperluan di malam hari, hubungi musyrif kawasan masing-masing yang telah  disediakan. Hal ini penting terutama bagi kita yang berada jauh di tempat orang. Selagi mana wanita mematuhi garis panduan yang telah diletakkan oleh agama, maka InsyaAllah mereka akan selamat dari fitnah dan mata-mata jahat manusia yang berada di luar sana.

Disediakan oleh :

Siti Munirah Binti Abdul Rashid
Tahun 5, Fakulti Perubatan
Universiti Zagazig.

Tinggalkan komen anda