Home > Menu > Karya > Artikel > Menghayati Perjuangan, Memaknakan Pengorbanan

Menghayati Perjuangan, Memaknakan Pengorbanan

 logo PNG

بسم الله الرحمن الرحيم 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

ALLAHUAKBAR..ALLHUAKBAR..ALLHUAKBAR..WALILLAHILHAM

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarga baginda. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi diatas nikmat Islam dan Iman serta kasih sayang yang tiada sempadan telah Allah berikan kepada kita semua sejak dari lahir sehingga ke usia ini. Pada hari ini pula, dua nikmat yang paling ketara dinikmati oleh umat Islam iaitu yang pertama adalah jutaan umat Islam sekarang ini sedang menjadi tetamu Allah di tanah suci untuk menunaikan ibadat haji.

Tanggal 9 Zulhijjah, bagi mereka yang berada di Mekah untuk melaksanakan ibadah haji, berwukuf di Padang Arafah dengan pakaian ihram serba putih melambangkan ketulusan hati, sama-sama menyahut panggilan Ilahi, mengagungkan Allah SWT dan kepadanya berserah diri dengan melafazkan talbiah yang menusuk hati. Ucapan talbiah diulang-ulang secara beramai-ramai sambil menitiskan air mata kesyukuran, merasai betapa kerdilnya diri dihadapan Allah Taala. Di Arafah, dengan cuaca yang panas terik sebagai bayangan dipadang mahsyar nanti benar-benar menginsafkan diri, maka para jemaah bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan beristighfar sebanyak-banyaknya. Kini, hati mereka tenang dan damai. Semoga mendapat haji yang mabrur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Haji mabrur itu tiada balasan lain kecuali syurga”. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Demikian antara lain kelebihan mengerjakan fardhu haji ke Mekah. Oleh itu, jika kita belum berkesempatan menunaikannya maka hendaklah kita berazam dengan bekerja lebih tekun dan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan pendapatan. Hendaklah kita menabung mengikut keupayaan masing-masing. Mengikut kata Imam Al-Ghazali R.A :

“Bahawa orang yang belum mampu menunaikan fardhu haji, cita-cita bagi menunaikan ibadat haji ini wajib diperbaharui pada setiap tahun”.

Manakala nikmat yang kedua adalah bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, masih berpeluang untuk menghayati syiar Aidiladha. Aidiladha sama kelebihannya dengan Aidilfitri. Aidilfitri lebih merupakan hari kemenangan bagi individu yang berjaya menundukkan nafsu selama sebulan. Manakala Aidiladha mengandungi kisah sejarah tiga manusia agung, yang sepatutnya di contohi oleh kita semua dan segenap lapisan masyarakat demi membina sahsiah diri dan seterusnya meraih kecemerlangan yang meliputi aspek jasmani dan rohani, duniawi dan ukhrawi. Secara ringkasnya tiga manusia agung yang di maksudkan tadi ialah : Nabi Ibrahim sebagai bapa, Hajar sebagai isteri solehah yang bertakwa kepada Allah dan juga ibu yang penyayang, mempunyai kesabaran luar biasa yang tiada tolok bandingnya dan seorang lagi ialah Nabi Allah Ismail sebagai anak soleh yang berjiwa takwa, berjiwa tawakal hingga sanggup disembelih oleh bapanya demi menjunjung titah perintah Allah azzawajalla. Sama-sama kita menghayati kisah pengorbanan agung mereka.

Memperkatakan tentang korban pula, ia mendidik umat islam supaya bersifat dermawan dan murah hati, samada dari segi wang ringgit mahupun dari segi tenaga, ilmu dan kemahiran. Bagi mereka yang mampu, disunatkan melakukan penyembelihan korban pada setiap tahun, yang dagingnya dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga kita serta rakan taulan yang beragama Islam. Orang yang melakukan korban sunat baginya mengambil 1/3 daging korban untuk dirinya dan keluarganya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia akan menjadi tungangan kamu ketika kamu melalui Siratul Mustaqim di akhirat kelak”.

Oleh itu di peringkat Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) telah melaksanakan satu program diseluruh cawangan di Mesir termasuklah PERUBATAN CawanganZagazig (PCZ) bagi menyambut Aidiladha yang diberi nama SAADAH. Tujuannya bukan hanya sekadar memenuhi satu program tahunan yang biasa dilakukan, namun bagi memberi suntikan rohani dan meniupkan semangat kesedaran, bahawa hidup didunia ini punya matlamat yang adil dan unggul, bukan sekadar untuk memenuhi kehendak nafsu makan minum, bergurau senda dan sebagainya. Bukan itu semata-mata, tetapi kita memikul amanah dan tanggungjawab iaitu sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan sebagai khalifah untuk mentadbir bumi Allah untuk membangunkan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya tanah air dan negara yang tercinta berpandukan syariat Allah SWT.

Dikesempatan ini juga saya mewakili Barisan Kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) 2014/2015 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah mengambil bahagian korban unta, kambing dan khoruf, menyumbangkan wang dan tenaga bagi menjayakan program SAADAH pada kali ini. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Siiru A’la Barakatillah.

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

MOHD ZAKHIRUDDIN BIN A BAKAR
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015

Tinggalkan komen anda