Home > Menu > Berita > Kemalangan Mahasiswa Zagazig di Bilbis

Kemalangan Mahasiswa Zagazig di Bilbis

ZAGAZIG, 4 September 2014 – PERUBATAN Cawangan Zagazig telah dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya di Bilbis yang melibatkan empat orang mahasiswa Universiti Zagazig iaitu Muhammad Miftahuddin bin Sufyan (Perubatan Tahun 3), Shukri Muslim Maulana bin Mahamad Anuar (Perubatan Tahun 2), Muhammad Syafiq bin Abdullah Hashim (Perubatan Tahun 2) dan Muhammad Aizuddin bin Abdul Razak (Perubatan Tahun 2) yang dalam perjalan pulang ke Zagazig daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Menurut sumber, kemalangan berlaku apabila tayar belakang teksi yang dinaiki mereka meletup dan hilang kawalan sehingga menyebabkan teksi tersebut terbalik. Saudara Muhammad Syafiq yang duduk dibahagian belakang telah tercampak ke luar manakala rakannya yang lain masih berada di dalam teksi tersebut.

Saudara Muhammad Miftahuddin bin Sufyan yang juga merupakan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015 baru sahaja pulang daripada Malaysia dan ditemani oleh tiga rakan yang lain untuk menjemputnya pulang ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Kesemua mangsa telah digegaskan ke Hopital Bilbis dan hanya menerima rawatan kecemasan. Setelah itu, mereka dipindahkan ke Hospital Universiti Zagazig untuk rawatan selanjutnya.

Turut hadir ke hospital bagi melihat keadaan mangsa adalah wakil daripada PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) iaitu saudara Mohd Syahmi Amir bin Md Razali (Majlis Tertinggi PERUBATAN Zagazig), saudara Ahmad Syahmi bin Azhar (Naib Pengerusi 1), saudara Mohd Taufik bin Mohd Ishak (Ketua Biro Akademik), saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad dan saudara Mohd Safwan Hadi bin Rosli kedua-duanya merupakan penasihat PCZ.

Berdasarkan rawatan yang telah dijalankan, tiada kecederaan serius yang dialami oleh ketiga-tiga mangsa namun bagi Muhammad Syafiq bin Abdullah Hashim yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor telah mengesahkan bahawa beliau mengalami Cervical 2 Vertebral Fracture, Brain Edema, Concussion dan Intracerebral Haemorrhage. Saudara Muhammad Miftahuddin telah dimasukkan ke wad biasa manakala saudara Shukri Muslim Maulana dan Muhammad Aizuddin telah dibenarkan pulang ke rumah.

Turut hadir juga adalah wakil daripada Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) iaitu Ustaz Muhamad Nasuha bin Mohd Zakariah (Pengerusi DPMZ), Ustaz Mohd Amirul Adli bin Othman (Setiausaha DPMZ), Ustaz Muhammad Anas bin Ridzuan (Unit Pengetahuan dan Pendidikan) dan Ustaz Mohd Sobri bin Yaakob (Penasihat DPMZ).

Mangsa juga turut menerima lawatan daripada Dr. Osama Kamhawy yang merupakan Koordinator pelajar Malaysia fakulti Perubatan, Universiti Zagazig.

Marilah sama-sama kita mendoakan supaya kesihatan mereka pulih seperti sedia kala dan  dikurniakan ketabahan serta redha atas dugaan yang menimpa. Sesungguhnya setiap kejadian itu ada hikmah disebaliknya. Ujian itu pahit, namun dengan mengingati Allah, akan hilang segala keresahan. “Allah tidak akan menguji seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya…” (Al-Baqarah : 286)

 “Bridging the Community”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

Disediakan oleh :

NUR NADIAH BINTI MOHD KHAIRI
Timbalan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015.

One comment

  1. Al-fatihah..Didoakan semuga adik muhammad syafiq beroleh pertolongan dari Allah dan diberikan kesembuhan yg sempurna agar dpt meneruskn pengajian..Aamiiin..from ibu monsourah stdt

Leave a Reply to wan pisah Cancel reply