Home > Menu > Karya > Artikel > Kemerdekaan Bukan Sekadar Untuk Diingati

Kemerdekaan Bukan Sekadar Untuk Diingati

Picture1 copy

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi diatas segala nikmat hidup sebagai anak merdeka  yang mana telah dikecapi selama hampir 57 tahun dan semoga kemerdekaan dan keamanan yang Allah kurniakan kepada kita selaku rakyat Malaysia tidak dipersia-siakan.

Kemerdekaan boleh didefinisikan sebagai membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing, seterusnya berusaha untuk bangkit sebagai bangsa bermaruah.

Hakikat Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam

Kemerdekaan sesebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan dikecapi oleh semua manusia, akan tetapi dalam Islam kita diajar satu konsep yang dinamakan Jihad.

Jihad bererti berjuang dengan bersungguh-sungguh. Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara daripada dibelenggu penjajah adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi dalam Islam. Oleh itu, dalam kita mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara, jangan pula kita lupa akan pengorbanan para pejuang yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat merasai nikmat kebebasan sebagai negara yang merdeka. Kedatangan  Islam itu sendiri membawa mesej kemerdekaan. Islam menyeru manusia membebaskan diri dan pemikiran daripada belenggu jahiliyyah dan kemusyrikan terhadap Allah SWT. Merdeka juga dalam erti kata lain bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu Islam menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kemungkaran dan maksiat kepada Allah.

Seorang penyair arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang berbunyi : “Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, dan runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak”

Ibrah Kemerdekaan

Semoga dengan kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk kita merasai nikmat kemerdekaan ini kita dapat tanamkan keazaman dalam diri untuk menjaga akhlak dan membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan kewibawaan kita sebagai Mahasiswa Islam Sains Kesihatan yang menuntut di Mesir.  Lebih dari itu, kita hendaklah sentiasa mendoakan supaya kita memperolehi kemerdekaan yang hakiki iaitu mendapat keampunan daripada Allah seterusnya  terselamat daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajar oleh agama kita, Islam.  

Akhir kata, saya mewakili barisan kepimpinan PERUBATAN Cawangan Zagazig  mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan kali yang ke-57.  Siiru A’la Barakatillah.

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah

Disediakan oleh,

zakhi

MOHD ZAKHIRUDDIN BIN A BAKAR
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015.

Tinggalkan komen anda