Home > Menu > Berita > Syantah Ramadan 1435H : Senyumannya Membuatkan Kami Bahagia

Syantah Ramadan 1435H : Senyumannya Membuatkan Kami Bahagia

ZAGAZIG, 13 Julai 2014 – Syukur alhamdulillah, Unit PERUBATAN for Peace and Care (PEACE) di bawah kelolaan Biro Kebajikan PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015 dengan jayanya telah menganjurkan Syantah Ramadan 1435H yang juga merupakan salah satu program Ihya’ Ramadan (IHRAM).

Syantah Ramadan kali ini membawa tema “Komuniti Berbakti, Ramadan Diberkati”, yang mana memberikan peluang kepada ahli untuk sama-sama menyumbang sama ada dari segi kewangan mahupun tenaga dalam menjayakan program ini selain melatih ahli untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan.

Kutipan sumbangan yang bermula sejak 2 Julai sehingga 12 Julai 2014 telah berjaya mengumpulkan sebanyak  LE 6 551.25 dan hasil daripada itu, 100 syantah yang mengandungi barangan keperluan seperti roti, jem, susu, gula, air mineral, tasbih, biskut dan kurma telah diedarkan kepada pesakit di Hospital Universiti, Salam Sadnawi. Walaubagaimanapun, wang sumbangan berbaki dari Syantah Ramadan yang berjumlah LE 2 551.25  akan di masukkan ke dalam Tabung Kemanusiaan PEACE.

Seramai 34 orang aktivis telah melibatkan diri dalam Syantah Ramadan pada kali ini, meskipun ada di antara mereka yang masih dalam musim peperiksaan, tambahan cuaca yang panas membahang, namun mereka tetap bersemangat untuk sama-sama menabur bakti membantu penduduk tempatan yang kurang bernasib baik.

_MG_7851

SONY DSC

“Saya berasa sangat tersentuh apabila melihat seorang pesakit yang tersenyum bahagia saat menjenguk isi syantah yang telah diberikan kepadanya, mungkin bagi kita ianya sesuatu yang biasa kita perolehi, namun tidak bagi mereka yang kurang berkemampuan”, ujar salah seorang aktivis yang berkongsi pengalamannya.

Walaupun terdapat beberapa dugaan ketika edaran syantah, seperti pihak pengurusan hospital yang tidak membenarkan syantah untuk diedarkan kepada pesakit di ICU (Intensive Care Unit) disebabkan isi syantah tidak sesuai dengan pemakanan pesakit di ICU, namun segalanya berjalan lancar. 

Pihak PEACE ingin mengambil kesempatan bagi menyampaikan jutaaan penghargaan kepada semua aktivis mahupun ahli yang telah menyumbangkan wang dan tenaga dalam pelaksanaan Syantah Ramadan kali ini. Semoga usaha kita yang kecil ini, diterima sebagai salah satu kebajikan oleh Allah S.W.T lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Sebaik-baik kamu adalah yang bermanfaat kepada orang lain.”

Disediakan oleh :

NORFAIZAH BINTI ISMAIL,
Timbalan Ketua Biro Kebajikan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015.

Tinggalkan komen anda