Home > Menu > Berita > MESRA’14 : Peluang Diraih Sebaik Mungkin

MESRA’14 : Peluang Diraih Sebaik Mungkin

AHAD, 27 APRIL 2014 – Satu program Hari Bertemu Pelanggan Zagazig bersama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) atau dikenali sebagai MESRA’14 telah diadakan selama 2 hari di Zagazig bermula pada 24 April hingga 25 April yang lalu. Pihak PERUBATAN Cawagan Zagazig telah menerima kunjungan rombongan dari pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah,  Pegawai Keselamatan Mesir serta Majlis Badan Penaja Biasiswa Malaysia. Program ini dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dengan kerjasama PERUBATAN Cawangan Zagazig untuk memberi perkhidmatan kepada para pelajar  sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa Sains Kesihatan Universiti Zagazig dengan rombongan KBMK.

 

Kaunter Perkhidmatan

Program bermula dengan pembukaan kaunter perkhidmatan di ZMSH bermula pada jam 2.00 petang. Sebanyak enam kaunter perkhidmatan telah disediakan oleh pihak KBMK seperti pengesahan dan penterjemahan dokumen/sijil, membuat kad pelajar, urusan fail, khidmat nasihat dan kaunseling, khidmat tajaan dan khidmat konsular. Dianggarkan seramai lebih daripada 90 mahasiswa Zagazig serta beberapa rombongan dari mahasiswa Mansurah yang turun untuk menggunakan perkhidmatan tersebut. Kesemua kaunter yang dibuka telah digunakan seoptimumnya oleh para mahasiswa dan menyebabkan kesesakan berlaku di dalam dewan. Kaunter urusan fail serta kad pelajar merupakan kaunter yang paling mendapat sambutan. Kaunter mulai ditutup pada jam 6.00 petang.

 

IMG_3918

IMG_3938

Majlis Dialog

Pada sebelah malam, rombongan KBMK mengambil kesempatan bertemu dengan Dekan Fakulti Perubatan Univertisi Zagazig dan penyelaras pelajar Malaysia di Fakulti Perubatan. Kemudian, program diteruskan dengan Majlis Dialog bersama pegawai bermula jam 9.30 malam di dewan ZMSH pada hari yang sama. Majlis dibuka dan dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Umar Izudin Mhd Ramli, pelajar Tahun 4 Perubatan dan diteruskan dengan taklimat keselamatan oleh ASP Hashim bin Man, Setiausaha II (Keselamatan). Beliau memberikan penerangan serta penekanan mengenai situasi keselamatan semasa Mesir untuk dijadikan panduan kepada pelajar yang hadir serta mengingatkan pelajar untuk tidak terlibat terhadap isu yang berlaku di Mesir. Majlis diteruskan dengan ucapan, Prof Madya Dr Mohd Radhi Bin Ibrahim , Menteri Penasihat (Pendidikan) selaku ketua rombongan KBMK. Beliau memulakan ucapan dengan memberikan sedikit motivasi kepada hadirin sempena peperiksaan serta penerangan mengenai isu masalah fail pelajar serta sesi soal jawab.

IMG_4001

Antara soalan yang diajukan adalah status pelajar yang tiada fail setelah tamat belajar oleh saudari Inirah Syazwin Mohd Razally, Tahun 6 Perubatan serta tindakan dari pihak KBMK dalam menyelesaikan masalah urusan fail oleh saudari Nor Ain Binti Bahori yang juga merupakan mahasiswi Tahun 6 Perubatan. Sesi soal jawab diakhiri dengan ucapan oleh Prof. Madya Dr Mohd Radhi Bin Ibrahim  yang mengingatkan pelajar peri pentingnya mengikut sistem yang digariskan untuk mengelakkan berlakunya kesulitan pada hari mendatang. Seterusnya, program diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015, saudaraMohd Zakhiruddin Bin A. Bakar kepada ketua rombongan KBMK. Selain itu, satu penyampaian cenderahati daripada rombongan turut diberikan kepada PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015 melalui Pengerusi, saudara Mohd Zakhiruddin Bin A. Bakar. Majlis bersurai dengan para pelajar mengambil makanan di ruang yang disediakan. Program ini berakhir pada jam 11 malam.

 

Perlawanan Futsal (Lelaki) dan Permainan Ping Pong (Perempuan)

Pada keesokan harinya, 25 April seawal jam 9.30 pagi, perlawanan futsal antara mahasiswa dan pegawai telah diadakan di Gelanggang Porto, Stadium Universiti Zagazig manakala beberapa orang pegawai wanita, para isteri pegawai dan anak-anak mereka turun ke dewan Zagazig Malaysian Students Hall (ZMSH) untuk permainan ping pong, jenga dan congkak bersama-sama mahasiswi. Majlis berkenalan dan ramah mesra bersama para isteri dan anak-anak pegawai diadakan setelah selesai permainan. Majlis bersurai dengan para pelajar bersarapan bersama para tetamu. Rombongan KBMK pulang ke Kaherah pada jam 11 pagi.

IMG_4057

Secara keseluruhan, program selama dua hari ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa masalah teknikal  sewaktu program berlangsung. Semoga program yang dijalankan dapat mencapai objektif serta merapatkan lagi tautan ukhuwah semua mahasiswa bersama rombongan KBMK yang hadir. Diharapkan agar segala usaha dari pihak KBMK ini dalam menyelesaikan masalah para pelajar akan menatijahkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan, InsyaAllah dan sama-sama kita berdoa agar dipermudahkan segala urusan kita bersama.

 

Disediakan oleh,

SHAKIRAH MOHD RUSLAN

Setiausaha & Bendahari MESRA’14,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015.

Tinggalkan komen anda