Home > Menu > Berita > “Impossible is Nothing”

“Impossible is Nothing”

ZAGAZIG, 23 APRIL 2014 – Sekali lagi Exam Fever Campaign (EFC) telah mengendalikan satu program Solat Hajat dan Motivasi Perdana, dengan membawa tajuk Impossible is Nothing yang bertemakan “Kecemerlangan Untuk Ummah” dibawah anjuran Biro Akademik (BCAD) PERUBATAN Cawangan Zagazig yang berlangsung di Zagazig Malaysian Students Hall.

Syakir Husein bin Sohaimi selaku Pengarah EFC pada kali ini telah dijemput untuk memberikan sedikit ucapan alu-aluan sebagai pembuka majlis. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menerangkan serba sedikit mengenai program EFC yang telah dijalankan hampir setiap tahun khusus buat mahasiswa-mahasiswi yang bakal menduduki peperiksaan akhir tahun. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada wakil Majlis Tertinggi PERUBATAN, Mohd Syahmi Amir bin Md Razali sekaligus merasmikan program Motivasi Perdana pada kali ini.

Antara panelis yang telah dijemput khas untuk mengisi slot motivasi pada kali ini ialah saudara Abdul Aziz bin Ali (Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar) , saudari Hani ‘Izzati binti Yaakub (Tahun Empat Perubatan, Universiti al-Azhar), dan saudari Khadijah binti Abdul Razak (Tahun Lima Farmasi, Universiti Zagazig). Majlis tidak akan sempurna tanpa kehadiran seorang moderator yang petah berkata-kata dan moderator pada majlis kali ini ialah saudara Mohamad Aisar bin Ahmad (Tahun Dua Farmasi, Universiti Zagazig). Slot motivasi yang berbentuk forum ini secara amnya berkisarkan tentang niat sebenar dalam menuntut ilmu serta teknik dan taktik untuk berjaya dalam peperiksaan. Ahli panel juga turut menekankan mengenai ciri-ciri orang yang berjaya seperti yang dirakamkan di dalam Al-Quran dalam surah Al-Mukminum,  iaitu “khusyuk dalam solat” yakni, pentingnya nilai fokus semasa belajar.

IMG_3840

Majlis bertambah menarik apabila slot sesi soal jawab telah dibuka kepada hadirin yang hadir untuk menanyakan soalan kepada ahli panel. Antara soalan yang ditanya adalah berkenaan “study last minute”. Hadirin juga turut disajikan dengan tayangan video sejurus selepas selesai slot forum tersebut. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada moderator dan para panel pengisi sebagai tanda penghargaan atas kesudiaan berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang bermanfaat buat semua hadirin.

IMG_3835

Semoga program Solat Hajat dan Motivasi Perdana ini dapat membantu mahasiswa-mahasiswi sains kesihatan di bumi Zagazig ini agar lebih fokus untuk belajar dan membuat persediaan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi sesuai dengan visi EFC pada kali ini iaitu “melahirkan ilmuwan professional berminda kelas pertama”. Sekalung penghargaan diucapkan kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Sekian, terima kasih.

 

Disediakan oleh,

AZHANI NURLINI BINTI C.M NOR AZMI

Setiausaha,
Exam Fever Campaign 2014,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2014/2015.

Tinggalkan komen anda