Home > Biro PCZ > MTC ’14 : Mencorak Transformasi melalui Suara Solusi

MTC ’14 : Mencorak Transformasi melalui Suara Solusi

ZAGAZIG, 28 Februari 2014 – Bulan Februari  sudah melabuhkan tirainya, signifikan hujung Februari cukup terkesan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Zagazig ( PCZ ) sesi 2013/2014 yang secara rasminya sudah meletakkan jawatan dengan berakhirnya  Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-4 ( MTC ’14 ). Pemandangan warna ungu dan putih mewarnai Dewan Utama Hospital Bedah Universiti Zagazig yang menjadi saksi kali ketiga sebagai venue pilihan Mesyuarat Tahunan Cawangan PCZ. Seramai 188 perwakilan telah berdaftar untuk MTC kali ini. Menarik pada kali ini, Pilihanraya Presiden dan Timbalan Presiden juga dijalankan serentak di Dewan Hospital Bedah dan di Zagazig Malaysia Students Hall ( ZMSH ) dan menyaksikan pencalonan Presiden dari muhafazah Kuda Putih sendiri, Saudara Mohd Syahmi Amir bin Md. Razali.

Unik pada kali ini, MTC telah dijalankan serentak di semua tujuh cawangan PERUBATAN di Mesir iaitu cawangan Kaherah, Ain Shams, Azhar, Mansoura, Tanta, Iskandariah dan Zagazig. Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran dari saudara Umar Izudin yang membaca ayat 156 hingga 164 surah Ali Imran. Intipati ayat yang dibacakan berkisar tentang sifat mulia Nabi Muhammad s.a.w yang sudi bermesyuarat dengan sahabat-sahabat dan pengikutnya, meski baginda sudah memiliki deria pemikiran yang tajam dan sempurna. Bukan itu saja, bahkan Rasulullah memurnikan perbincangan dengan nada yang lemah lembut dan menenangkan. Sinonim dengan inisiatif MTC diadakan, ia adalah satu sunnah Nabi dan medium terbaik melahirkan keputusan yang kolektif dan syumul.

Dirasmikan oleh Timbalan Presiden 1 PERUBATAN 2013/2014 Saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad yang menyorot kitab Thawabit wal Mutaghayyirat mengenai prinsip berorganisasi seperti perlambangan nama persatuan itu sendiri pada dasarnya sangat penting dan melambangan dasar dan matlamat persatuan itu sendiri. Selain itu, idea Salman al-Farisi dalam peristiwa perang Khandak yang diterima Rasulullah melalui konsep syura mahupun peristiwa peralihan tampuk pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin daripada saidina Abu Bakr as-Siddiq kepada saidina Umr al-Khattab. Halatuju terakhir sesuatu persatuan iaitu untuk mencapai redha Allah juga merupakan prisip yang perlu ditekankan.

1970494_612007628874887_2064987896_n

1975094_612015562207427_1451035970_n

Pada sesi pertama sidang, pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat tahunan terdahulu dan soalan berbangkit, serta sesi pengesahan dan soal jawab laporan aktiviti tahunan AJKT dan penyata akaun. Antara soalan berbangkit yang ditanyakan oleh saudari Aifaa Alyaa binti Ismail mengenai implementasi usul terdahulu mengenai meningkatkan kematangan mahasiswa Muslim dari sudut mentaliti dan personaliti yang dijawab oleh saudari Nurul Farhana bin Zainudin dimana unsur kematangan ini diserapkan dalam setiap program PCZ. Pada sesi soal jawab aktiviti biro AJKT, soalan yang ditanya antaranya adalah mengenai majalah Kenangan yang tertangguh hampir dua tahun yang ditanya perwakilan Mohd Safwan Hadi bin Rosli dan direspon oleh ketua biro saudara Mohd Yazid bin Usop mengenai kebantutan gerak kerja dari pihak redaksi dan kurang kerjasama dari pihak ahli. Selain itu, saudara Syakir Husein bin Sohaimi menjawab soalan perwakilan saudara Ainol bin Abdul Hamid mengenai kenaikan lebih 10 peratus bayaran yuran ahli dan ianya merupakan petanda yang bagus.

Beriringan dengan perjalanan MTC, ahli PCZ masih berpeluang mengundi untuk Pilihanraya Presiden dan Timbalan Presiden di dua venue yang telah ditetapkan.

“Berlaku sedikit kekalutan dan agak tergesa-gesa memandangkan pihak Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan ( JPC ) Zagazig apabila keputusan pusat mengundi di Dewan Hospital Bedah diambil sehari sebelum bermulanya pilihanraya tersebut dan pusat pengundian ditutup pada jam 1 petang dan masa kami agak terbatas tetapi alhamdulillah persiapan di ZMSH tiada sebarang permasalahan berlaku”. Respon saudara Mohd Farid Iskandar bin Mamad, Pengerusi JPC Zagazig.

1900107_612008528874797_848264285_n

Sidang kedua diteruskan selepas majlis ditangguhkan sebentar untuk memberi laluan kepada solat Jumaat.

Dalam sesi penangguhan dan ucapan perletakan jawatan AJKT sesi 2013/2014 secara rasmi yang seragam bertudung dan bertali leher berwarna ungu, mewakili barisan AJKT,  Pengerusi PCZ sesi 2013/2014 saudara Mohd Syahmi Amir bin Md. Razali,

“Saya mewakili barisan AJKT mengucapkan jutaan terima kasih diatas segala bantuan dan sokongan yang diberikan kepada kami manusia biasa dengan tanggungjawab luar biasa”

Ucapan dasar Pengerusi PCZ sesi 2014/2015, saudara Mohd Zakhiruddin bin A. Bakar diperbahaskan. Semua perwakilan jelas menyokong ucapan dasar tersebut yang menekankan lima elemen utama PCZ 2014/2015 iaitu kecemerlangan akademik sebagai ibadah, pemerkasaan kebajikan secara menyeluruh, melahirkan mahasiswa berakhlak mulia, berdisiplin dan celik ilmu Islam, ummat Islam adalah ummat professional dan PERUBATAN sebagai medium mempertingkatkan kemahiran ahli. Memperbahaskan elemen kelima iaitu PERUBATAN sebagai medium mempertingkatkan kemahiran ahli, saudari Nur Zahidah binti Hosman yang menyarankan keterlibatan dan mengasah kemahiran ahli secara maksima seperti Zagazig Medical Team ( ZMT ) dan Zagazig Academic Panelist ( ZAP ).

Pada sesi ketiga, tiga usul diusul dan dibahaskan. Usul pertama, “Memperkasakan PROF Sebagai Medium Meningkatkan Kemahiran Profesional Dalam Kalangan Ahli” daripada saudara Ahmad Syahmi bin Azhar. Usul ini disokong dengan undi majority perwakilan. PERUBATAN Frontliner Council ( PROF ) harus diperkasakan kerana pada sesi ini hanya peringkat pendaftaran sahaja dilancarkan. Kerugian tenaga sukarela yang ingin menyumbang tenaga untuk PCZ akan dirasai jika PROF tidak diperkuatkan.

“Namun perhatian dari segi promosi dan pengenalan kepada ahli harus diperhebat untuk keberkesaan PROF ini.” ujar saudari Nur Izzati binti Ahmad dalam sesi perbahasan usul.

Usul kedua, dewan sedikit gamat dengan respon berbeza dan permohonan pindaan matan dalam usul yang dibawa oleh saudara Syaufiq Effendy bin Ngaliman dengan usul beliau, “Memperkenalkan Organisasi Batch Untuk Setiap Tahun Pengajian Bagi Meningkatkan Kualiti Keseluruhan Mahasiswa”. Dewan sedikit gamat dengan hujah-hujah perwakilan yang menyokong atas dasar untuk merapatkan jurang dalam kalangan batch, lebih berorganisasi dan bersistem dan memudahkan PCZ dan ada yang membangkang kerana organisasi batch ini tidak perlu diperkenalkan namun hanya pemerkasaan jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan seperti Batch Panelist Council ( BPC ) dan mempersoalkan letak duduk class president ( CP ) dan class vice president ( CVP ) yang sedia ada jika usul ini diterima.

Ditengah perbahasan, saudara Abdul Hakim bin Suhimin bangkit menyampaikan hujah.

“Saya menyokong usul ini namun dengan pindaan “Memperkasakan Majlis Batch bagi Meningkatkan Kualiti Keseluruhan Mahasiswa” atas dasar satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menilai keberkesanan BPC dan pengubahsuaian bakal dijalankan serta usul ini kurang praktikal untuk diterima kerana jurang jumlah ahli bagi setiap tahun dan fakulti yang ketara”

Namun, pengusul tetap bertegas menolak cadangan pindaan yang disarankan saudari Abdul Hakim dan bertegas dengan pindaan usul “Memperkenalkan Organisasi Batch Untuk Setiap Tahun Pengajian Mengikut Kesesuaian Bagi Meningkatkan Kualiti Keseluruhan Mahasiswa” dan pada sesi undian, usul ini telah ditolak.

“Menyuburkan Biah Solehah Melalui Pengamalan Budaya Sihat Dalam Kalangan Mahasiswa Zagazig” merupakan matan usul ketiga daripada saudari Azean Diyana binti Ag Damit dan usul ini disokong majoriti dewan dan untuk menjayakan biah solehah yang kian malap di Zagazig.

Pengenalan AJKT PCZ sesi baru 2014/2015 pada pemilihan AJKT pada 18 Disember 2013 mengakhiri MTC kali ini.

Disediakan oleh,

Amani binti Ramli,
Unit Liputan,
Biro Penerangan dan Penerbitan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014.

Tinggalkan komen anda