Home > Menu > Berita > HARI PERTAMA WOW ’14: Respon spontan ‘WOW!’ dari pengunjung

HARI PERTAMA WOW ’14: Respon spontan ‘WOW!’ dari pengunjung

ZAGAZIG, 27 Januari 2014 – Bermula dari makanan berat seperti nasi tomato, nasi ayam madu, nasi lemak ayam berempah, laksa Pulau Pinang sehingga ke pencuci mulut seperti aneka kek, wafel, dan puding ditawarkan kepada pengunjung di bazar ‘Wonders of Winters’ ( WOW ). Bukan yang pertama kali dijalankan, program sempena cuti musim sejuk seperti ini amat ditunggu-tunggu pelajar Malaysia di sini kerana pilihan makanan yang unik dan bercirikan Malaysia dan telah menjadi acara tahunan PERUBATAN Cawangan Zagazig ( PCZ ).

Menemuramah pengunjung setia bazar sejak lima tahun yang lalu, Saudari Munirah Saadah binti Hamdan,beliau nyata berpuashati dengan pilihan juadah yang di sediakan malah harga yang di tawarkan juga berpatutan. Pengisian program yang lain seperti sudut permainan tradisional juga merupakan tarikan pengunjung yang hadir pada kali ini sekaligus menjadikannya berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

 

IMG_0501

 

Pada kali ini juga, kehadiran pelajar Perubatan tahun 2, Rasha yang berasal dari Palestin juga menjadikan acara ini lebih istimewa dari tahun terdahulu.

“ This event is so beautiful and fantastic. I am so touched with Malaysians’ love and support for Palestinians

Beliau yang teruja dan terharu dengan sokongan rakyat Malaysia secara amnya terhadap penderitaan rakyat Palestin yang diterjemahkan dengan jualan pakaian, t-shirt serta keychain dari gerai PEACE. Beliau mengakui keenakan makanan Malaysia walaupun pertama kali mencuba dan berkesempatan bermain permainan tradisional Malaysia iaitu congkak dan menyatakan bahawa program ini semestinya bukan program terakhir yang akan beliau hadiri.

Tidak menoktahkan pengisian program hanya untuk penjualan juadah kegemaran dari Malaysia, pengisian bermanfaat dan berguna seperti kelas jahitan, kelas crochet, kelas asas membaiki sinki, paip dan lampu hatta booth pemeriksaan kesihatan dari Zagazig Medical Team ( ZMT ) juga diadakan.

Dengan adanya booth ini, kami berharap dapat memberikan pendedahan tentang kepentingan kesihatan dengan adanya pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah mahupun kadar jisim badan ( BMI ) dan konsultasi kesihatan. Malah, ia juga memberikan peluang kepada ahli ZMT untuk menajamkan kemahiran klinikal. “ ujar Puan Nur Izzati binti Ahmad, pelajar Perubatan tahun 5 yang merupakan ahli ZMT.

 

IMG_0601

Kelas ‘crochet’ yang dijalankan bersama mentor atas anjuran bersama unit Health and Beauty, Biro Kebajikan PCZ 2013/2014 memberi peluang kepada semua untuk menambah kemahiran sedia ada. “Menguasai kemahiran asas chochet seperti chain, single crochet, double crochet  dan kemahiran ini boleh dijadikan salah satu medium untuk mendekati masyarakat apabila kita sudah berkhidmat sebagai pegawai perubatan nanti” ujar salah seorang peserta bengkel crochet.

Peniaga-peniaga yang berniaga pada bazar kali ini nyata gembira dengan sambutan yang diberikan. Umpama menjual ‘pisang goreng panas’, kurang sejam gerai dibuka lebih separuh jualan telah berjaya dihabiskan. Terdapat juga gerai yang membuka sistem ‘pre-order’ kerana sambutan yang diluar jangkaan. Sistem tagging iaitu tempahan daripada gerai ikhwah juga memberi peluang untuk membeli makanan tanpa mempunyai masalah ikhtilat.

Selaku Timbalan PCZ 2013/2014, Puan Nur Zahidah binti Hosman berkata, tujuan program untuk mengumpulkan semua pelajar Malaysia dalam semua bidang pengajian dan mentautkan ukhuwah antara semua tercapai. Selain itu, pengisian program yang disediakan adalah untuk memberi peluang kepada ahli untuk menerokai ilmu baru dan bersesuaian dengan minat terutamanya kemahiran bermuamalah sehingga ke ‘soft skills’.

Seterusnya,slot Fiqh Mara’ah ( Fiqh Wanita ) mengisi ruangan di sebelah malam bertempat di Masjid Salam, turut dihadiri ikhwah. Pengisian telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Rafiqi Hehsan yang merupakan pelajar tahun akhir MBBCh Ain Shams serta jurusan Syariah Islamiah Al-Azhar juga pemegang Sijil Tahfiz Darul Quran JAKIM. Dibahagikan kepada 4 bahagian slot iaitu mengenai hukum bersuci, aurat, berkhitan, haid mahupun jenayah melibatkan anggota badan wanita. Al-Fadhil Protaz ini turut membentangkan kertas kerja disertakan dalil serta pendapat jumhur dan juga mengikut pandangan mazhab Syafie.

IMG_0723

 

Ketika sesi soal jawab, persoalan mengenai pendapat dari segi jumhur mahupun pandangan mazhab dibangkitkan. Menjawab persoalan itu, sebaiknya kita mengambil pendapat mazhab Syafie kerana ianya berpijak atas asas ihtiyat (berjaga-jaga,hati-hati) maka kesempurnaan hukum syariat lebih terjamin namun pendapat mazhab lain juga boleh diambil pada situasi tertentu dalam keadaan masyakah iaitu dalam keadaan kesusahan seperti darurat dan sakit. Dalam kehidupan seharian hukum dari sudut mazhab syafie atau pendapat jumhur lebih ditekankan. Pendapat jumhur adalah bermaksud, majoriti ulama mengeluarkan pendapat bagi permasalahan tertentu .

Permasalahan yang dibincangkan secara ilmiah dari segi perubatan juga memberi pencerahan terhadap isu yang dianggap ‘taboo’ ini dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Disediakan oleh,

Amani binti Ramli,

Unit Liputan,

Biro Penerangan dan Penerbitan,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

 

 

 

Tinggalkan komen anda