Home > Biro PCZ > Biro Akademik > [KENYATAAN RASMI] : ISU USD 2000 FAKULTI FARMASI DAN YURAN USD 1500 FAKULTI PERUBATAN

[KENYATAAN RASMI] : ISU USD 2000 FAKULTI FARMASI DAN YURAN USD 1500 FAKULTI PERUBATAN

post logo (jpg)

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam Surah Ar-Rad ayat 11yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda, Nabi Muhammad SAW yang mana tanpa Baginda, tidak mungkin untuk kita kecapi dua nikmat yang terbesar kurnian Allah SWT iaitu nikmat iman dan Islam.

Isu yuran denda bagi pelajar kuliah Farmasi Universiti Zagazig yang bernilai USD 2000 bagi satu subjek yang diulang sudah lama diperjuangkan oleh PERUBATAN khususnya PERUBATAN Cawangan Zagazig. Pelbagai cara diusahakan oleh PERUBATAN untuk menyelesaikan isu ini sehingga membuahkan hasil setelah sekian lama.

1. Latar Belakang / Pengenalan

Yuran bagi pelajar di kuliah farmasi adalah sebanyak USD 2500 bagi tahun 1 dan USD 5000 bagi tahun 2 hingga tahun 5. Bagi pelajar yang mengulang subjek untuk tahun tersebut, mereka perlu membayar sebanyak USD 2000 bagi setiap subjek mengulang.

Atas bebanan yang dirasai oleh pelajar untuk membayar USD 2000 bagi setiap subjek yang diulang, permohonan untuk mengurangkan yuran pengajian bagi subjek ulangan telah diusulkan kepada pihak fakulti. Walaubagaimanapun, pada mulanya pihak universiti menolak permohonan tersebut atas faktor arahan ini dikeluarkan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir. Pihak Universiti tidak mempunyai hak untuk mengurangkan yuran pengajian untuk pelajar di fakulti tersebut.

Antara faktor permohonan tersebut dibuat adalah kerana para pelajar yang mengulang ini tidak diberikan peluang untuk mengambil peperiksaan kali kedua (Dhur Thani) bahkan terpaksa membawa subjek mengulang itu pada tahun seterusnya. Terdapat pelajar yang mengulang lebih dari 3 subjek yang menyebabkan jumlah yuran bagi subjek mengulang itu lebih banyak dari jumlah yuran pada tahun semasa.

2. Kronologi Umum Yuran Subjek Ulangan Farmasi

FASA

PERISTIWA

Mac 2012 – Julai 2012

– Pihak Fakulti Farmasi telah memaklumkan kepada wakil pelajar farmasi berkenaan arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir supaya setiap pelajar yang mengambil subjek ulangan harus membayar 2000 USD bagi setiap subjek.

– Satu perjumpaan khas diantara wakil AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) dengan Atase Pendidikan, Education Malaysia Egypt (EME), Encik Khairi bin Jalalluddin, telah dijalankan di Pejabat EME, Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah. Pihak PCZ telah mengambil satu inisiatif dengan mengeluarkan satu surat rasmi dengan sokongan pihak EME untuk meminta pihak universiti mengkaji semula sistem pembayaran yuran.

– Pihak Fakulti memutuskan untuk membawa cadangan 500 USD bagi setiap subjek yang diulang kepada Presiden Universiti.

– Mesyuarat di peringkat Presiden Universiti Zagazig memutuskan untuk membuat rayuan kepada KPT Mesir bagi pengurangan yuran yang dikenakan dengan nilai 1000 USD bagi setiap subjek.

September 2012 – Ogos 2013

– Rayuan daripada pihak fakulti untuk mengurangkan denda tersebut kepada USD1000 juga telah ditolak oleh pihak KPT. Pihak dekan hanya mampu mengutarakan idea agar perkara ini dibawa ke pihak kedutaan Malaysia.

– Satu dokumentasi lengkap telah disediakan berkaitan permasalahan ini dan diserahkan kepada EME.

– Satu pertemuan telah disusun dengan Pengarah EME di Mohandeseen, Giza. Pengarah menyatakan masalah ini tidak boleh diselesaikan diperingkat Kuliah mahupun Presiden Universiti tetapi ianya mesti diselesaikan diperingkat KPT Mesir disebabkan bukan sahaja Universiti Zagazig yang mempunyai masalah tetapi melibatkan universiti lain juga yang mempunyai pelajar Malaysia.

– Pertemuan secara tidak rasmi telah diadakan bersama Pengarah EME dan Koordinator Pelajar Malaysia Fakulti Perubatan Universiti Zagazig di Dewan Muktamarat Kubra, Stadium Universiti Zagazig. Beberapa orang wakil pelajar telah menjelaskan semula tentang sistem pengajian dan peperiksaan di Fakulti Farmasi. Prof. Dr. Osama, Koordinator Pelajar Malaysia Fakulti Perubatan menyatakan pihak beliau sentiasa berbincang dan memberikan kerjasama kepada Prof. Dr. Hesham dalam usaha mencari jalan keluar bagi permasalahan ini.

– Beberapa orang Pegawai Akreditasi daripada Kementerian Pengajian Tinggi Mesir yang mengadakan lawatan ke Fakulti Farmasi turut memberi pandangan bahawa perkara  ini kurang praktikal untuk dilaksanakan setelah mendapat aduan daripada pelajar Malaysia.

Satu kertas kerja cadangan solusi bagi permasalahan ini telah dihantar kepada Pengarah EME yang kemudiannya mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak KPT Mesir pada hari yang sama.

– Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Bersama EME telah diadakan di Zagazig. Pengarah EME menyatakan nilai USD 2000 tersebut ditetapkan oleh KPT Mesir tanpa perbincangan dengan pihak EME. Namun, pihak KPT Mesir telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran sementara proses rundingan semula dijalankan.

– Satu surat telah dikeluarkan oleh pihak EME kepada Presiden Universiti Zagazig dan dihantar melalui emel kepada beberapa pihak termasuk KPT Mesir dan PCZ.

– Presiden Universiti telah mengadakan satu mesyuarat Majlis Kaunsil Universiti bagi membincangkan berkenaan surat tersebut. Hasilnya pihak universiti menolak untuk menangguhkan pembayaran atau mengurangkannya.

– Pengarah EME telah dihubungi bagi membincangkan cadangan penyelesaian. Pihak PCZ mencadangkan agar perkara ini dimaklumkan kepada KPT Mesir seterusnya memohon agar KPT Mesir mengeluarkan satu surat makluman kepada universiti. Pihak EME tidak berjanji dapat berbuat demikian dan menegaskan seharusnya pihak universiti menghubungi KPT Mesir secara terus bagi mendapatkan penjelasan berkenaan status surat tersebut.

Satu pertemuan di antara delegasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak pengurusan Universiti Zagazig telah diadakan. Isu ini turut diselitkan dalam perbincangan setelah pihak PCZ mengambil inisiatif menghantar cadangan dan permintaan daripada para pelajar kepada kedua-dua pihak sebelum pertemuan berlangsung. Permintaan tersebut dipandang positif dan pihak pengurusan Universiti Zagazig bersetuju merujuk semula pihak KPT Mesir.

Oktober 2013 – Disember 2013

– Sekumpulan pelajar Tahun 5 Fakulti Farmasi telah berjumpa En. Adlan Mohd Shaffieq, ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) untuk mengemukakan permasalahan ini kepada pihak kedutaan. Satu salinan surat makluman daripada KPT Mesir kepada universiti, kronologi dan cadangan bagi menggantikan nilai USD 2000 telah diserahkan kepada En. Adlan oleh wakil PCZ yang turut hadir.

– Pihak KPT Mesir meminta pihak fakulti menyediakan segala bentuk dokumen yang berkaitan bagi penelitian semula masalah ini setelah Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Menteri Pengajian Tinggi Mesir sama-sama menyatakan pandangan tidak bersetuju berkenaan nilai yuran subjek ulangan tersebut.

– Pada 15.12.2013, pihak fakulti memaklumkan bahawa satu notis pembatalan yuran bagi subjek ulangan bertarikh 8.12.2013 telah dikeluarkan oleh pihak Pejabat Hal Ehwal Pelajaran (Idarah Shuun Dirasah) Universiti Zagazig dan pihak fakulti bersetuju dengan pembatalan tersebut.

 Maka dengan pengeluaran notis oleh pihak Pejabat Hal Ehwal Pelajaran (Idarah Shuun Dirasah) Universiti Zagazig, dengan secara rasminya isu denda USD 2000 selesai.

3. Kesan isu ini kepada pelajar kuliah Perubatan

Berikutan usaha pihak PERUBATAN Cawangan Zagazig memperjuangkan isu yuran subjek ulangan kuliah Farmasi ini, pihak fakulti Perubatan Universiti Zagazig juga turut terkesan.

Baru-baru ini, Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Zagazig telah menerima pengesahan oleh Koordinator Pelajar Malaysia Fakulti Perubatan, Prof. Osama Kamhawy bahawa beliau telah menerima notis yang sama seperti kuliah Farmasi oleh pihak Pejabat Hal Ehwal Pelajaran (Idarah Shuun Dirasah) Universiti Zagazig.

Kandungan notis ini menyatakan bahawa yuran bagi pelajar yang mengulang tahun telah dikurangkan daripada USD 2000 setiap subjek kepada USD 1500.

Oleh yang demikian, kandungan notis ini akan dikuatkuasakan serta merta bermula tahun ini.

4. Kesimpulan

Berita pemansuhan denda USD 2000 bagi pelajar Farmasi dan pengurangan yuran pelajar yang mengulang tahun bagi kuliah Perubatan adalah suatu pencapaian yang sangat baik bagi pihak PERUBATAN. InsyaAllah, pihak PERUBATAN  Cawangan Zagazig akan cuba membantu dalam memenuhi kebajikan dan menyelesaikan isu-isu pelajar Sains Kesihatan di Mesir dan Zagazig khususnya dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

Achieve The Highest, Improve Others

 “Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014.

 

Tinggalkan komen anda