Home > Menu > Berita > Ekspresi Kesyukuran Kelahiran Rasulullah Dengan Malam Cinta Rasul

Ekspresi Kesyukuran Kelahiran Rasulullah Dengan Malam Cinta Rasul

ZAGAZIG, 13 Januari 2014 – Lantunan qasidah yang mengalunankan bait-bait memuji Rasulullah membuka majlis Malam Cinta Rasul sempena Hari Maulidur Rasul yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun sebagai ekspresi kesyukuran kita terhadap lahirnya insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib.

MCR1

Majlis yang dimulakan dengan dendangan qasidah Ya Hanana dan Tholama Asyku Gharomi oleh kumpulan nasyid Zagazig, Voice of Zagazig yang turut sama dinyanyikan oleh hadirin dan hadirat yang hadir. Bait-bait qasidah yang memuji dan menyatakan kecintaan kita terhadap Rasulullah menyingkap pengorbanan Rasulullah dan kecintaan baginda kepada umatnya. 

MCR2

Pengisian ceramah oleh Al-fadhil Ustaz Ahmad Fadhi Redza, graduan jurusan Bahasa Arab Universiti Al-Azhar disampaikan seusai dendangan qasidah.

“Kita sebagai umat nabi Muhammad ini hanya menumpang tuah baginda yang merupakan kekasih Allah. Kecintaan Rasulullah yang mendalam terhadap umatnya jelas terpancar kerana apabila ditanya siapakah kekasih baginda oleh sahabat-sahabat, baginda menjawab, umat yang beriman kepada baginda walaupun tidak bersua muka“.

Al-fadhil ustaz juga menceritakan kriteria-kriteria untuk mengenali baginda dengan surah (gambaran keperibadian), sirah dan mukjizat baginda. Kehebatan Rasulullah untuk dijadikan ikutan dalam setiap aspek kehidupan tidak dapat disangkal lagi hatta diceritakan di dalam sirah bagaimana Nabi Adam diampunkan dosanya atas kesalahan termakan buah khuldi apabila baginda mengungkapkan’ nur Muhammad’ didalam doanya. Diceritakan juga, susur galur keturunan Nabi Muhammad SAW dipelihara Allah dan dilahirkan dalam keluarga yang mulia sedari mula lagi.

Selain itu, kita sebagai umat akhir zaman harus menzahirkan kesyukuran dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW dan tidak hanya dibibir  malah perlu mengaplikasi sunnah baginda dalam kehidupan seharian. Sirah Rasululah merupakan satu-satunya penceritaan yang diceritakan secara terperinci seperti didalam kitab asy-Syama’il al-Muhammadiah tanda keistimewaan baginda disisi Allah.

Memetik kata-kata Dr. Yusuf al- Qardawi bahawa umat Islam harus memahami Islam dengan kefahaman yang sebenar, beramal dengannya serta berdakwah kepada orang bukan Islam juga merupakan salah satu cara kita meletakkan agama di hadapan mengatasi perkara lain sekaligus mengekspresikan kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada baginda.

Sesungguhnya, ucapan ‘Salam Maulidur Rasul’ tidak hanya dibibirkan, tetapi akhlaknya juga dibadankan serta imannya juga dihatikan.

Disediakan oleh,

Amani Ramli Hassan
Unit Liputan,
Biro Penerangan dan Penerbitan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

 MCR3

One comment

Tinggalkan komen anda