Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Kenyataan Rasmi JPC Sempena Kekosongan Jawatan AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig

Kenyataan Rasmi JPC Sempena Kekosongan Jawatan AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig

jpc-z

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Untuk makluman semua ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig, rentetan daripada tawaran credit transfer yang telah dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini,  terdapat seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) telah membuat keputusan untuk menyambung pengajian mereka di IPT Malaysia. Maka, telah berlaku kekosongan bagi satu jawatan AJKT PCZ bagi jawatan Naib Pengerusi 1.

Merujuk kepada Perkara 3 (b), Fasal 28, Bab Keempat, Perlembagaan PERUBATAN (November 2012):

 

“Jika terdapat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang meninggal dunia atau meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan atau tidak dapat bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kekosongan tersebut perlu dipangku oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) lain untuk satu tempoh tertentu dan kemudiannya ditentukan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) berdasarkan etika. Kekosongan jawatan Pengerusi hanya boleh dipangku oleh Naib Pengerusi I.”

 

Berdasarkan Perkara 3 (b), Fasal 28, Bab Keempat, Perlembagaan PERUBATAN (November 2012) ini, kekosongan jawatan AJKT PERUBATAN Cawangan akan dipangku oleh AJKT yang lain  sehinggalah ke satu tempoh tertentu yang kemudiannya akan ditentukan oleh JPC berdasarkan etika.

 

Oleh itu, setelah saya dilantik oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig pada 7 September 2013 yang lalu untuk menjadi Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Zagazig , maka pihak JPC Zagazig  telah merujuk kepada Perlembagaan PERUBATAN, etika gerak kerja PERUBATAN serta membuat penilaian terhadap situasi semasa PERUBATAN Cawangan Zagazig  dalam mengendalikan urusan gerak kerja sepanjang tempoh pemangkuan jawatan tersebut bagi menentukan sama ada perlu atau tidak untuk mengadakan pilihanraya kecil bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan tersebut.

 

Setelah meneliti semua aspek yang perlu dipertimbangkan, pihak JPC Zagazig dengan ini mengumumkan bahawa  Pilihanraya Kecil (PRK) bagi pemilihan semula seorang AJKT PCZ adalah TIDAK PERLU untuk diadakan atas sebab-sebab yang berikut:

 1.       Tempoh kepimpinan PCZ yang berbaki hanya sekitar tiga bulan sahaja lagi: Taqwim PCZ secara keseluruhan telahpun disusun oleh Panitia Perancang PCZ dan tarikh Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) bagi PCZ telah dijadualkan berlangsung pada bulan Februari 2014. Pihak JPC berpendapat bahawa AJKT PCZ yang sedia ada dapat menggalas tanggungjawab masing-masing serta tanggungjawab bagi portfolio yang dipangku sehinggalah ke hari MTC. Pihak JPC juga mengambil kira ketidaksediaan AJKT yang baharu sekiranya terlantik bagi menggalas jawatan AJKT untuk jangka masa yang kritikal pada waktu ini.

 2.       Tarikh Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PCZ yang sudah semakin hampir: Berikutan tarikh MTC yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2014 nanti, pihak JPC berpendapat bahawa fokus PCZ buat masa ini sehinggalah ke tarikh MTC adalah untuk melaksanakan segala perancangan dan gerak kerja yang berbaki serta mengimplementasi agenda pembawaan tahunan PCZ yang telah disusun sejak awal sesi pentadbiran. Sekiranya PRK diadakan juga pada waktu ini yang sudahpun sampai ke suku terakhir sesi pentadbiran, dikhuatiri ia boleh merencatkan perjalanan taqwim PCZ.

 3.       Gerak kerja JPC bagi Pilihanraya PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2013/2014 akan bermula tidak lama lagi. Setelah pelantikan Pengarah & Timbalan Pengarah JPC Zagazig 2013 dibuat, gerak kerja telah pun dimulakan untuk menjayakan Pilihanraya PERUBATAN Cawangan Zagazig yang akan berlangsung tidak lama lagi. Oleh itu, setelah mengambilkira pendapat AJKT PCZ serta Ahli Lembaga Penasihat PCZ, pihak JPC Zagazig telah bersetuju untuk memfokuskan gerak kerja pada waktu ini ke arah melaksanakan Pilihanraya PCZ pada bulan Disember akan datang.

 

Sehubungan dengan itu, pihak JPC Zagazig telah memutuskan bahawa pemangkuan jawatan AJKT PCZ berdasarkan Kenyataan Rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi PCZ, saudara Mohd Syahmi Amir b Md Razali yang bertarikh 7 November 2013 akan berkuatkuasa sehingga ke tarikh MTC yang akan datang.

 

Justeru, besarlah harapan kami di peringkat JPC Zagazig agar semua ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig dapat memberikan sokongan penuh dan kerjasama yang padu kepada para AJKT PCZ yang ada. Semoga keputusan yang telah dibuat ini akan diredhai oleh Allah dan dapat memberikan manfaat yang semaksimumkan mungkin kepada seluruh warga PERUBATAN.

 

Sekian, terima kasih.

 

“BERKAT, TELUS, CEKAP”

 

iskandar-z

 

Yang menjalankan amanah,

 MOHD FARID ISKANDAR B MAMAD,

Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Zagazig 2013

“At-Taqwa, As-Syifa’ , Ar-Rahmah”

Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014.

Tinggalkan komen anda