Home > Menu > Berita > Kembali Ke Kuliah : Sesi Baru Penuh Makna

Kembali Ke Kuliah : Sesi Baru Penuh Makna

Zagazig – 26 Oktober merupakan tarikh rasmi pembelajaran sesi 2013/2014 untuk  pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Zagazig. Debaran dan kegembiraan untuk menempuh sesi baru pembelajaran jelas terpancar di wajah setiap pelajar.

Namun, disebalik kegembiraan yang dipamerkan, terselit kesedihan di hati masing-masing lantaran susutnya jumlah pelajar dan teman sekelas  dek kerana  sebahagian mereka mengambil keputusan untuk meneruskan pembelajaran di Universiti di Malaysia atau di tempat lain. Rentetan daripada evakuasi yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia dan status keselamatan Mesir yang tidak menentu serta tawaran melanjutkan pelajaran di Malaysia secara perpindahan kredit (tahun pengajian), kebanyakan penuntut Malaysia di Mesir berada dalam dilema.

Natijahnya, bersangka baiklah dengan setiap keputusan yang telah dibuat. Hanya doa kami iringkan untuk sahabat-sahabat yang mengambil keputusan menyambung pelajaran di Malaysia.

Walaupun begitu, suasana dan keadaan di Mesir secara umumnya dan Zagazig secara khasnya yang sedikit pun tidak berubah menggamit semangat dan keazaman yang menggunung bagi pelajar Malaysia di sini. Suasana sibuk di pagi hari, kawasan universiti yang tampak ceria, para pensyarah yang sentiasa komited, banyak membantu menaikkan mood pembelajaran di sini. Malah, kerinduan para pensyarah yang terhadap pelajar Malaysia jelas terlihat di setiap ulas perkataan mereka. Nyatanya, pelajar Malaysia masih mendapat tempat di hati mereka walaupun kebanyakkan daripada kita telah menghabiskan waktu yang lama sepanjang cuti musim panas di Malaysia.

Momentum pembelajaran di Fakulti Perubatan juga kelihatan lancar. Pengagihan buku yang kelihatan efisyen sedikit sebanyak membantu para pelajar untuk bersemangat di awal sesi pembelajaran malah kebanyakkan kelas telah terisi dengan pembelajaran akademik dari pensyarah-pensyarah.

Bagi pelajar di kuliah Farmasi, walaupun semester kali ini bermula agak lewat, namun semangat setiap dari mereka tidak pudar. Pelbagai mehnah dihadapi, lantaran penyusutan ahli kelas, sistem jadual kelas yang agak tidak teratur dan beberapa masalah lain yang berkaitan dengan pengurusan pihak fakulti.

Dengan ujian pertengahan semester yang bakal menjengah mahasiswa Farmasi tidak lama lagi, azam perlu digagahkan dan kesabaran perlu ditebalkan. Itulah tribulasi belajar di negara asing.

Diharapkan suasana harmoni dan positif akan muncul dan berterusan selepas sedikit demi sedikit masalah di awal semester ini diatasi dan semoga usaha kita membuahkan kejayaan di akhirnya. Selamat belajar diucapkan kepada semua.

Amani Ramli Hasan
Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

Tinggalkan komen anda