Home > Menu > Karya > Artikel > Hari Asyura, Hari Seribu Sejarah

Hari Asyura, Hari Seribu Sejarah

Hari Asyura merupakan hari yang begitu penting dalam kalendar sejarah umat Islam. Hari Asyura jatuh pada 10 muharram  setiap tahun. Jika dilihat kepada bulan muharram itu sendiri , ia merupakan bulan yang begitu mulia di sisi umat islam amnya. Hal ini kerana bulan muharram termasuk  dalam kalangan empat bulan yang diharamkan Allah untuk umat islam berperang di dalamnya. Asyura berasal dari perkataan asyarah dalam bahasa arab yang bermaksud sepuluh. Ini bersempena dengan tarikhnya yang jatuh pada sepuluh muharram. Hari asyura pula adalah hari kebesaran umat Islam yang mencatatkan pelbagai peristiwa penting yang bersejarah berlaku pada tarikh tersebut. Selain itu, kaum Yahudi juga turut berpuasa pada tarikh tersebut dan disebut sebagai hari Yom Kippur sebagai memperingati nabi Musa diselamatkan dari musuh Bani Israil.

1426304_10151829571898198_1712750588_n

Antara peristiwa bersejarah yang berlaku pada tarikh sepuluh muharram ini adalah Perang Karbala. Karbala merupakan nama bagi sebuah tempat yang terletak di Iraq. Pada 10 muharram 61H (10 Oktober 680M), Karbala telah merekodkan pembunuhan cucu Rasulullah saw iaitu Sayyidina Husain bin Ali r.a. Lanjutan dari peristiwa ini, penganut syiah mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap hari asyura ini. Jika kita berpendapat  hari asyura merupakan hari yang mulia, mereka pula berpandangan hari asyura adalah hari yang tidak baik.  Sejak awal bulan Muharram, mereka tidak melakukan hal-hal penting di rumah, seperti  tidak berkahwin, tidak berhias, tidak memakai pakaian yang kemas, tidak memakan makanan yang enak dan lain-lain. Anak yang lahir pada bulan Muharram dianggap bernasib sial. Secara khusus, pada hari ‘Asyura, mereka melakukan ritual yang amat mengerikan dengan menyeksa diri dengan benda-benda keras dan tajam sambil didendangkan syair – syair kisah pembunuhan saidina Husain.

Umat islam mempunyai cara tersendiri dalam menyambut hari asyura. Dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia, hari asyura disinonimkan dengan bubur asyura. Bubur Asyura mesti mempunyai 10 jenis ramuan dan setiap negeri, terutama negeri-negeri di semenanjung Malaysia, mempunyai bubur asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Hal ini, menyebabkan terdapat pelbagai cara untuk membuat bubur asyura. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis bubur asyura, iaitu manis (utara semenanjung), berempah dan dimasukkan daging (pantai timur), dan bubur lambuk (selatan semenanjung). Bubur asyura ini dikaitkan dengan peristiwa yang menimpa nabi Nuh setelah terselamat dari banjir besar, apabila kaum baginda memasak menggunakan sumber yang terhad.

Selain itu, kita digalakkan supaya berpuasa pada Hari Asyura.                                                                                      

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

Daripada dua hadis di atas, jelaslah bahawa hari asyura mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Amalan berpuasa pada hari tersebut merupakan amalan yang amat digalakkan. Semoga kita dapat mengambil manfaat daripada kemuliaan hari asyura, dan mudah-mudahan Allah merahmati kita semua dalam berusaha mendampingi-Nya.

Amani Binti Ramli,
Unit Liputan,
Biro Penerangan dan Penerbitan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

 

 

 

Tinggalkan komen anda