Home > Menu > Karya > Artikel > Awal Muharram, Kalendar Hijrah dan Sejarahnya

Awal Muharram, Kalendar Hijrah dan Sejarahnya

Kalendar Hijrah merupakan kalendar yang digunakan oleh umat Islam untuk membuat perkiraan hari dan tahun. Ia digunakan secara meluas di Negara-negara arab dan islam umumnya bagi menentukan hari-hari kebesaran Islam.

Sebelum kedatangan Islam, bangsa arab telah menggunakan kalendar qamariah(bulan) sebagai rujukan perkiraan tahun. Namun, tidak semua suku arab menggunakan kalendar tersebut sehingga menyebabkan muncul pelbagai jenis kalendar dari suku arab yang berbeza. Walaubagaimanapun, mereka tetap mengambil konsep pengiraan berdasarkan bulan untuk menentukan kalendar masing-masing. Dalam satu tahun ada dua belas bulan dan awal bulan ditentukan berdasarkan terbitnya hilal(anak bulan). Mereka juga menetapkan Awal Muharram sebagai bulan yang pertama dan menjadikan empat bulan haram(bulan suci) sebagai masa yang dilarang untuk berperang antara suku.

Pada tahun ketiga pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a sebagai khalifah, beliau telah menerima sepucuk surat daripada Gabenor daerah Bashrah, Abu Musa al-Asya’ri r.a .Dalam surat tersebut beliau meminta Saidina Umar al-Khattab r.a untuk menjelaskan tahun bagi  surat yang pernah Saidina Umar r.a hantar kepadanya sebelum itu. Rentetan peristiwa tersebut, Saidina Umar r.a telah memerintahkan satu kalendar standard diwujudkan bagi menggantikan kalendar-kalendar yang pernah wujud pada waktu itu.

1415739_10151988159902490_243776370_n

Bagaimana penetapan tahun pertama kalendar Hijrah dan mengapa Awal Muharram dipilih sebagai bulan yang pertama?

Saidina Umar r.a telah menjalankan satu pertemuan bersama para sahabat bagi membincangkan mengenai kalendar  ini. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah bersepakat untuk menerima cadangan Saidina Ali bin Abi Talib r.a. yang mengusulkan tahun hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah sebagai tahun pertama dalam kalendar Hijrah.

Sementara itu, keputusan penentuan bulan Muharram sebagai bulan yang pertama diambil berdasarkan pendapat Saidina Uthman bin Affan r.a. . Beliau memilih bulan Muharram kerana bulan ini merupakan  awal bulan bagi setiap tahun dalam kalendar arab sebelum kedatangan Islam. Antara faktor lain pemilihan bulan ini ialah disebabkan kemuliaan yang terdapat pada bulan ini disisi orang Arab dan lebih-lebih lagi disisi Allah s.w.t..

Menariknya, walaupun bulan Muharram merupakan awal tahun bagi tahun Hijrah, ternyata Muharram bukan awal permulaan hijrah Rasulullah s.a.w.. Hijrah baginda berlaku pada permulaan bulan Rabiul al-Awwal tahun ke-13 kenabian (14 Sept 622 M), bukan pada awal Muharram. Sedangkan antara permulaan hijrah Rasulullah s.a.w. dan permulaan kalendar Islam (Muharram)  terdapat jarak sekitar antara 62-64 hari, dan antara keduanya terdapat bulan Safar.

Apakah keistimewaan bulan Muharram sehingga ia dimuliakan?

Sebelum merungkai keistimewaan dalam bulan Muharram ini, mari kita berkenal-kenalan dahulu dengan nama bulan mulia ini dan maksudnya.

Bulan Muharram dalam bahasa bermakna: ” yang diharamkan”. Bulan ini dinamakan Muharram karena bangsa Arab dahulu bersepakat untuk mengharamkan peperangan di bulan ini. Bulan Muharram mempunyai keutamaan yang besar bagi kaum muslimin. Bulan ini merupakan salah satu dari Arba’atun hurum yang merupakan bulan yang dikhususkan Allah dengan disebutkan di dalam Al-Qur’an. Kaum jahiliyah dahulupun telah mengagungkan bulan ini, akan tetapi sebahagian dari bangsa Arab mengharamkannya di satu tahun dan menghalalkannya ditahun yang lain. Kemudian Allah membatalkan kepercayaan mereka dengan menurunkan firmannya dalam surah at-Taubah ayat 36,maksudnya:

“Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah adalah dua belas bulan dalam ketetapan Allah”.

Mengapa bulan Muharram ini merupakan salah satu bulan yang di agungkan? Sayyid Muhammad Bin Alwi al-maliki memaparkan bahwa Bulan ini merupakan bulan yang diagungkan kerana dua sebab:

Pertama : Kerana bulan ini dinisbahkan kepada Allah s.w.t..  Rasulullah s.a.w. menamakan bulan ini dengan sebutan syahrullah (bulan Allah) seperti yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Puasa yang paling Afdhal setelah puasa Bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah s.w.t. yang disebut Muharram, dan ibadah yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah Qiyamullail (solat malam)”.

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. telah memberi nama bulan Muharam dengan sebutan bulan Allah. Ini menunjukkan bahwa bulan ini mempunyai fadhilat dan keagungan tersendiri, karena Allah s.w.t tidak menyandarkan atau menasabkan sesuatu terhadap zat-Nya kecuali ia merupakan sebahagian dari makhluk-Nya yang dikhususkan.

Kedua: kerana bulan ini merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram (Asyhurun hurum) iaitu : Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Bulan-bulan ini dinamakan bulan haram seperti yang dikatakan oleh Ali bin Abi Thalhah dan Ibnu Abi Rajab: kerana besar keagungannya dan kerana perbuatan dosa di bulan ini lebih besar siksanya serta amal soleh dan pahala di bulan ini lebih agung daripada bulan lainnya, maka bulan ini adalah sebagai bulan yang paling disukai oleh Allah s.w.t.

 Allah s.w.t. telah menyebut  dalam Al-Qur’an pada firman-Nya;

Ertinya : “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan dalam ketetapan Allah Subhanahu wa ta’ala , di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan yang haram, itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu “. (at-Taubah:36)

Peristiwa penting dalam bulan Muharram.

1. 1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

2. 10 Muharam – Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari ini.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.

3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.

8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.

12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

13. Hari pertama Allah menciptakan alam.

14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.

15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.

16. Allah menjadikan ‘Arasy.

17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.

18. Allah menjadikan alam.

19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.

20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Muharram.

Keutama’an bulan Muharram sudah tidak diragukan lagi, begitu juga sepuluh hari yang pertama di bulan ini, dan khususnya pada hari Asyura. Antara amalan yang boleh dilakukan pada bulan ini ;

  1. Berpuasa (pada sepuluh hari yang pertama dan hari Asyura)
  2. Bersedekah
  3. Bertaubat kepada Allah s.w.t.
  4. Memperbanyakkan zikir
  5. Membaca doa akhir dan awal tahun.

Kedatangan bulan Muharram mengajak kita untuk berfikir sejenak musafir kita di bumi tuhan ini. Apakah kita benar-benar hidup dalam redhaNya atau murkaNya. Sebelum melangkah ke tahun yang baru ini, buatlah penilaian diri dan perbaharui matlamat hidup hanya untuk Allah s.w.t.. Perbanyakkan amalan pada pembukaan tahun ini supaya ia dimulakan dengan permulaan yang baik dan InshaAllah diakhiri dengan pengakhiran yang baik. Moga Allah redha.

Aifaa Alya Ismail
Tahun 2 Fakulti Farmasi,
Universiti Zagazig

 

Tinggalkan komen anda