Home > Menu > Berita > [ SHANTOH RAMADHAN ] : Berbakti Bersama Warga Tempatan

[ SHANTOH RAMADHAN ] : Berbakti Bersama Warga Tempatan

ZAGAZIG, 22 Julai 2013 – Bersempena dengan kemasukan fasa kedua bulan Ramadhan pada tahun ini, PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) buat pertama kalinya telah menganjurkan satu program khas bersama warga tempatan yang diberi nama Shantoh Ramadhan bertempat di Hospital Universiti Zagazig, Salam Saidnawi. Sebagai makluman, ‘Shantoh’ yang bermaksud beg merupakan satu simbolik bagi sumbangan yang diberikan kepada warga tempatan di dalam bentuk beg. Shantoh Ramadhan merupakan salah satu program sempena Ihya’ Ramadhan (IHRAM) 1434H dan ia juga merupakan program kebajikan sosial anjuran PEACE yang diketuai saudara Mohd Zulfadzli Yamin dibawah kelolaan Biro Kebajikan PCZ yang pertama kali dianjurkan bersama rakyat tempatan dengan kerjasama pihak hospital. Program tersebut bertujuan ingin memupuk semangat memberi dalam kalangan para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Zagazig selain merapatkan silaturrahim antara mereka disamping merapatkan jurang hubungan antara para pelajar Malaysia dan warga tempatan di negara Mesir.

Sebagai permulaan, pihak PEACE telah membuat kutipan selama 15 hari bermula dari 22 Jun yang lalu dan sebanyak LE 12,465.00 telah berjaya dikutip dalam tempoh masa tersebut di mana sebanyak LE 3,000.00 telah digunakan untuk program Shantoh Ramadhon manakala selebihnya akan disalurkan kepada pelarian Syria. Sebelum bermulanya program Shantoh Ramadhan pada hari tersebut, para aktivis terlebih dahulu diberi taklimat oleh Dr. Najwa Sazali selaku doktor pelatih di Hospital Universiti Zagazig mengenai cara-cara berkomunikasi dengan pesakit arab dan seterusnya disambung pula dengan taklimat pergerakan aktiviti oleh Pengarah PEACE, saudara Mohd Zulfadzli dan diakhiri dengan pembahagian kumpulan sebanyak 3 buah kumpulan sebelum bertolak ke hospital. Sepanjang program tersebut, sebanyak 100 bungkusan yang berisi barang-barang keperluan asas telah diagihkan kepada pesakit-pesakit di Hospital Universiti Zagazig, Salam Saidnawi di 5 buah jabatan iaitu Jabatan Neurologi, Jabatan Psikiatrik, Jabatan Oftalmology, Jabatan Rheumatology dan juga Jabatan Tropikal Medicine.

Secara keseluruhannya penyertaan untuk program kali ini amat menggalakkan dengan seramai 45 orang aktivis-aktivis yang terdiri daripada mahasiswa mahasiswi dari pelbagai bidang dan tahun pengajian yang telah melibatkan diri dalam program tersebut. Turut terlibat sama sebagai aktivis sepanjang program tersebut adalah Pengerusi PCZ, saudara Mohd Syahmi Amir bin Md Razali; Timbalan Pengerusi PCZ, saudari Nur Zahidah binti Hosman dan juga Naib Pengerusi 2 PCZ, saudari Nurul Farhana binti Zainudin. Program tersebut juga dibantu oleh beberapa orang para kakitangan yang terdiri daripada para doktor dari hospital tersebut.

Saudara Mohd Syahmi Amir dalam sesi penutup menyatakan jutaan terima kasih kepada para aktivis yang sanggup meluangkan masa turut sama berbakti bersama warga tempatan walaupun ada antara mereka masih dalam kesibukan menghadapi peperiksaan akhir tahun. Beliau juga mengharapkan usaha murni sebegini diteruskan lagi disamping dapat membantu mereka yang lebih memerlukan dalam bulan yang penuh berkat ini.

Pengarah PEACE, saudara Mohd Zulfadzli Yamin juga turut menyatakan harapan beliau untuk program kali ini. “Saya harap program yang berbentuk sebegini kerap kali diadakan dan diteruskan lagi pada masa akan datang dan semoga para pelajar dapat mengikhlaskan niat sepanjang menyertai program ini. Saya juga berharap agar lebih ramai lagi melibatkan diri sebagai aktivis pada masa kelak dan secara tidak langsung dapat diteruskan lagi semangat sifat memberi kepada mereka yang lebih memerlukan daripada kita semua.”

Manakala saudara Muhammad Faathir Ar-Rasyid bin Rajman, mahasiswa perubatan tahun 4 Universiti Zagazig dan juga antara salah seorang aktivis yang paling giat sekali memberi kerjasama sepanjang program tersebut berasa amat berpuas hati dengan program kali ini. “Saya rasa sangat teruja dan bertuah sekali kerana dapat berjumpa dan menyelami perasaan para pesakit di sini dan juga amat gembira kerana kedatangan kami disambut baik oleh para doktor yang bertugas pada ketika ini. Dan sebagaimana yang kita tahu, pesakit-pesakit di sini lebih memerlukan sokongan moral dari kita semua dan semoga kedatangan kami semua dapat membantu mereka dan diharapkan mereka cepat sembuh dan dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa.” Kata beliau ketika ditemuramah.

Semoga dengan anjuran program Shantoh Ramadhon ini, para pelajar sedikit sebanyak mendapat iktibar dan secara tidak langsung dapat menanam sikap belas ikhsan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain dan juga menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menambah amal kebajikan sempena di bulan Ramadhan yang mulia ini. Diharap juga mahasiswa mahasiswi Universiti Zagazig dapat menghargai nikmat kesihatan yang telah dikurniakan dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membinasakan diri.

 

 

PEACE

 

Disediakan oleh,

Amirul Fayyad Muhammad Kamal

Unit Liputan,

“Bridging the Community”

Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

 

Tinggalkan komen anda