Home > Menu > Berita > Ramah Mesra Bersama EME Merungkai Persoalan Ahli

Ramah Mesra Bersama EME Merungkai Persoalan Ahli

ZAGAZIG, 21 Julai 2013 – Walaupun dalam kesibukan menguruskan kebajikan para pelajar Malaysia di sekitar Mesir, pihak Education Malaysia Egypt (EME) dengan kerjasama Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ) buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra & Berbuka Puasa Bersama EME yang diwakili oleh Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato’ Hj, Safei selaku Pengarah EME bertempat di Zagazig Malaysian Students Hall, Salam Saidnawi. Majlis tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang antara para pelajar dan juga pihak EME di samping merungkai segala persoalan yang ingin ditanyakan kepada pihak EME mengenai isu semasa, keselamatan mahupun pembelajaran para pelajar khususnya di Zagazig. Turut hadir sepanjang majlis tersebut ialah Atase Pendidikan, En. Hj. Muhammad Imran Bin Ibrahim, Presiden PERUBATAN 2013/2014, Abdul Rahim Bin Samad dan juga Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014, Mohd Syahmi Amir Bin Md Razali.

IMG_9648-2
Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig,saudara Mohd Syahmi Amir Bin Md Razali memberikan cenderahati kepada Pengarah EME , Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato’ Hj Safei

Antara agenda utama yang menjadi perhatian sepanjang majlis tersebut adalah sesi soal jawab antara para pelajar bersama Pengarah EME, Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato’ Hj, Safei di mana kebanyakan pelajar mengambil peluang tersebut untuk menanyakan sebanyak mungkin soalan-soalan yang sentiasa bermain di fikiran masing-masing dan secara tidak langsung meleraikan segala permasalahan yang timbul selama ini. Antara persoalan utama yang diketengahkan sepanjang slot tersebut adalah mengenai isu masalah bayaran denda matapelajaran yang gagal bagi pelajar-pelajar farmasi dan juga masalah fail pelajar yang antaranya masih belum sampai ke tangan pihak universiti di samping soalan mengenai isu keselamatan Mesir setakat ini.

Mahasiswi Tahun 1 Kuliah Farmasi Univerisiti Zagazig antara yang bertanyakan soalan ketika sesi soal jawab bersama Pengarah EME.
Mahasiswi Tahun 1 Kuliah Farmasi Univerisiti Zagazig antara yang bertanyakan soalan ketika sesi soal jawab bersama Pengarah EME.

Dengan soalan-soalan tersebut, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Zagazig sedikit sebanyak mendapat pencerahan secara langsung setelah mendengar jawapan dan maklum balas oleh Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi sendiri sepanjang sesi tersebut dan beliau memberi jaminan akan memberi bantuan dalam merungkai segala permasalahan yang timbul di kalangan para pelajar.

Majlis tersebut turut diselitkan sesi berbuka puasa bersama pihak EME dan juga solat fardhu Maghrib secara berjemaah dan disudahi dengan jamuan makan malam yang ditaja oleh pihak EME sendiri. “Alhamdulillah. Program pada hari ini berjalan dengan lancar di mana semua ahli jawatankuasa pelaksana dan juga para pelajar dapat memberi kerjasama yang amat baik.

Juadah yang disediakan pada majlis tersebut mengingatkan mahasiswa di perantauan tentang keenakan makanan berbuka di Malaysia
Juadah yang disediakan pada majlis tersebut mengingatkan mahasiswa di perantauan tentang keenakan makanan berbuka di Malaysia

Majlis ramah mesra pada kali ini telah banyak member pencerahan kepada para pelajar di Zagazig terutamanya. Dan harapan saya supaya pihak EME dapat menganjurkan majlis-majlis sebegini supaya para pelajar dapat meluahkan masalah mereka kepada pihak EME secara terus.” Ujar saudara Ahmad Hanif Abdullah yang telah mengambil alih tugas sebagai Pengarah Ihya’ Ramadhan (IHRAM) 1434H pada kali ini daripada saudara Marwan bin Muhammad atas faktor kesihatan beliau.

Semoga majlis tersebut dapat mengukuhkan lagi hubungan antara pihak EME dan para pelajar terutama sekali di Zagazig di samping dapat membantu para pelajar mengatasi segala permasalahan yang timbul dari masa ke semasa dan seterusnya dapat meneruskan proses pembelajaran seperti biasa.

 

 

Disediakan oleh,

Amirul Fayyad Muhammad Kamal

Unit Liputan,
“Bridging the Community”
Biro Penerbitan dan Penerangan

“Ilmuwan berbakti,Teguh sehati”
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2013

Tinggalkan komen anda