Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > [ IHRAM 1434H ] : Laporan Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadhan 1434H dan Shantah Ramadhan

[ IHRAM 1434H ] : Laporan Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadhan 1434H dan Shantah Ramadhan

Zagazig, 9 Julai 2013 – Ihya’ Ramadan 1434H, itulah nama program yang menjadi pilihan sempena Ramadan anak-anak perantau di perlembahan Nil pada tahun ini. Bertemakan ‘Ramadan Kareem, Allahuakram!!’, aktiviti yang dirancang oleh PERUBATAN pusat ini dijalankan di seluruh muhafazah di bawah kelolaan Biro Pembangunan Insan di setiap PERUBATAN cawangan. Tidak terkecuali di Zagazig, Ihya’ Ramadan 1434H atau ringkasannya IHRAM, dikendalikan oleh Biro Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2013/2014 dengan kerjasama Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig. IHRAM mula membuka tirai dengan majlis pelancaran pada malam 1 Ramadan 1434H.

 

Naib Presiden 1 PERUBATAN , saudara Naim Sarfaraz Ahmad sedang melakukan gimik perasmian IHRAM 1434H sambil diperhatikan Pengerusi DPMZ,Ustaz  Shobri Mat Yaacob
Naib Presiden 1 PERUBATAN , saudara Naim Sarfaraz Ahmad sedang melakukan gimik perasmian IHRAM 1434H sambil diperhatikan Pengerusi DPMZ,Ustaz Shobri Mat Yaacob

 

Majlis bermula sejurus selepas solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah di Zagazig Malaysian Students Hall pada jam 8 malam. Majlis pelancaran dirasmikan oleh saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad, selaku Naib Presiden I PERUBATAN 2013/2014. Pokok kurma yang menjadi gimik perasmian adalah simbolik kepada bulan Ramadan, yang sinonim sebagai manisan utama berbuka puasa. Majlis diteruskan dengan pengenalan tentang Shantah Ramadan, iaitu program anjuran bersama sempena IHRAM oleh Biro Kebajikan, yang disampaikan oleh saudari Nur Malina binti Sesi Burhan, wakil unit PERUBATAN for Peace and Care (PEACE).

 

ihram1
Warga Zagazig (akhawat) memenuhi ruangan dewan ketika majlis berlangsung

 

Keterujaan dan keceriaan jelas terpancar pada wajah para hadirin untuk menunaikan solat terawih secara berjemaah, menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah ini. Syahdu kian terasa lantaran kerinduan pada kampung halaman terubat dengan kemeriahan sesama ahli yang membanjiri dewan. Usai solat Isyak dan solat terawih, masa yang terluang diisikan dengan sedikit perkongsian oleh saudara Muhammad Akramin bin Ishak. Setelah menerima santapan rohani yang ringkas tetapi padat tentang persiapan awal Ramadan, hadirin disajikan dengan sedikit jamuan atau lebih dikenali sebagai moreh, sebelum majlis bersurai.

 

Berakhirnya majlis pelancaran IHRAM 1434H dan Shantah Ramadan menandakan bermulalah program yang dijadualkan selama sebulan ini. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ramadan Kareem, Allahuakram!!

 

Disediakan oleh:

WAN NADIATUL HUSNA WAN MAAMOR

Setiausaha

Ihya’ Ramadan (IHRAM) 1434H

Biro Pembangunan Insan

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

Tinggalkan komen anda