Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > [ IHRAM 1434H ] : Laporan Daurah Kitab

[ IHRAM 1434H ] : Laporan Daurah Kitab

daurah4

Zagazig, Julai 13, 2013 – Bersempena Ramadan ini, jawatankuasa pelaksana Ihya’ Ramadan (IHRAM) 1434H telah merangka pelbagai program pengisian ilmiah bagi mencapai salah satu objektif IHRAM kali ini iaitu untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mendapat tarbiyah ruhiyah dan thaqafah islamiyah. Bertepatan dengan itu, Daurah Kitab Fiqh Puasa yang bertajuk ‘Ramadan: Puasa & Iktikaf’ karangan Ustaz Muhamad Zuhaili bin Saiman telah berjaya dilangsungkan di Zagazig Malaysian Students Hall.

 

Majlis yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi terpaksa ditangguhkan lebih daripada satu jam berikutan pengisi yang dijemput untuk membentangkan kitab terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Kaherah. Masa yang terluang diisi dengan sedikit perkongsian dari Hadis Arba’in oleh saudara Mohd Amirul Adli bin Othman, yang menyampaikan hadis pertama, membicarakan tentang keikhlasan niat.

 

Setibanya pengisi jemputan, Ustaz Muhammad Zuhaili bin Zanal Ali, beliau terus mengambil tempat untuk meneruskan majlis. Bermula dengan pengenalan Ramadan dan sirah sepanjang bulan mulia tersebut, kitab ini membincangkan tentang fiqh puasa secara menyeluruh. Pelbagai permasalahan telah berjaya dibongkarkan dan dikupas dengan lebih terperinci. Antara permasalahan lazim yang timbul adalah seperti berpuasa pada hari syak iaitu 30 Syaaban, melakukan suntikan ubat pada siang Ramadan, waktu berbuka di atas kapal terbang, dan banyak lagi.

 

Majlis berhenti rehat selama setengah jam untuk memberi laluan kepada solat Zuhur dan diteruskan kembali pada jam 1 tengah hari. Daurah kitab ini berakhir setelah selesai sesi soal jawab, merungkai persoalan yang tertanam di fikiran para peserta. Semoga daurah kitab yang dijalankan pada fasa awal Ramadan kali ini dapat menyegarkan kembali ingatan tentang rukun ibadah puasa dan seterusnya memantapkan lagi amalan untuk mempraktikkannya.

 

Disediakan oleh:

WAN NADIATUL HUSNA WAN MAAMOR

Setiausaha

Ihya’ Ramadan (IHRAM) 1434H

Biro Pembangunan Insan

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

Tinggalkan komen anda