Home > Menu > Berita > [IHRAM 1434H] : Berpuasa Sambil Berbakti di Perantauan

[IHRAM 1434H] : Berpuasa Sambil Berbakti di Perantauan

ZAGAZIG, 9 JULAI 2013 – Sempena meraikan kedatangan bulan yang mulia pada tahun ini, buat julung-julung kalinya pihak Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ) dengan kerjasama Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) telah melancarkan satu program khas sepanjang  bulan Ramadhan 1434 Hijrah yang diberi nama Ihya’ Ramadhan (IHRAM) bertempat di Zagazig Malaysian Students Hall, Salam Saidnawi. Untuk pengetahuan, IHRAM dengan membawa tema ‘Ramadhan Kareem, Allahu Akram’ merupakan program khas di bawah kelolaan Biro Pembangunan Insan PCZ yang diketuai oleh saudara Marwan bin Muhammad selaku ketua biro sendiri. Antara objektif yang digariskan ialah melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mendapat tarbiyah ruhiyah dan thaqafah islamiyah bersempena Ramadhan, menanam semangat penghayatan Ramadhan kepada warga mahasiswa dalam pengaplikasian dalam kehidupan seharian di samping menjadikan madrasah Ramadhan sebagai satu medium untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Antara program menarik yang akan disajikan sepanjang bulan tarbiyah ini adalah Shantoh Ramadhan, ifthar jamai’e, tadarus, qiamullail, solat sunat Tarawih secara berjemaah, dan juga bazaar Ramadhan.

naim

 

Shantoh Ramadhan pula merupakan salah satu program IHRAM yang berkonsepkan kebajikan  di bawah PEACE yang dikelolai oleh Biro Kebajikan PCZ sendiri. Shantoh yang bermaksud beg dipilih sebagai nama kerana ia merupakan satu simbolik bagi sumbangan yang akan diberikan kepada penduduk tempatan di dalam bentuk beg yang berisi barang-barang keperluan asas.

uuu

Majlis Pelancaran IHRAM 1434H telah dirasmikan oleh saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad selaku Naib Presiden  1 Majlis Tertinggi PERUBATAN 2013/2014. Turut hadir sepanjang majlis tersebut ialah Pengerusi PCZ sesi 2013/2014, saudara Mohd Syahmi Amir bin Md Razali dan juga Pengerusi DPMZ, Ustaz Mohd Shobri bin Mat Yaakob.  Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran seramai lebih kurang 200 orang pelajar-pelajar yang masih lagi berada di Mesir pada ketika ini. Para pelajar juga berpeluang menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah buat pertama kalinya pada tahun ini selepas selesai majlis pelancaran tersebut dan dihidangkan dengan makanan moreh sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Kebanyakan pelajar-pelajar yang masih berada di sini berasa teruja untuk menyambut dan menunaikan ibadah puasa pada tahun ini terutama sekali pelajar-pelajar tahun 1 yang baru pertama kali dapat merasai pengalaman berpuasa di perantauan tanpa keluarga tersayang di sisi. Bulan Ramadhan di negara Mesir pada tahun ini juga nyata tampak lebih berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini memandangkan suasana keadaan di bumi Kinanah pada ketika ini masih belum lagi stabil semenjak peristiwa penggulingan presiden Mesir, Dr. Muhammad Morsi pada awal bulan Julai yang lalu. Namun, ia tidak menghalang pelajar-pelajar di sini untuk menunaikan ibadah puasa pada tahun ini dengan penuh semangat.

naim4

“Saya sangat teruja menyambut ketibaan bulan Ramadhan pada tahun ini dan rasa tidak sabar mengalami  pengalaman kali pertama berpuasa di perantauan apatah lagi berada di Mesir. Saya harap semoga sepanjang bulan Ramadhan tahun ini saya dapat menjadi imam bersama ahli-ahli rumah saya di samping dapat menunaikan amal ibadah yang lain.” Ujar saudara Fazlan Shah bin Henny Shahril, pelajar tahun 1 perubatan Universiti Zagazig ketika sesi temuramah selepas majlis pelancaran tersebut.

Ketua Biro Kebajikan PCZ sesi 2013/2014, saudara Ahmad Syahmi Azhar turut menyatakan harapan beliau terutama sekali untuk program Shantoh Ramadhan pada kali ini. “Saya harap program ini dapat menghangatkan lagi suasana Ramadhan di sini dan secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturrahim antara pelajar-pelajar dan warga tempatan pada kali ini. Semoga program seperti ini dapat merapatkan jurang antara ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai kuliah dan tahun pengajian. Diharapkan sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban penerima disamping menggembirakan hati mereka.”

Semoga dengan ketibaan bulan yang penuh keberkatan pada kali ini, para pelajar dapat menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin meningkatkan amal ibadah dengan melazimi ibadah-ibadah sunat dan perbanyakkan zikir serta selalu mengharapkan keredhaan-Nya setiap masa.

 

Disediakan oleh,
Amirul Fayyad Muhammad Kamal
Unit Liputan,
“Bridging the Community”
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2013

Tinggalkan komen anda