Home > Menu > Berita > Clinical Intervention Course: Pemantapan Ilmu Kecemasan

Clinical Intervention Course: Pemantapan Ilmu Kecemasan

ZAGAZIG, 15 JUN 2013 – Demi melahirkan para doktor yang berwibawa dan berkemahiran tinggi, pihak Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ) buat julung-julung kalinya telah menganjurkan kursus pertolongan cemas atau diberi nama Clinical Intervention Course (CIC) bertempat di Emergency & Disaster Department, Hospital Surgery, Universiti Zagazig. Untuk makluman, CIC merupakan kursus yang berkonsepkan pertolongan cemas yang pertama kali dianjurkan oleh Zagazig Medical Team (ZMT) yang diketuai oleh saudara Ahmad Syahirhakim Zulkifli di bawah kelolaan Biro Akademik PCZ  sendiri bersama dengan pihak Universiti Zagazig. Ia bertujuan memberi sedikit sebanyak pendedahan dan persediaan kepada bakal-bakal doktor dalam menghadapi suasana cemas atau trauma kelak. Kursus yang bermula pada pukul 8 pagi ini merupakan siri ke-2 selepas siri pertama yang telah dilaksanakan pada 8 Jun 2013 yang lepas.

Sambutan penyertaan kursus ini amat menggalakkan dengan seramai 20 orang peserta telah berdaftar pada setiap sesi dan majoriti peserta tergolong daripada pelajar-pelajar perubatan tahun 5 yang merupakan ahli ZMT. CIC pada kali ini dikendalikan oleh Dr Gamal El-Sayed, professor bahagian anesthesia & ICU, dan juga Dr Khaled Al-Sayed sambil dibantu oleh 7 orang pelatih yang terdiri daripada doktor-doktor dari pelbagai jabatan di hospital tersebut.

cic1

Antara perkara-perkara yang ditekankan sepanjang kursus tersebut adalah basic life support, pertolongan cemas, cara merawat kecemasan melibatkan kebakaran, patah tulang dan juga cara membawa pesakit dengan betul. Peserta-peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan sepanjang kursus tersebut bagi memberi lebih pendedahan kepada peserta-peserta sepanjang proses pembelajaran berlaku. Disamping itu, peserta-peserta juga telah dinilai sepanjang kursus tersebut melalui ‘Continuous Assessment’ dan ‘Formal Assessment’.  Pada akhir kursus, peserta telah diberi buku dan CD pertolongan cemas secara percuma disamping sijil penyertaan antarabangsa dari pihak penganjur.

Timbalan Biro Akademik PCZ sesi  2013/14, saudari Nor Ain Bahori turut menyatakan harapan beliau sewaktu sesi temuramah. “Saya berharap kursus sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Kerana ia banyak membantu kita sebagai pelajar sains kesihatan dan dapat memantapkan lagi ilmu-ilmu perubatan yang kita sudah belajar selama ini. Selain itu juga, ilmu-ilmu sebegini memang  sukar untuk kita dapat dalam kelas melainkan kita turut serta kursus CIC ini.”

Secara keseluruhannya, peserta-peserta amat berpuas hati dengan kursus yang telah diadakan. Dan ada diantara mereka mahukan masa dilanjutkan kalau diberi peluang. “Kursus CIC ini merupakan pengalaman baru buat saya. Saya dapat belajar teknik-teknik yang betul dan juga dapat menambah sedikit sebanyak ilmu dalam menghadapi suasana kecemasan nanti. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri saya. Jadi saya harap pelajar-pelajar lain dapat rebut peluang ini untuk turut serta kursus sebegini pada masa akan datang.” Ujar saudara Mohd Syafiq Yahaya, salah seorang peserta yang aktif sepanjang kursus tersebut.

cic

Semoga pihak PCZ dapat meneruskan lagi usaha membantu mahasiswa di Zagazig dengan menganjurkan lagi kursus-kursus sebegini kerana ia amat penting demi keselamatan kita semua terutama sekali kita sebagai pelajar sains kesihatan. Ia juga secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai lagi para doktor dan farmasi yang lebih mantap dalam menghadapi apa jua jenis keadaan pada masa akan datang.

 

Disediakan oleh ,

Amirul Fayyad Muhammad Kamal

Unit Liputan,
Biro Penerbitang dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

Tinggalkan komen anda