Home > Menu > Karya > Artikel > Sham El-Nessim

Sham El-Nessim

Cuti umum untuk setiap lapisan masyarakat di Mesir tidak kira pelajar mahupun yang sudah bekerja, Sham El-Nessim merupakan hari yang disambut sejak beribu tahun lalu untuk menikmati indahnya musim bunga. Nessim bermaksud “zephyr” (musim bunga), dan Sham memberi makna membau. Cuti yang khas diberi untuk semua warga Mesir turun ke taman-taman untuk menikmati keindahan musim bunga.

a

Pada hari Sham El-Nessim, setiap keluarga mula menyediakan makanan pada awal subuh untuk pergi berkelah menikmati tiupan angin musim bunga, dimana mereka mempercayai dengan melakukan aktiviti ini akan membawa banyak faedah buat mereka. Hampir semua kedai tutup pada hari sambutannya. Ada yang pergi ke taman, ramai juga yang menyambutnya di tepi sungai.

Sham El-Nessim ini juga dikaitkan dengan perayaan Easter. Hari Easter ataupun dikenali sebagai عيد القيامة disambut oleh golongan Nasrani. Mengikut kepercayaan bangsa Nasrani, hari ini disambut sebagai mengenangkan kebangkitan semula Jesus. Hari ini juga menandakan berakhirnya tempoh puasa mereka selama 40 hari. Cara puasa mereka ialah mereka tidak makan sesuatu yang mempunyai roh seperti ayam dan lembu ataupun hasil daripada sesuatu yang mempunyai roh seperti keju dan mentega.

Mereka juga akan memberikan telur yang dicat berwarna-warni kepada sanak saudara mereka. Telur itu melambangkan permulaan kehidupan yang baru, sebagaimana kehidupan bermula bagi seekor anak ayam yang baru menetas. Bagi mereka, telur itu memberikan tuah kepada mereka.Walaupun  ianya ialah perayaan untuk golongan Kristian, semua warga Mesir menyambutnya tidak kira agama.

b

Sham El-Nessim ini diraikan dengan menjamu makanan-makanan tradisional. Antaranya ialah Fiseekh (ikan masin), telur rebus berwarna-warni, dan bawang hijau. Setiap dari hidangan ini, membawa sejarah yang berlainan. Ikan masin sejak sekian lama menjadi simbol kekayaan bagi warga mesir, mungkin kerana harganya yang mahal. Tidak semua orang boleh dapat. Ianya dipercayai dengan memberi Tuhan ikan ini, kesuburan tanah akan meningkat dan hasil akan lebih lumayan.

Bawang hijau pula akan dihiris dan diletakkan di setiap penjuru katil untuk mengelakkan kebosanan dan kekejangan (fatigue) berlaku pada sesiapa yng baring di katil tersebut. Hirisan bawang hijau ini juga dimakan begitu sahaja kerana dipercayai sangat baik untuk kesihatan.

Menurut lagenda Mesir kuno, salah seorang puteri firaun mempunyai penyakit yang tidak dapat disembuhkan walaupun telah berjumpa dengan ramai doktor sehinggalah ada Imam Besar telah memberikannya beberapa titis jus yang dibuat dari bawang. Kesihatan puteri Firaun itu bertambah baik dan ayahnya, Firaun berasa amat gembira. Lantas menamakan hari itu hari menjelajah kota untuk memakan bawang.

Telur pula dipercayai membawa tuah dan boleh menghindari kuasa-kuasa jahat dan unsur cemburu. Mereka akan mendidih telur pada malam Sham El-Nessim, menghias dan mewarnai telur itu mengikut kreativiti masing-masing. Kemudian menulis keinginan mereka atas telur, susunkan didalam bakul dan menggantung pada pohon atau atap rumah dengan harapan para dewa akan menjawab keinginan mereka pada waktu fajar.

c

Pada malam Sham El-Nessim ini, sanak saudara akan berkumpul untuk mewarnai telur rebus, mensiapkan Feseekh dan bawang. Keesokkannya pergi berkelah beramai-ramai. Perayaan ini juga bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara sanak saudara yang jarang berjumpa.

Disediakan Oleh :

Hamiz Syazwan
Unit Karya
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014

Tinggalkan komen anda