Home > Menu > Berita > FROM ZERO TO HERO : Skuad Bola Baling Zagazig Muncul Naib Johan ICE.

FROM ZERO TO HERO : Skuad Bola Baling Zagazig Muncul Naib Johan ICE.

Kaherah, 5 April 2013 – Skuad bola baling PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) tersenyum gembira kali ini apabila muncul naib johan InterChapter Games (ICE)  akhawat yang telah berlangsung di Nadi Shabab Zenhome, Abou Rish, Kaherah

Skuad kuda putih telah menghantar dua pasukan untuk berentap dengan 6 PERUBATAN  cawangan yang lain. Acara pada pagi itu dimulakan dengan perlawanan pertama kalah mati antara pasukan Zagazig 1 bertemu pasukan Azhar 1 . Sorakan padu penyokong yang sentiasa memberi semangat kepada para pemain menyaksikan perlawanan yang sengit di antara kedua pasukan . Namun, pada minit-minit terakhir pasukan Zagazig 1 tumpas dengan mata 3 berbalas 2.

Kekalahan Zagazig 1 jelas membangkitkan semangat pasukan Zagazig 2 untuk menebus kekalahan dan membawa pulang pingat. Perlawanan bermula garang menyaksikan pasukan Zagazig 2 berjaya menang mudah ke atas Mansurah 2 dengan jaringan 7-2. Mereka kemudian layak ke perlawanan seterusnya melawan pasukan Cairo 2. Ternyata gawang pasukan Zagazig 2 tidak mudah dirobek lawan  dan kali ini sekali lagi berjaya mengalahkan pasukan lawan dengan jaringan 4-1.

Perlawanan seterusnya menyaksikan pasukan kita berentap dengan pasukan Tanta 2 dalam perlawanan separuh akhir. Corak permainan serta kerjasama antara pemain sekali lagi membuahkan hasil apabila pasukan Zagazig 2 berjaya menumpaskan Tanta 2 dengan mata akhir perlawanan 5-0. Akhirnya, detik yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pasukan Zagazig 2 berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir bertemu Azhar 1. Teriakan serta sokongan padu penyokong menjadikan perlawanan makin rancak. Walaupun ramai pemain mengalami kecederaan semasa perlawanan akhir ini, ianya bukanlah penyebab untuk pasukan Zagazig 2 menyerah kalah.

Momentum cemerlang diteruskan. Setiap jaringan ditepis, setiap bola ditangkis , namun pasukan Zagazig 2 terpaksa akur dengan keputusan perlawanan apabila tewas dengan mata 1-4. 

“Setiap kali saya melihat bola yang ingin dijaringkan, saya akan berusaha bersungguh-sungguh agar tidak bolos kerana saya adalah benteng terakhir pasukan kita.” kata penjaga gawang pasukan Zagazig 2, saudari Syakinah Khalisha binti Kamaruddin yang juga merupakan kapten pasukan kuda putih.

Dengan slogan “tengok bola, ingat Allah”, kemenangan ini merupakan pembakar semangat kepada skuad bola baling untuk terus berjaya sekaligus menebus kekalahan lalu pada PERUBATAN Sports Day  tahun lepas kerana gagal menempatkan diri ke peringkat akhir.

skuad bola baling

Disediakan oleh,

Amani binti Ramli
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2013/2014.

Tinggalkan komen anda