Home > Menu > Berita > LIFE Winter Camp Membawa Kelainan

LIFE Winter Camp Membawa Kelainan

ZAGAZIG ,02 Februari – Pada hari Isnin dan Selasa yang lalu, Unit LIFE Mentor Council dibawah Unit Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) telah mengadakan Program ‘LIFE WINTER CAMP’ bertempat di dewan baru. Program yang berlangsung selama dua hari ini dilihat membawa sedikit kelainan daripada atur cara program LIFE yang sebelumnya.

DSCN8201

Tujuan program berkala sebegini adalah untuk memberi pendedahan asas-asas Islam kepada mahasiswa mahasiswi baru serta merta merapatkan lagi ukhuwah di antara mereka. Majlis yang bermula sekitar jam 9 pagi itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Saudara Mohd Hashif bin Hamzah selaku Pengarah Akademi LIFE II Siri 3. Seterusnya, majlis dirasmikan oleh Saudara Muhammad Farhan bin Ahmat Murtza selaku Ketua Unit Pembangunan Insan PCZ 2012/13.

Antara slot pengisian di dalam tentatif awal program ialah penyampaian ceramah bertajuk ‘Thaqafah Ad-Dai’eyah’ yang disampaikan oleh Saudara Syamsul Bakri bin Osman,pelajar tahun 6 kuliah perubatan. Kemudian, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk slot LDK.

Sesudah solat Zohor dan makan tengah hari, majlis diteruskan dengan pengisian yang menarik bertajuk ‘Baju Melayu vs Baju kurung’ yang disampaikan oleh pasangan suami isteri, Saudara Abdul Hadi bin Zuki dan Saudari Farhuda Zulaikha binti Dol yang mana kedua-duanya merupakan pelajar tahun 6 perubatan. Manakala pada petangnya pula, majlis dihangatkan lagi dengan slot debat yang berlangsung di antara peserta lelaki dan peserta perempuan.DSCN8120

Seterusnya, slot santai mula menyusul dengan permainan ‘indoor games’ dan kemudiannya peserta dihidangkan ayam BBQ pada sebelah malamnya.

Program diteruskan lagi pada hari yang kedua dengan slot ‘talk show’ yang disampaikan oleh Ustaz Aliffudin Ramlee, mahasiswa tahun 3 Usuluddin dan Dakwah, Universiti Al-Azhar Mansurah, dengan tajuknya “Jahiliah Moden”. Peserta kemudiannya dibawa ke acara kemuncak yang dinanti-nantikan, iaitu slot explorace yang mana mereka harus melalui beberapa check point yang ditentukan untuk memenangi permainan.

Majlis kemudian tiba ke penghujungnya dengan acara penyampaian hadiah kepada keseluruhan peserta sesudah segmen penutupan majlis.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu maka kamu menjadi bersaudara sedangkan kamu diatas tepi jurang api neraka, maka Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah menjelaskan ayat ayatnya agar kamu mendapat petunjuk

(Surah Al-‘Imran : 103)

 

“Mencipta Langkah, Mengaspirasi Ummah”

 

Yang menjalankan tugas,

 

Nurul Saidatul Husna bt Mohamad Ab Karim,
Setiausaha LIFE II Siri 3 (LIFE WINTER CAMP),
Mentor Council Unit Pembangunan Insan PCZ 2012/2013

Tinggalkan komen anda