Home > Farmasi > Kenyataan Rasmi Masalah Di Kuliah Farmasi, Universiti Zagazig

Kenyataan Rasmi Masalah Di Kuliah Farmasi, Universiti Zagazig

post logo (jpg)

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw dan keluarga baginda serta sahabat-sahabat.

Berhubung dengan masalah ahli PCZ di Kuliah Farmasi, PCZ telah membuat beberapa siri pertemuan dengan beberapa pihak tertentu dalam usaha untuk menyelesaikan kemelut ini.

ISU BAYARAN DENDA USD 2000 UNTUK SUBJEK YANG GAGAL BAGI PELAJAR  KULIAH FARMASI

Mengenai isu ini, PCZ telah beberapa kali berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Bagi memahami secara jelas, berikut adalah kronologi ringkas tentang bagaimana perkara ini berlaku:

Mac 2012:

Prof Dr Rasha, Koordinator Program Klinikal Farmasi memaklumkan mengenai arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir untuk melaksanakan denda tersebut dengan mengemukakan surat rasmi daripada KPT Mesir dan juga Idarah Wafidin (Pejabat Pelajar Luar Negara), Universiti Zagazig.

6 April 2012:

Perjumpaan dengan Atase Pendidikan, Education Malaysia Egypt (EME), En. Khairi Jalaluddin di DMAK dan hasilnya, PCZ mengeluarkan surat rasmi dengan sokongan pihak EME untuk meminta pihak fakulti mengkaji semula pelaksanaan sistem tersebut atas alasan membebankan pelajar. Surat ini dilampirkan bersama memorandum yang ditandatangani oleh semua pelajar Malaysia di Kuliah Farmasi untuk membantah pelaksanaan sistem tersebut. Pihak EME juga menyertakan surat memohon kenyataan pihak fakulti tentang kadar yuran semasa pelajar Malaysia. Surat tersebut telah diserahkan pada keesokan harinya.

Julai 2012:

Mesyuarat di peringkat Presiden Universiti memutuskan untuk membuat rayuan kepada KPT Mesir untuk mengurangkan denda kepada USD 1000.

24 September 2012:

Mesyuarat pimpinan PCZ dengan pentadbiran kuliah. Perbincangan mengenai isu ini juga diadakan di samping masalah-masalah lain di fakulti. PCZ dimaklumkan bahawa hasil rayuan pihak universiti kepada KPT Mesir ditolak dan PCZ diminta untuk merujuk kepada pihak KBMK atau EME untuk menyelesaikan masalah ini.

November 2012:

Satu dokumentasi lengkap telah disediakan berkaitan permasalahan ini dan diserahkan kepada EME.

4 Feb 2013:

Satu pertemuan telah disusun dengan Pengarah EME di Bilik Mesyuarat, Pejabat EME, Mohandeseen, Giza. Pengarah menyatakan masalah ini tidak boleh diselesaikan diperingkat Kuliah mahupun Presiden Universiti tetapi ianya mesti diselesaikan diperingkat KPT Mesir disebabkan bukan sahaja Universiti Zagazig yang mempunyai masalah tetapi melibatkan universiti lain juga yang mempunyai pelajar Malaysia. Resolusi perbincangan adalah seperti berikut:

  • Satu pertemuan antara Pengarah EME dengan Menteri Pengajian Tinggi Mesir akan dibuat dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah ini sama ada dimansuhkan atau dikurangkan kepada kadar tertentu. Keputusannya akan tertakluk kepada perbincangan.
  • Buat sementara ini, Ustaz Sulaiman, Staf EME akan menghubungi pihak fakulti supaya pelajar yang terlibat dibenarkan untuk mendaftar subjek yang diulang itu dahulu dan menangguh pembayaran denda tersebut sehingga keputusan baru yang akan dikeluarkan oleh KPT Mesir dalam masa terdekat.

ISU PERCAMPURAN KELAS TAHUN 3, KULIAH FARMASI DENGAN PELAJAR ARAB

Berhubung dengan masalah percampuran kelas dengan pelajar tempatan, kami dimaklumkan oleh pihak EME bahawa pelajar dibawah MoU sepatutnya diasingkan kelas pengajian daripada pelajar tempatan tetapi atas alasan tertentu oleh pihak Kuliah Farmasi, kelas pengajian tidak diasingkan.

Hal ini menyebabkan kesukaran kepada pelajar untuk memahami pengajian yang disampaikan dalam Bahasa Arab Ammiyah. Oleh yang demikian, isu ini telah dibawa diperingkat fakulti dan juga EME. Surat rasmi juga telah dihantar kepada pihak universiti oleh EME untuk meminta pengasingan kelas pelajar Malaysia, tetapi tiada maklum balas daripada pihak universiti. Hasil perbincangan dengan Pengarah EME pada 4 Februari 2013:

  • Satu surat amaran daripada EME akan diserahkankan kepada Fakulti Farmasi untuk mengasingkan kelas pelajar Farmasi Tahun 3 kerana melanggar MoU yang telah disepakati antara KPT Malaysia dan Mesir. Jika tiada penyelesaian, perkara ini akan dilaporkan kepada peringkat KPT Mesir.

PCZ akan mengikuti perkembangan masalah ini dari semasa ke semasa dan komited untuk menyelesaikan masalah ini untuk mengurangkan beban ahli di Universiti Zagazig.

Sama-sama kita doakan agar masalah ini dapat diselesaikan supaya setiap ahli dapat meneruskan pengajian masing-masing dengan tenang.

Wallahua’lam.

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

Yang benar,

hakim

 ABD HAKIM BIN MOHD SUHIMINPengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig,
Sesi 2012/2013.

2 comments

  1. MAIMON ABDUL MAJID

    saya ada perancangan utk hantar anak further study di universiti zaqazig dlm bidang farmasi. bolehkan update saya anggaran bilangan pelajar malaysia yg hadiri kursus farmasi sehingga kini. jutaan terima kasih.

    • Assalamualaikum. Bilangan terkini pelajar jurusan Farmasi Universiti Zagazig sesi 2012/2013 ialah : Tahun 4(26), Tahun 3(9), Tahun 2(31), Tahun 1(60).

Leave a Reply to MAIMON ABDUL MAJID Cancel reply