Home > Menu > Karya > Artikel > Ukhwah

Ukhwah

Bismillahirrahmaanirrahim, alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah, selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah s.a.w, keluarga dan para sahabat.

Kerap kali juga kita dengar atau baca berkenaan ukhwah  sehingga mungkin timbul rasa bosan. Namun suka untuk sama-sama kita muhasabah sejauh mana praktikalnya, sedangkan perkara ini melambangkan kemanisan iman bagi orang mukmin.

Sabda Rasulullah SAW :

‘’Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu); Allah dan Rasul-NYA adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka’’. (Riwayat Bukhari dan Muslim)”.semut

Dari sudut lain dapat kita lihat, antara ciri-ciri utama ibadat dalam Islam adalah berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antara lain membina ukhuwah serta perpaduan. Orang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan keluarga. Mereka berkewajipan memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan membantu dalam kehidupan seharian. 

Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1)Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2)Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).

ukhuwah2Selain itu Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu ditunaikan dalam persaudaraan Islam:

1) Saling membantu samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang bermaksud: “Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain”

2) Menolong saudara kita untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.

3) Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada atau tiada dan tidak mencari-cari kesalahannya.

4) Menyebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar pernah berkata: “Tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua; lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan panggilan yang baik.”

5) Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau melakukan dosa.

6) Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.

7) Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.

8) Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya.

Sesungguhnya kepadaNYA jua akan kita kembali, marilah sama-sama kita menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

Wallahua’lam.

Zahidah Bt Hosman
Timbalan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Zagazig Sesi 2012/13.

Tinggalkan komen anda