Home > Menu > Karya > Artikel > Syahadah Kehidupan

Syahadah Kehidupan

Bismillah walhamdulillah kepada Allah SWT kerana saban masa dan ketika kita menikmati kurniaan Allah. Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan Allah kepada kita.

Demikian banyak nikmat Allah SWT dan tidak ada seorang pun manusia yang bisa menghitungnya, meskipun menggunakan  alat secanggih apapun. Pernahkah kita terfikir untuk apa Allah swt memberikan demikian banyak nikmat kepada para hambaNya? Adakah sekadar menghabiskan nikmat-nikmat tersebut atau ada tujuan lain?grateful

Ibnu Abbas r.a berkata : “Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah SWT, baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan maupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran.”

Suka untuk saya bersama sahabat-sahabat, kita menyelusuri erti syahadah kehidupan yang melayakkan kita bergelar orang Islam. Adakah cukup syahdatul haq ini dengan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat? Jawapannya, pasti tidak kerana tanggungjawab syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Dengan kata lain kita perlu menjelaskan ke seluruh alam, kebenaran yang bakal memimpin mereka menggunakan jalan yang lurus, cara yang betul dan amalan yang berkekalan.

Islam amat memerlukan profesional yang tahu tanggungjawab mereka kepada agama. Yang memahami konsep syahadah, rukun Islam yang pertama ini. Mereka ini yang akan memberi perkhidmatan kepada masyarakat, mereka ini yang akan mewujudkan keperluan untuk masyarakat. Kita perlukan pemimpin, rakyat, doktor, jururawat, guru, jurutera, arkitek, eksekutif dan tenaga profesional yang sedar akan tanggungjawab mereka terhadap agama.

full time muslimContohnya, seorang pemimpin yang Islamik pasti memerintah mengikut garis panduaan yang ditetapkan oleh Allah. Seorang arkitek yang Islamik pasti tahu keperluan surau untuk pengunjung Islam di pusat membeli-belah yang besar. Seorang eksekutif yang Islamik pasti tahu mengatur masa untuk pekerjanya bersolat dan menyediakan bilik solat tanpa mempersoalkan produktiviti. Seorang guru yang Islamik walaupun bukan ustaz atau ustazah pasti menerapkan nama Allah dalam pengajarannya supaya anak murid dapat mengaitkan Islam itu dengan ilmu. Dan sebagai umat Islam sendiri, Islamik itu amat dituntut dalam setiap segi dalam kehidupan kita.

Ketahuilah bahawa segala yang dicari oleh setiap orang adalah nikmat. Akan tetapi kenikmatan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat kelak dan segala nikmat selainnya akan lenyap.

Disediakan oleh,

Siti Amirah binti Yusof,
Timb. Ketua Unit Pembangunan Insan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012/13.

Tinggalkan komen anda