Home > Menu > Berita > Apabila Para Pemudi Beraksi!

Apabila Para Pemudi Beraksi!

ZAGAZIG, 7 Disember – Pada hari Jumaat yang lepas, Unit Sukan dan Aktiviti Luar PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) telah mengadakan satu aktiviti sukan yang diberi nama FATAYAT Games, bertempat di Stadium Universiti. FATAYAT yang membawa maksud pemudi, dan dengan moto “Beriadah Menjalin Ukhuwah”, aktiviti tersebut telah dijalankan dengan harapan agar dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan mahasiswi Malaysia di Zagazig.

“Saya selaku Pengarah FATAYAT Games berharap agar ukhuwah yang terjalin sepanjang program ini berlangsung tidak akan cuma terhenti di sini, sebaliknya akan terus terjalin walau di luar program sekalipun,” ulas Pengarah FATAYAT Games, saudari Manisa Sazwin.

Menggabungkan seluruh mahasiswi Zagazig sama ada pelajar Medik mahupun Farmasi lalu dibahagikan kepada 11 kumpulan tanpa mengira tahun kuliah, setiap kumpulan tampil bersemangat dengan maskot mereka yang bertemakan Cosplay ataupun watak kartun berdasarkan warna kumpulan masing-masing.

Dengan kerjasama kelab-kelab permainan yang lain, akhirnya FATAYAT Games telah berjaya mengadakan pertandingan bola jaring, bola keranjang, futsal, sukaneka dan indoor games. Antara kelima-lima permainan tersebut, sukaneka tampaknya mampu menarik perhatian para peserta dengan membawa sedikit kelainan dalam acara Word World. Acara ini membuatkan para peserta terpaksa bermandi dengan tepung bagi mencari perkataan yang disembunyikan dalam tepung tersebut.

Namun begitu, yang lebih ditunggu-tunggu para mahasisiwi Zagazig bukanlah permainan-permainan yang akan diadakan, tetapi gerai-gerai jualan yang turut dibuka bagi memeriahkan lagi suasana hari tersebut. Dengan 14 gerai, pelbagai makanan, minuman dan barangan ada dijual.

Daripada Sayyidina Anas Radhiallahu ‘Anhu, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidak akan beriman seorangpun dalam kalangan kamu semua (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, semoga ukhuwah yang dibina dalam kalangan pemudi Zagazig akan terus berkekalan, sekaligus mempertingkatkan lagi biah solehah di Zagazig ini.

“Beriadah Menjalin Ukhuwah”

Yang menjalankan tugas,

Liyana Khalisa binti Kula,
Timbalan Ketua Jabatan Liputan,
Unit Penerbitan dan Penerangan PCZ 2012/2013.

Tinggalkan komen anda