Home > Majlis Tertinggi > Laporan Seminar Pharmedic Zagazig 2012 (Pharmedic’12)

Laporan Seminar Pharmedic Zagazig 2012 (Pharmedic’12)

Pada 15 November 2012, PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) telah menganjurkan Seminar Pharmedic. Seminar yang mengabungkan mahasiswa jurusan farmasi dan perubatan merupakan seminar pertama yang dilangsungkan di Zagazig. Seramai 199 orang mahasiswa jurusan perubatan manakala 200 orang mahasiswa jurusan farmasi telah mengambil bahagian. Seminar berlangsung selama dua hari bertempat di Dewan Mushtashyfa Garahah, Hospital Bedah Universiti Zagazig.

                Hari pertama bermula pada jam 4.15 petang. Program dimulakan dengan majlis perasmian pembukaan Pharmed’12. Majlis dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh saudara Miftahudin Bin Sufyan. Seterusnya, hadirin dijemput bangun dan sama-sama menyanyikan lagu Negaraku. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan Pengarah Pharmed’12, saudara Mohd Bukhari Muslim Bin Mohd Nadzim. Kemudian, ucapan Pengerusi PCZ, saudara Abdul Hakim Bin Mohd Nadzim.

              Majlis diteruskan dengan menjemput wakil PERUBATAN, ketua Biro Penerbitan dan Penerangan PERUBATAN, saudara Faiz Bin Zaib untuk menyampaikan ucapan. Seterusnya, majlis dengan berbesar hati menjemput Koordinator Pelajar Malaysia, Fakulti Farmasi Universiti Zagazig, Prof Dr. Maged Abou Hashim untuk menyampaikan ucapan. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan pembukaan oleh Encik Shaiful Anuar Mohammad, Ketua Canseri, Kedutaan Malaysia (Kaherah) seterusnya merasmikan majlis perasmian Pharmed’12.

Setelah majlis perasmian selesai, seminar dimulakan denggan slot yang pertama iaitu Career and Challenges. Slot ini telah dikendalikan oleh Prof Dr. Yahaya Hassan dengan membentangkan kertas kerja Career and Challenges. Dalam slot ini, peserta didedahkan tentang realiti dan cabaran yang perlu dihadapi sepulangnya peserta ke Malaysia. Selain itu, peserta juga akan mengetahui dengan lebih mendalam akan cabang untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi atau pilihan lain yang mungkin boleh diceburi selepas alam ijazah ini.

               Seminar diteruskan lagi dengan slot Workshop oleh Prof Dr. Muhamed Mansur Manan. Dalam slot ini, peserta dicerahkan mengenai kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam menghadapi realiti suasana pekerjaan di Malaysia kelak di samping pengenalan alatan atau mesin terkini yang sering diguna pakai di Malaysia yang sudah tentu berbeza daripada Mesir.

               Dengan berakhirnya slot Workshop itu, maka berakhirlah seminar Pharmed ’12 untuk hari pertama. Majlis ditangguhkan sehingga keesokkan harinya. Majlis kemudiannya bersurai.

                Seminar diteruskan lagi pada 16 November 2012. Slot pertama, iaitu slot  Fiqh Ubat:  Sunnah & Saintifik telah dikendalikan oleh Prof Norizan Abdul Aziz menerangkan mengenai, sumber -sumber dan dan hukum penggunaan ubat -ubat tertentu. Dalam slot ini juga, para peserta diterangkan tentang penggunaan kod-kod yang sering disalah ertikan oleh sesetengah pihak. Peserta turut dimaklumkan mengenai penemuan-penemuan terkini dalam khasiat berubat mengikut sunnah nabi SAW.

Majlis berehat seketika sebelum tibanya  masuk waktu solat jumaat bagi memberi laluan kepada para peserta untuk menunaikan solat jumaat dan makan tengahari.

Seminar diteruskan lagi dengan forum yang bertajuk Bicara Pharmedic. Forum dikendalikan oleh saudari Fatin Azzayati Pakururazi. Panel  forum terdiri daripada, Prof. Dr. Muhamed Mansur Manan, Prof Dr Yahya Hassan, dan Prof Dr Noorizan Abd Aziz. Semasa forum berlangsung, ahli panel telah  menjawab segala soalan yang diutarakan oleh peserta melalui kotak soalan yang telah disediakan sejak berlangsungnya seminar. Semua soalan berkisar mengenai bidang famasi dan perubatan.

Majlis berhenti seketika bagi memberi ruang kepada peserta  untuk menunaikan solat Asar. Kemudian seminar diteruskan lagi dengan sesi MTAC preparation. Dalam sesi ini, peserta di bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan mengenai tugas-tugas yang diberikan. Peserta kemudiannya membentangkan hasil perbincangan mereka dalam slot Terakhir iaitu slot MTAC Presentation.

Seminar diakhiri dengan majlis penutup yang berlangsung pada pukul 6.40 petang. Majlis dimulakan dengan ketibaan dif-dif kehormat masuk ke dewan. Ucapan alu-aluan telah disampaikan Saudara Mohd Bukhari Muslim Bin Mohd Nazim  merangkap pengarah pogram Pharmedic’12. Kemudian diteruskan lagi dengan ucapan Pengerusi PCZ, saudara Abdul Hakim Bin Suhimin. Presiden PERUBATAN, Wan Ahmad Hafizi Bin Wan Ahmad Junaidi, turut dijemput untuk memberi ucapan. Majlis penutup disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian dari En Muhammad Zikril Azan Bin Abdullah, Pegawai Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL), Jabatan Pekhidmatan Awam, Pejabat PPL Kaherah, Mesir. Majlis penutup diakhiri dengan pemberian cenderahati dan sijil kepada pengisi slot, perasmi dan peserta.

Disediakan oleh:

Wan Fikri Hizry bin Wan Jusoh,
Setiausaha PharMed ‘12,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012/13.

Tinggalkan komen anda