Home > Majlis Tertinggi > Jabatan Setiausaha > Kenyataan Rasmi: Kemaskini Maklumat Ahli

Kenyataan Rasmi: Kemaskini Maklumat Ahli

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bersempena dengan sesi akademik 2012/2013, Jabatan Setiausaha Agung PERUBATAN di peringkat Pusat, Cawangan dan OPU akan menjalankan satu gerak kerja mengemaskini data asas bagi seluruh mahasiswa Sains Kesihatan di Perlembahan Nil.

Antara objektif gerak kerja ini adalah:

  1. Menggerakkan agenda professionalisme dalam PERUBATAN dan menjadi salah satu keperluan asas dalam pengurusan yang lebih strategik
  2. Mengemaskini data asas ahli yang berkemungkinan berubah setiap tahun
  3. Mengumpulkan maklumat kewangan pelajar bagi menyalurkan bantuan TKS
  4. Persediaan menghadapi sebarang keadaan kecemasan
  5. Mendapatkan bilangan tepat warga Sains Kesihatan di Mesir
  6. Membuat analisa corak taburan ahli PERUBATAN dalam tiga bidang berbeza secara pendataan tepat

Walaupun pihak Kementerian Luar Negeri telah menetapkan seluruh warga Malaysia yang berada di luar Negara melebihi 3 bulan hendaklah mendaftarkan diri di Pejabat Perwakilan terdekat, tidak semua kita bertindak sedemikian.

Adalah dimaklumi, tiada satu usaha khusus bagi mengumpulkan seluruh nama warga Malaysia yang berada di Mesir telah diadakan. Keadaan ini sedikit sebanyak menjadi satu muhasabah terpenting bilamana keadaan genting dalam tempoh revolusi 2011 telah menyaksikan ada pelajar yang terpaksa bergerak sendiri ke lapangan terbang kerana nama mereka tidak tersenarai oleh mana-mana badan dan persatuan, menyebabkan mereka tidak dihubungi dan dicari oleh sesiapa pun.

Selain itu, bagi menambah baik pengurusan PERUBATAN, data keahlian merupakan satu nilai dasar yang wajib ada bagi membolehkan unsur ini sentiasa diambil kira dalam merancang semua gerak kerja. Strategiknya pengurusan hanya boleh dilaksana setelah mana seluruh kekuatan dan kelemahan yang ada dapat dikenalpasti.

Teknikal Pengisian Borang

Bagi OPU, semua gerak kerja ini sedang berjalan dan akan selesai dalam minggu ini. Manakala, di peringkat PERUBATAN Cawangan, semua borang akan diedarkan melalui Setiausaha PERUBATAN Cawangan masing-masing. Ahli akan mengisi dan menyerahkan borang ini mengikut tahun akademik masing-masing (bukan tahun ketibaan ke Mesir).

Proses ini akan berjalan bermula 11 November 2012 sehinggalah tawaquf untuk Peperiksaan Pertengahan Tahun. Kami mensasarkan bilangan lengkap ahli dapat diperoleh sebelum Mesyuarat Agung Tahunan ke-9.

Tidak lain dan tidak bukan, gerak kerja ini akhirnya disandarkan kepada keredhaan Allah, moga-moga usaha ini dapat menjadi titik tolak untuk memastikan kebajikan dan keadaan warga Sains Kesihatan di Mesir dapat dipantau.

Kami juga mengharapkan kerjasama padu daripada seluruh pihak, bermula daripada Ketua Batch, dan seterusnya seluruh ahli bagi memastikan usaha ini dapat dijayakan.

Sekian, Terima Kasih.

humairahibrahim

NUR HUMAIRAH CHE IBRAHIM
Timbalan Setiausaha Agung
PERUBATAN 2012/2013

Tinggalkan komen anda