Home > Menu > Berita > Road To Mumtaz Menjelaskan Gambaran Belajar Di Mesir

Road To Mumtaz Menjelaskan Gambaran Belajar Di Mesir

Zagazig, 11 Oktober 2012 – Masjid Salam buat pertama kalinya dipenuhi “warga baru Zagazig”, mahasiswa-mahasiswi tahun 1 Universiti Zagazig sesi 2012/2013 yang mengikuti Road to Mumtaz iaitu salah satu program yang disusun oleh AHLAN’ 12 dengan kerjasama Unit Akademik PCZ 2012 khusus untuk para pelajar baru Universiti Zagazig. Forum Road to Mumtaz ini bertujuan memberi motivasi, semangat dan tips-tips belajar kepada para pelajar tahun 1 sama ada dalam bidang perubatan mahupun farmasi.

Majlis ilmu ini telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah pada jam 8.10 malam. Selepas menerangkan secara ringkas tentang perjalanan AHLAN’ 12, Saudara Hassan Sholahuddin bin Salleh selaku pengerusi majlis telah menjemput Saudara Mohd Syahmi Amir Md. Razali, Pengarah AHLAN’ 12 untuk menyampaikan ucapan alu-aluannya. Pengarah AHLAN’ 12 mengakhiri ucapannya dengan memberi satu peringatan yang menaikkan semangat para pencinta ilmu dengan memetik sepotong maksud hadis Rasulullah saw, “ Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” Seterusnya, pengerusi majlis mempersilakan Saudari Siti Nurshakirah bt Yaacob, Timbalan Ketua Unit Akademik PCZ 2012 bagi menyampaikan sepatah dua kata mewakili Unit Akademik PCZ, serta memperkenalkan serba sedikit fungsi dan unit-unit kecil yang berada di bawah Unit Akademik. 

Sekitar jam 8.35 malam, Saudara Mohd Zakhiruddin bin A. Bakar, selaku moderator forum Road To Mumtaz,merangkap Ketua Unit Akademik PCZ 2012 dijemput untuk tampil mengambil tempat di hadapan bagi mengendalikan forum yang dinanti-nantikan hadirin. Saudari Nur Zahidah Hosman serta Saudari Siti Munirah Abdul Rashid masing-masing di tahun lima dan tahun 3 kuliah Perubatan Universiti Zagazig bersama-sama Saudari Khadijah bt Abdul Razak, tahun ke empat kuliah Farmasi Universiti Zagazig telah dijemput sebagai panel forum tersebut. Ketiga-tiga panel ini merupakan pelajar cemerlang sepanjang sesi pengajian mereka di Unversiti Zagazig dan sentiasa dijemput untuk berkongsi pengalaman dan tips-tips mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Moderator memulakan forum tersebut dengan memperkenalkan latar belakang semua panel serta beberapa kejayaan panel sepanjang pengajian mereka di Mesir. Kemudian, forum diteruskan dengan perkongsian pengalaman dan teknik-teknik belajar daripada semua panel. Antara soalan yang diketengahkan oleh moderator adalah, kepentingan  subjek-subjek tahun 1 dalam bidang perubatan, cara-cara belajar subjek-subjek tahun 1 kuliah perubatan dan farmasi, dan pengalaman pengurusan masa seorang pelajar di samping tanggungjawab dalam persatuan dan rumah tangga. Dalam pusingan ke tiga, hadirin diberi peluang untuk mengajukan soalan kepada panel-panel forum. 2 soalan daripada mahasiswi dan 2 soalan daripada mahasiswa telah dikumpulkan untuk dijawab oleh panel-panel tersebut. Pada minit-minit terakhir sebelum forum ditamatkan, ketiga-tiga panel diberi peluang untuk membuat kesimpulan. Ketiga-tiga panel telah menyimpulkan pandangan mereka pada malam itu dengan baik serta mengambil peluang untuk melontarkan kalam-kalam yang menaikkan semangat hadirin. Frasa “ jangan fikir medik ni senang “ dan “ fikirkan kita boleh” yang dilafazkan Saudari Nur Zahidah Hosman, telah disemat sebaik mungkin dalam fikiran mahasiswa-mahasiswi tahun 1. Panel ke dua turut ‘menghadiahkan’ satu kata-kata semangat “ molekul air dalam badan kita akan berusaha ke arah apa yang kita fikirkan, jika kita fikirkan boleh, maka molekul air itu akan berusaha ke arah itu.” Dan, panel ke tiga menyeru agar para hadirin yang hadir untuk meletakkan matlamat yang paling tinggi dalam pencapaian yang ingin dicapai. Akhirnya, Saudara Zakhiruddin menyerahkan kembali majlis kepada pengerusi umum. Sebelum majlis ditangguhkan, pengerusi majlis telah menjemput Saudari Fatmatul Zahrah Mat Zin, Timbalan Pengerusi II PCZ 2012 diiringi Saudari Siti Najwa Roslan, Timbalan Pengarah II AHLAN’ 12 bagi menyampaikan cenderahati tanda pengahargaan kepada panel-panel dan moderator forum tadi.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini. Semoga semua mahasiswa-mahasiswi yang hadir khususnya ahli-ahli tahun 1 dapat mengambil sebanyak mungkin tips-tips dan pengalaman yang dikongsikan para panel sepanjang forum berlangsung. Mudah-mudahan, dengan keberkatan perkongsian tersebut, dapat memberi semangat kepada semua pelajar baru seterusnya meningkatkan lagi prestasi akademik para pelajar Universiti Zagazig.

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

 

Disediakan Oleh :

SYAFIAH BINTI MOHAMAD

Timbalan Setiausaha,

Program Sambutan Mahasiswa Baru 2012/2013 (AHLAN’ 12)

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

 

Tinggalkan komen anda