Home > Menu > Berita > Program ‘Balik Kampung’ : Menghubungkan anak-anak negeri dan BKAN

Program ‘Balik Kampung’ : Menghubungkan anak-anak negeri dan BKAN

Zagazig, 10 Oktober 2012 – Satu program khas yang disusun AHLAN’ 12 yang disasarkan untuk mahasiswa-mahasiswi baru mengenali Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) masing-masing telah berlangsung sekitar jam 7 hingga 9.30 malam. Program bermula dengan perkumpulan semua mahasiswa tahun satu di Rumah Saudara Naim Sarfaraz Ahmad dan mahasiswi tahun satu di Dewan Darul Wehdah sebelum dibahagikan kepada beberapa kawasan mengikut negeri masing-masing. 

Sekitar jam 7.30 malam, para pelajar dibawa ke tempat-tempat yang ditetapkan untuk perjumpaan setiap negeri. Antara kawasan yang terlibat adalah Dewan Darul Wehadah, Darussalam, Rumah Dr. Abdul Hadi, Rumah Dr. Zubair, Rumah Dr. Farid Iskandar dan Rumah Dr. Saidatul Husna. Perjumpaan anak-anak negeri bersama wakil BKAN masing-masing berlangsung selama satu jam. Antara agenda yang berjalan sepanjang perjumpaan santai ini adalah sesi ta’aruf wakil BKAN dan pelajar baru, pengenalan BKAN dan kebajikan yang disediakan, penerangan zakat dan pinjaman pembelajaran daripada kerajaan negeri, sesi soal jawab dan sesi mengisi borang BKAN. Pelbagai persoalan yang diajukan oleh ahli-ahli baru cuba dijawab dengan sebaik mungkin oleh wakil-wakil BKAN yang hadir bagi menunjukkan ketelusan mereka dalam menjaga kebajikan anak negeri mereka yang berada di Mesir. Kalam-kalam kebanyakan wakil BKAN mengalu-alukan semua anak negeri mereka untuk bertandang ke rumah negeri di Kaherah.

Selesai perjumpaan selama satu jam itu, mahasiswa dibenarkan untuk bersurai dan semua mahasiswi dibawa untuk berkumpul kembali di Dewan Darul Wehdah bagi memudahkan teknikal pulang ke rumah masing-masing.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua wakil BKAN yang sudi untuk turun ke “Bumi Kuda Putih”, semata-mata untuk bertemu mata, menjalinkan ukhuwwah bersama-sama ahli-ahli baru daripada Zagazig. Semoga dengan pertemuan pertama yang disusun ini dapat memberi seinfiniti manfaat untuk semua dan hubungan bersama BKAN masing-masing dapat mengukuhkan lagi kesatuan mahasiswa-mahasiswi Islam di seluruh Mesir.

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

Disediakan Oleh :

SYAFIAH BINTI MOHAMAD

Timbalan Setiausaha,

Program Sambutan Mahasiswa Baru 2012/2013 (AHLAN’ 12)

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

 

Tinggalkan komen anda