Home > Menu > Berita > Lawatan Sambil Belajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak

Lawatan Sambil Belajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak

Pada 3 Oktober 2012 yang lalu, Fakulti Perubatan Universiti Zagazig telah menerima lawatan sambil belajar daripada 11 orang pelajar dan seorang guru dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR) . Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti dalam Program Pengantarabangsaan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, 5 dalam 1, ke universiti-unversiti di Mesir.

Rombongan InSTAR yang diiringi oleh Ustaz Muaz tiba di pintu utama Universiti Zagazig pada jam 9.00 pagi dan disambut oleh Penasihat 3 PERUBATAN Cawangan Zagazig, Saudari Siti Muslihah Mohd Nor, Timbalan Pengerusi 1, Saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad, Timbalan Pengerusi 2, Saudari Fatmatul Zahrah Mat Zin serta Timbalan Setiausaha, Saudari Nur Zahidah binti Hosman. Rombongan yang diketuai oleh Ustazah Siti Mariam binti Abdullah seterusnya di bawa ke pejabat Timbalan Dekan, Prof. Dr. Tareq Bromboly di bangunan pentadbiran, Fakulti Perubatan. Dr. Tareq serta Ketua Penyelaras Pelajar Malaysia, Prof. Dr. Osama Kamhawy berbesar hati menyambut ketibaan mereka, seterusnya memulakan sesi pengenalan dan ramah mesra. Kedua-dua pihak mengambil peluang mengajukan soalan dan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain. Majlis diakhiri dengan menandatangani Memorandum Kerjasama Dua Hala, pertukaran plak dan sesi fotografi.

Seterusnya, dengan diiringi Penyelaras Pelajar Malaysia, Dr. Nagwa Samy dan Dr. Amira Waly, para pelajar di bawa melawat sekitar Hospital Surgeri, Universiti Zagazig. Mereka berpeluang merasai suasana pembelajaran dalam kuliah pelajar tahun 6 bagi subjek Pembedahan . Rata-rata, para peserta mengatakan kesukaran untuk memahami bahasa Inggeris-Arab yang digunakan oleh pensyarah. Selepas sekitar 15 minit mengikuti kuliah, rombongan ini dibawa melawat kawasan Wad Pembedahan, seterusnya ke Scientific Center dan beberapa kawasan lain sekitar Hospital Surgeri. Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig, Saudara Abd Hakim Mohd Suhimin turut serta pada kali ini. Para peserta tidak melepaskan peluang bertanyakan soalan, mengambil gambar, dan mengambil kalam-kalam taujihad daripada para pensyarah.

Usai lawatan di Hospital Surgeri, dengan diiringi oleh Pembantu Penyelaras Pelajar Malaysia, Saudari Marwa, rombongan InSTAR di bawa melawat sekitar Universiti Zagazig dengan menaiki van yang disediakan oleh pihak fakulti. Para peserta diperkenalkan dengan fakulti-fakulti lain seperti Perniagaan, Sains, Kejuruteraan, Farmasi dan sebagainya selain melihat sendiri suasana di sekitar universiti. Selesai lawatan tersebut, mereka di bawa ke Pejabat Pengurusan Pelajar Malaysia. Di sana, para pelajar bertanya dan diterangkan dengan lebih lanjut berkenaan sistem pembelajaran di Fakuti Perubatan oleh AJKT PCZ yang terlibat di samping melihat sendiri buku-buku yang digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Para peserta menjadi lebih bersemangat dan teruja apabila dibawa ke Muzium Forensik dan berpeluang melihat spesimen-spesimen dengan bantuan pensyarah sendiri. Di akhir lawatan di fakulti, Prof. Dr. Osama dan Ustazah Siti Mariam menyampaikan kata-kata penutup dan penghargaan antara satu sama lain, selain bergambar bersama-sama dengan pelajar.

Selesai di universiti, mereka di bawa ke kawasan penempatan pelajar di Salam untuk berehat, menunaikan Solat Zohor serta makan tengahari. Pada penghujung lawatan, para peserta dan guru pengiring menyatakan rasa besar hati mereka atas lawatan ini. Alhamdulillah, sedikit sebanyak lawatan ke Universiti Zagazig memberikan semangat dan pendedahan kepada pelajar tingkatan 5 dan 4 InSTAR. Semoga hubungan baik ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

Disediakan oleh :

NUR ZAHIDAH BINTI HOSMAN
Timbalan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012

[finder]Klik di sini untuk pautan galeri gambar sepanjang lawatan[/finder]

Tinggalkan komen anda