Home > Menu > Berita > “Knock! Knock! Who’s There?” : Tiga Hari ‘meruntuhkan tembok’ senior dan junior

“Knock! Knock! Who’s There?” : Tiga Hari ‘meruntuhkan tembok’ senior dan junior

Zagazig, 9 Oktober 2012 – Menjelang senja 9 Oktober, senior-senior Zagazig yang menyertai program ziarah santai “Knock! Knock! Who’s There?”  yang dianjurkan AHLAN’ 12 melangkah ke rumah terakhir untuk dilawati. Program yang menautkan ukhuwwah ini telah berlangsung selama tiga hari, bermula 7 Oktober sehingga 9 Oktober 2012. Objektif utama penganjuran ziarah ini adalah untuk menautkan ukhuwwah antara pelajar baru Universiti Zagazig dan senior-senior yang terdiri daripada semua tahun dan bidang pengajian di Zagazig di samping memperkenalkan komuniti  mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Zagazig kepada para pelajar baru  disini.

Di peringkat mahasiswa, ziarah ini telah disertai 18 hingga 28 orang senior lelaki. Ziarah bermula dengan perkumpulan ahli rombongan di hadapan Dewan Darul Wehdah sekitar jam 3.45 – 4.oo petang setiap hari. Rumah-rumah yang terpilih untuk dilawati pada 8 Oktober itu adalah rumah-rumah pelajar baru di kawasan Salam dan Mauaf Tanta Adim (MTA). Sepanjang agenda ziarah itu, peluang bertaaruf antara senior dan junior diambil di samping beberapa persoalan tentang permasalahan rumah mahupun kebajikan yang boleh dihulurkan telah diajukan kepada para junior bagi menunjukkan rasa prihatin para senior terhadap komuniti pelajar baru yang sentiasa memerlukan tunjuk ajar mereka. Sesi ziarah pada hari pertama itu berjaaya diselesaikan sebelum azan maghrib berkumandang.

Ziarah hari ke dua bersambung dengan agenda yang sama di rumah yang berbeza. Lokasi pilihan mahasiswa pada hari ke dua adalah empat buah rumah pelajar tahun satu yang berada di Murur. Rombongan ziarah itu selesai menziarahi rumah ke empat sekitar jam 6.30 malam. Pada hari terakhir, rumah-rumah yang terletak di kampung mahasiswa (KAMSIS) Salam Masha Allah dan sebuah rumah di Salam Sadnawi menjadi sasaran  rombongan ziarah ini bertemu mata dan berkenalan. Secara kesuluruhannya, hampir semua rumah mahasiswa tahun satu berjaya diziarahi sepanjang ketiga-tiga petang hari tersebut.

Hal yang hampir sama berlaku di peringkat mahasiswi, di mana sambutan yang baik daripada 22 hingga 33 orang senior perempuan yang turun padang menyertai program ziarah ini setiap hari. Lebih memeriahkan suasana apabila bakal-bakal ibu yang sarat mengandung turut menyertai rombongan ziarah ini sekaligus menunjukkan kesungguhan mereka untuk bersua muka dan menjalinkan ukhuwwah bersama-sama mahasiswi-mahasiswi yang baru tiba di Zagazig.

Sesi ziarah bermula dengan perkumpulan ahli rombongan di hadapan kedai Baba Yaseer pada jam 3.30 sehingga 4 petang dan rombongan ziarah mahasiswi bersurai sekitar jam 6.30 malam setiap hari. Sebanyak empat buah pintu rumah mahasiswi di KAMSIS Salam menjadi sasaran untuk diketuk sepanjang petang hari pertama itu. Peluang untuk berkenalan dan bertanya khabar tidak dilepaskan sepanjang agenda ziarah itu. Hari ke dua rombongan ziarah bergerak keluar daripada kawasan Salam Sadnawi menuju kawasan Syubban dan Kafr Zend dan berjaya menziarahi adik-adik baru tahun satu Farmasi di enam buah rumah.

Hari terakhir ziarah santai ini mensasarkan beberapa rumah yang masih berbaki di kawasan  Salam dan berakhir dengan satu rumah di kawasan MTA. Sambutan yang baik daripada penghuni-penghuni  rumah tahun satu dengan kedatangan ramai senior daripada pelbagai latar belakang. Walaupun tidak semua rumah mahasiswi berjaya diziarahi dan program ziarah ini telah berakhir, bukanlah bermakna amalan dan tradisi ziarah sesama ahli terhenti di sini. Hakikatnya, pihak penganjur lebih menggalakkan semua pihak untuk meneruskan budaya murni ini sehingga semua mahasiswa-mahasiswi Zagazig merasakan kita semua adalah sebuah keluarga.

Semoga program anjuran AHLAN’ 12 ini dapat mencapai hadaf yang digariskan dan meberi kesan positif kepada semua pihak sama ada senior yang mengunjung mahupun junior yang dikunjung. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Selamat menikmati ‘tuaian benih ukhuwwah’!

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

Disediakan oleh :

SYAFIAH BINTI MOHAMAD

Timbalan Setiausaha,

Program Sambutan Mahasiswa Baru 2012/2013 (AHLAN’ 12)

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda