Home > Menu > Berita > Generasi Ke Enam : Rombongan Terakhir Selamat Tiba

Generasi Ke Enam : Rombongan Terakhir Selamat Tiba

Zagazig, 2 Oktober 2012 – Rombongan terakhir mahasiswa-mahasiswi baru Universiti Zagazig sesi 2012/2013 selamat tiba di Bumi Anbiya’, Mesir. Kumpulan pelajar baru ini terdiri daripada 4 orang mahasiswi dan 3 orang mahasiswa yang datang melalui agensi Medic Mesir. Para pelajar tersebut telah disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah oleh beberapa orang wakil PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 (PCZ 2012) yang diketuai Pengerusi PCZ 2012 sendiri, Saudara Abd. Hakim Mohd Suhimin bersama-sama pengarah AHLAN’ 12 Zagazig, Saudara Mohd Syahmi Amir Md. Razali dan beberapa orang eksekutif AHLAN’ 12 yang tiba di lapangan terbang tersebut sekitar jam 5 pagi.

Wakil PCZ seterusnya membawa pulang “warga baru Zagazig” itu menaiki dua buah microbus yang diuruskan oleh pihak pelaksana AHLAN’ 12. Perjalanan ke Zagazig yang lancar memudahkan mereka sampai ke bumi Kuda Putih seawal jam 7.45 pagi. Setibanya di Zagazig, mereka dibawa ke rumah senior yang bakal mereka tumpang sementara urusan perumahan mereka diselesaikan pihak agen. Setelah diberikan masa berehat seketika, mereka dibawa ke Dewan Darul Wehdah pada jam 9 pagi untuk menjamah sarapan yang disediakan dan mendengar sedikit taklimat serta agenda sambutan.

Sementara menunggu hidangan sarapan, para senior yang datang meraikan para pelajar tersebut telah mengambil peluang untuk berkenalan dan mengucapkan selamat datang kepada mereka. Setelah mengisi perut, majlis sambutan yang santai dimulakan dengan muqaddimah oleh Timbalan Pengerusi I merangkap pengerusi majlis, Saudara Naim Sarfaraz Ahmad yang mengalu-alukan kedatangan ahli-ahli baru ini ke bumi Zagazig. Kemudian, pengerusi PCZ 2012 telah dijemput untuk menyampaikan sedikit ucapan selamat datang dan beberapa pesanan kepada para pelajar baru tersebut. Saudara Abd. Hakim telah mengambil peluang untuk menyeru semua pelajar baru agar memperbetul niat dan tujuan mereka datang ke Mesir dan harapan beliau agar semua hadirin di dalam dewan tersebut dapat menimba sebanyak mungkin ilmu di bumi barakah ini.

Seterusnya, Saudara Mohd Shobri Mat Yaakub selaku penasihat keselamatan PCZ 2012 telah dijemput untuk memberi taklimat keselamatan di Mesir. Dalam ucapannya, Saudara Mohd Shobri cuba menerangkan dan memahamkan para pelajar baru tentang situasi Mesir yang banyak berbeza dengan situasi tanah air Malaysia serta beberapa langkah keselamatan yang perlu diambil perhatian semua pelajar bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan bersama sepanjang mereka di Mesir. Ucapan penasihat keselamatan itu diakhiri dengan ucapan selamat menimba ilmu kepada semua pelajar baru. Sebelum menangguhkan majlis sambutan pagi itu, saudara Naim menyampaikan beberapa maklumat akademik kepada pelajar-pelajar tersebut secara ringkas. Akhirnya, majlis ditangguh sekitar jam 10.30 pagi dan para pelajar dibawa kembali ke rumah-rumah senior untuk berehat dan menghilangkan kepenatan.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui tempat yang terbaik untuk hamba-hambaNYA, selamat datang kepada semua pelajar baru khususnya kepada 7 orang mahasiswa-mahasiswi baru yang tiba pada 2 Oktober 2012. Semoga kedatangan kalian lebih memeriahkan suasana masyarakat mahsiswa-mahasiswi Malaysia di Zagazig seterusnya memperteguh lagi kesatuan kita di sini. Selamat meneruskan perjuangan memburu ilmu.

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

Disediakan oleh:

SYAFIAH BINTI MOHAMAD,

Timbalan Setiausaha,
Program Sambutan Mahasiswa Baru 2012 (AHLAN’ 12)
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda