Home > Menu > Berita > ACC Penutup Tirai Ahlan’ 12

ACC Penutup Tirai Ahlan’ 12

Zagazig, 18 Oktober 2012 – Dewan Hospital Surgeri Universiti Zagazig dipenuhi tidak kurang daripada 203 orang mahasiswa-mahasiswi tahun 1 Universiti Zagazig sesi 2012/2013 bagi sama-sama menjayakan AHLAN Closing Ceremony (ACC). ACC merupakan program penutup AHLAN’ 12 yang disusun khas buat semua mahasiswa-mahasiswi baru yang tiba di Zagazig bermula awal September lalu. Selain penutup tirai AHLAN’ 12, tujuan yang lebih utama ACC dianjurkan adalah untuk memperkenalkan pihak pengurusan dan koordinator pelajar Malaysia di Universiti Zagazig, pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), Education Malaysia Egypt (EME), penerangan dan taklimat daripada wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan sedikit pengenalan Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN) kepada para pelajar baru di samping merapatkan jurang antara semua pelajar tahun satu tanpa membezakan latar belakang mahupun agensi.

Program yang Berjaya menyatukan semua mahasiswa-mahasiswi baru ini bermula sekitar jam 9.15 pagi dengan slot “Kalam Super Senior”, iaitu sebuah pengisian penuh bermotivasi, yang diisi oleh Saudara Syamsul Bakri bin Osman, pelajar tahun 6 kuliah Perubatan Universiti Zagazig. Sepanjang pengisian itu, super senior jemputan ini telah mengambil peluang sebaik mungkin untuk berkongsi pengalaman belajar di Mesir dan beberapa nasihat yang berharga buat para pelajar tahun 1 yang hadir. Selepas satu jam bersama super senior yang berpengalaman, ACC diteruskan lagi dengan majlis perasmian sekitar jam 10.20 minit pagi. Perasmian ACC ini telah disempurnakan oleh pengarah EME, Prof. Madya Dato’ Dr. Su’aidi bin Haji Dato’ Safei. Dalam ucapan perasmiannya, tuan pengarah EME menerangkan secara ringkas tentang EME yang dahulunya dipanggil Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan beberapa fungsi penting EME dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir seperti pengurusan fail pelajar, urusan penterjemahan dan lain-lain.

Sekitar jam 11.10 pagi, ACC beranjak ke slot bersama pihak universiti serta wakil pihak koordinator pelajar Malaysia di Universiti Zagazig daripada kedua-dua fakulti Perubatan dan Farmasi. Antara tetamu yang hadir dalam slot pengenalan universiti ini adalah Prof. Dr. Atef Redhuan, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr.Asem el-Shazly, Naib Dekan Fakulti Farmasi, Profesor Dr. Osama Kamhawy, ketua koordinator pelajar-pelajar Malaysia fakulti Perubatan, Profesor Dr. Maged Abou Hashem, Koordinator pelajar-pelajar asing fakulti farmasi, Profesor Dr. Hisham Ezzat, Koordinator klinikal farmasi Universiti Zagazig dan turut hadir, Dr. Najwa Samir serta Dr. Manal, wakil barisan koordinator pelajar-pelajar Malaysia fakulti Perubatan Universiti Zagazig.

 Bermula dengan ucapan daripada Prof. Maged Abou Hashem, diikuti ucapan daripada Prof. Osama Kamhawy, seterusnya, ucapan Dr. Najwa, Prof. Dr. Asem dan berakhir dengan ucapan penuh bermakna daripada Prof. Dr. Ateef Riduwan, masing-masing melafazkan ucapan yang menunjukkan kesungguhan mereka mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan menghrapakan semua pelajar dapat memberi fokus dan keputusan yang terbaik dalam pencapaian akademik masing-masing. Di penghujung slot bersama universiti, pihak koordinator pelajar-pelajar Malaysia fakulti Perubatan telah mengambil kesempatan untuk memberi hadiah dan anugerah kepada 13 orang pelajar Malaysia jurusan perubatan yang cemerlang dalam peperiksaan sesi 2011/2012 yang baru berlalu.

Sekitar 15 minit sebelum berhenti solat dan makan tengahari, ACC diisi dengan slot pengenalan Smart Circle di bawah kendalian Saudara Mohd Nasa’i Abdul Azais, selaku Ketua Mentor Council sesi 2012/2013. Pembentangan yang difokuskan pada pengenalan Tarbiyah Islam dan Smart Circle dibawa dengan cara santai dan berinput dengan beberapa peringatan buat mahasiswa Islam. Selepas satu jam behenti rehat, ACC disambung kembali dengan tayangan video dan pengenalan Jabatan Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) oleh Saudari Inirah Syazwin Mohd Razally, selaku Timbalan Ketua JAKSI PCZ sesi ini.

Kemudian, program diteruskan lagi dengan pengenalan dan taklimat konsular daripada Encik Abdul Latiff bin Samad, pegawai konsular KBMK yang dijemput khas bagi menerangkan beberpa perkara penting tentang konsular dan keselamatan di Mesir.Penerangan tentang kepentingan pasport, visa dan langkah-langkah menjaga keselamatn sepanjang di Mesir amat ditekankan sepanjang pembentangan beliau. Pengerusi Majlis membawa ACC melangkah ke agenda seterusnya dengan menjemput Saudara Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidi, Presiden PERUBATAN sesi 2012/2013 bagi mengendalikan slot pengenalan PERUBATAN. Penerangan tentang sejarah, misi, visi pembawakan, organisasi dan program-program mega anjuran PERUBATAN antara topik utama pembentangan beliau jelas menerangkan bahawa PERUBATAN menaungi semua pelajar Malaysia dalam bidang Sains Kesihatan di Mesir dan bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar Sains Kesihatan di seluruh Mesir.

Akhirnya, ACC tiba ke agenda terakhir yang amat dinanti-nantikan semua pelajar baru, iaitu slot bersama pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Slot ini dikendalikan oleh Encik Muhammad Zikril Azan bin Haji Abdullah, Setiausaha Pertama KBMK merangkap Pegawai JPA di Mesir. Penerangan yang jelas tentang syarat permohonan, cara memohon dan beberapa perkara penting berkisar skim pinjaman yuran pengajian bagi pelajar luar negara telah diterangkan sepanjang slot bersama pegawai JPA itu. Pelbagai persolan telah dijawab dan diolah dengan baik oleh Encik Zikril berjaya meberi pencerahan kepada semua pelajar baru tentang pelbagai persoalan yang bermain di fikiran mereka sebelum ini. AHLAN Closing Ceremony ditangguh dengan surah Al-Asr dan tasbih Kaffarah sekitar jam 4.45 petang.

Semoga ACC dan program-program yang disusun sepanjang AHLAN’ 12 ini berjaya mencapai hadaf yang disasarkan seterusnya memberi banyak manfaat dan kesan positif  kepada mahasiswa-mahasiswi baru Universiti Zagazig sesi 2012/2013. Kita merancang dan Allah juga merancang, sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang telibat dalam menjayakan AHLAN’ 12 ini. Hanya Allah yang mampu mebalas jasa dan pengorbanan kalian. Selamat mengutip mutiara ilmu di padang sahara buat seluruh mahasiswa-mahasiswi baru. Sehingga bertemu lagi.

EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY.

Disediakan Oleh:

SYAFIAH BINTI MOHAMAD,
Timbalan Setiausaha,
Program Sambutan Pelajar Baru 2012/2013 (AHLAN’ 12)
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

[finder]Klik sini ke pautan galeri penuh AHLAN ’12 Closing Ceremony[/finder]

One comment

Tinggalkan komen anda