Home > Menu > Berita > Tutorial Bahasa Arab : Pendedahan Rahsia Komunikasi Warga Mesir.

Tutorial Bahasa Arab : Pendedahan Rahsia Komunikasi Warga Mesir.

Zagazig, 19 September 2012 – Mahasiswa-mahasiswi baru Sains Kesihatan Universiti Zagazig telah mengambil peluang untuk mempelajari serta mendapatkan tips-tips penting dalam berkomunikasi dengan warga tempatan khususnya di Zagazig dalam 3 siri kelas tutorial Bahasa Arab Ammiyah yang dianjurkan AHLAN ’12 pada 11, 15 dan 19 September lalu. Tutorial santai yang diberi nama Kallim Arabi? Syuwaiyya-syuwaiyya ini berlangsung di Dewan Darul Wehdah, pada waktu pagi pada hari pertama dan waktu petang pada hari kedua dan ketiga. 3 orang tenaga pengajar yang sangat berpengalaman dalam kalangan warga Azhari iaitu saudara Muhammad Anas Kamaruldin, saudara Muhammad Zuhaili Zanal Ali dan Saudara Mohd Zainullah Mohd Pauzi yang masing-masing baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar Zagazig telah dijemput untuk berkongsi cara berkomunikasi dalam bahasa Arab Mesir dan pengalaman mereka dalam menjalani kehidupan di Mesir.

Pada hari pertama tutorial, para pelajar didedahkan dengan perkataan-perkataan asas Bahasa Arab Ammiyah serta sebutannya yang betul seperti nombor, perbualan ringkas dan tidak ketinggalan beberapa nama tempat di Zagazig yang biasa pelajar-pelajar Malaysia membuat urusan. Pada akhir sesi kelas pertama, penganjur menyediakan sedikit tayangan bagi menjelaskan lagi suasana berkomunikasi di Negara Arab kepada para pelajar baru.

Seterusnya, pada hari kedua, pengajar telah melatih para peserta menyebut dan menggunakan beberapa dialog perbualan yang biasanya digunakan dalam kehidupan seharian di Mesir. Praktikalnya dilaksanakan bersama senior-senior yang hadir bersama dalam majlis ilmu tersebut. Cerita kartun yang menggunakan Bahasa Arab Mesir telah ditayang pada hari yang sama. Pada akhir sesi tutorial, para pelajar diberi masa untuk menghafal sebanyak mungkin perkataan Bahasa Arab Mesir supaya mereka boleh terus menggunakan perkataan-perkataan tersebut selepas habis sesi pembelajaran. Pada Hari terakhir, para pelajar lebih didedahkan kepada cara mujamalah, memuji atau memujuk warga Arab, cara tawar-menawar harga barang, sebutan duit, serta beberapa tips berurusniaga dengan warga Mesir.

Semoga 3 sesi kelas tutorial Bahasa Arab Ammiyah yang disediakan pihak AHLAN’ 12 sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa-mahasiswi baru meneruskan kehidupan dalam perjuangan menimba ilmu di bumi Mesir khususnya di Zagazig. Hakikatnya, pembelajaran sebenar adalah melalui pengalaman bermuamalah sendiri dengan warga tempatan di sekeliling kita. Selamat meneruskan perjuangan.

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

Disediakan Oleh :

SYAFIAH BINTI MOHAMAD,

Timbalan Setiausaha,
Program Sambutan Pelajar Baru 2012 (AHLAN’ 12)
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda