Home > Menu > Karya > Artikel > Keberkatan Ilmu

Keberkatan Ilmu

Syukur walhamdulillah kerana kita masih lagi dikurniakan nafas dalam Iman dan Islam untuk menghirup udara Yang Maha Pemberi Nikmat. Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan, maka nikmat manakah lagi yang ingin didustakan?

Akal cerdas dan sihat juga antara anugerah terindah daripada Sang Khaliq kepada kita hambaNya.  Namun, adakah kita telah benar-benar bersyukur dengan pemberian ini? Al – Imam Syafie r.a di dalam salah satu bait syairnya menyuruh supaya takbir 4 kali (isyarat untuk solat jenazah) kepada mereka yang malas menuntut ilmu. Nah! Betapa besarnya tuntukan menuntut ilmu kepada kita memandangkan hanya kita satu-satunya makhluk yang ada akal.

Ukuran ilmu bukan semata-mata pada tingginya CGPA atau pada tingginya pangkat yang disandang. Ketinggian ilmu seseorang boleh dilihat pada tingginya akhlak. Sedarlah bahawa ilmu itu suci, ibarat cahaya yang terang. Takkan hadir pada hati yang penuh kotor dengan maksiat, telap dan gelap tidak bersinar. Tidak dinafikan, ada saja manusia yang berjaya walaupun adab pada guru tidak dijaga. Ada saja yang cemerlang walaupun menipu, meninggalkan solat, melanggar hukum-hukum Allah. Bagaimana mereka boleh berjaya jika ilmu tiada berkat?

Sahabat sekalian,

Keberkatan dan kejayaan itu sesuatu yang berbeza. Keberkatan tidak ternilai dengan mata kasar. Seseorang mungkin berjaya menjadi pelajar paling cemerlang , tapi kerana tiada keberkatan, ilmu yang dipelajari sekadar di hujung pen. Tidak mampu diamalkan dan langsung tidak membawa manfaat buat dirinya. Hanya berjaya dalam peperiksaan tapi tidak berjaya dalam hidup. Berjaya mendapat kedudukan di dunia tapi tidak di akhirat. Apa yang lebih membimbangkan adalah kejayaan yang dikecapi itu hanyalah istidraj daripada Allah SWT. Moga Allah jauhkan kita daripada golongan ini.

Mumtaz  itu penting, kerja yang bagus juga penting. Masakan Islam akan dipandang tinggi jika umatnya adalah umat yang mundur dan gagal. Tetapi dalam mengejar kejayaan dunia, biarlah usaha kita seiring dengan redha Allah. Matlamat tidak perah menghalalkan cara. Biar lambat asalkan berkat. Tambahan pula kita semua bakal terjun ke medan kerja yang hari-harinya hanya perkiraan tentang nyawa manusia yang dipinjamkan Allah SWT. Biarlah ilmu yang kita kutip sepanjang musafir kita ini betul-betul bermanfaat kepada manusia sekeliling, baik dari segi fizikal mahupun rohaninya. Saya tertarik untuk kongsikan beberapa cara ringkas untuk mencari keberkatan ilmu. Sangat biasa diamalkan, namun kadang-kadang kita alpa kerana terlalu inginkan kejayaan dunia.

  1. Niat belajar kerana Allah s.w.t. Betulkan semula niat belajar untuk menjadi yang terbaik.
  2. Sentiasa doakan ibubapa, guru-guru, rakan-rakan, dan jangan lupa untuk diri sendiri.
  3. Jaga ibadat setiap masa samada hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.
  4. Tawakkal kepada Allah s.w.t semasa berusaha dan selepas berusaha. Jangan sesekali berniat atau cuba untuk meniru dalam peperiksaaan kerana ia sangat mencacatkan tawakkal kita kepadaNYA.

Kita sungguh-sungguh kejar ilmu bukan untuk menjadi terbaik di mata manusia. Ingatlah! Menjadi pelajar dan pekerja terbaik pada nilaian Allah pasti tidak ternilai anugerahnya.

Wallahua’lam.

Siti Nurshakirah bt Yaacob
Timb. Ketua Unit Akademik PCZ 2012

One comment

  1. Terima kasih.. Amat berguna.

Tinggalkan komen anda