Home > Menu > Berita > STARGATE : Pencetus Semangat Pelajar Tahun 1

STARGATE : Pencetus Semangat Pelajar Tahun 1

Zagazig, 27 September 2012 –  Program STARGATE (Study Guide and Technique) yang merupakan salah satu pengisian dalam program AHLAN’12 telah dianjurkan oleh Unit Akademik PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) bertempat di Dewan Darul Wehdah.

Objektif program ini adalah untuk mendedahkan mahasiswa dan mahasiswi baru baik daripada Fakulti Perubatan mahupun Fakulti Farmasi tentang pengenalan setiap subjek, teknik-teknik belajar dan secara tidak langsung dapat mengambil iktibar daripada perkongsian pengalaman-pengalaman senior. Selain itu, program ini mampu menaikkan semangat dalam diri mereka bagi memulakan sesi kuliah baru.

Program bermula dengan sesi pendaftaran sekitar jam 6.30 malam. Seusai para hadirin mengambil tempat, pengerusi majlis membuka majlis dan seterusnya mempersilakan Timbalan Pengarah I AHLAN ,saudara Wan Za’imu Nazmeer bin Wan Abu Bakar untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Program diteruskan dengan ucapan saudara Mohd Zakhiruddin bin A Bakar, Ketua Unit Akademik PCZ 2012 dalam slot bersama Unit Akademik. Beliau memperkenalkan Unit Akademik PCZ dan peranannya secara ringkas sebagai pemudah cara kepada mahasiswa dan mahasiswi baru dalam menangani masalah berkaitan kuliah hatta pembelajaran individu itu sendiri.

Seterusnya, para mahasiswa dan mahasiswi telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan bagi jurusan Farmasi dan dua kumpulan bagi jurusan Perubatan. Senior-senior bagi jurusan masing-masing telah mengambil alih slot ini. Para senior mendedahkan mereka dengan suasana baru yang bakal mereka hadapi serta pengenalan serba sedikit tentang subjek-subjek tahun satu, seterusnya berkongsi strategi bagaimana untuk belajar secara efektif bagi memperoleh keputusan yang cemerlang.

Program diteruskan lagi dengan slot khas selama 15 minit bersama Timbalan Ketua Unit Akademik, saudari Siti Nurshakirah bt Yaacob. Beliau memberikan kata-kata semangat kepada mahasiswa dan mahasiswi baru bagi menempuh alam pembelajaran dalam bidang kritikal ini. Sesungguhnya para pelajar Mesir tidak dapat tidak perlulah menggarap ilmu akademik dan ilmu agama supaya ikon pelajar Mesir dapat dibentuk dalam diri. Program yang berakhir sekitar 9.25 malam ini diakhiri dengan tayangan video bagi menaikkan lagi semangat para pelajar supaya niat belajar mereka adalah kerana Allah dan setiap kesusahan itu pasti ada kesenangannya.

Diharapkan program seumpama ini memberi banyak manfaat dan pengetahuan kepada para pelajar di dalam menempuh permulaan sesi kuliah. Semoga mahasiswa dan mahasiswi baru dapat mengikuti panduan-panduan yang telah dikongsikan. Sesungguhnya para senior dan pensyarah hanyalah pemudah cara yang tidak pernah jemu memberi nasihat, namun andalah penentunya untuk berjaya ataupun tidak.

“BERSAMA MENINGKATKAN MOMENTUM KECEMERLANGAN”

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

Disediakan oleh :

SANIYAH BINTI ALMUHSIN
Setiausaha.
Unit Akademik PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda