Home > Menu > Berita > PCZ Penghubung Agensi dan Universiti

PCZ Penghubung Agensi dan Universiti

Zagazig, 13 September 2012 – PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2012 (PCZ 2012) telah menjadi pemudah cara dalam membantu pihak QAS Management menguruskan urusan para pelajar baru di bawah kendalian mereka bersama pihak Universiti Zagazig. Saudara Naim Sarfaraz Ahmad, Timbalan Pengerusi I PCZ 2012, selaku wakil daripada PCZ 2012 bersama-sama Puan Norizah, wakil QAS Management telah membuat pertemuan bersama Doktor Usamah Kamhawy, koordinator pelajar-pelajar Malaysia dalam kuliah Perubatan Universiti Zagazig sekaligus menyelesaikan urusan penyerahan fail dan pembayaran yuran sebilangan pelajar fakulti Perubatan yang datang melalui agensi tersebut sekitar jam 1.30 tengahari waktu tempatan. Beberapa permasalahan pelajar-pelajar kuliah perubatan khususnya permaslahan mahasiswa-mahasiswi baru telah dibincangkan dalam pertemuan bersama pihak universiti tengahari itu.

Setelah menyelesaikan urusan dan perbincangan di kuliah perubatan Universiti Zagazig, wakil daripada PCZ 2012 telah membawa Puan Norizah ke kawasan kediaman pelajar-pelajar Malaysia, Salam Sadnawi bagi menyelesaikan urusan perumahan atau kediaman pelajar-pelajar baru daripada agensi QAS. Dalam urusan tersebut, sekali lagi wakil daripada QAS Management meletakkan kepercayaan kepada pihak PCZ dalam menolong mereka mengendalikan dan menyelesaikan permasalahan perumahan serta membantu mereka untuk bermuamalah dengan warga tempatan. PCZ dengan kendalian AHLAN’ 12 telah membantu pihak agensi tersebut dalam menyediakan dan membeli peralatan-peralatan kelengkapan rumah pelajar bagi memastikan keadaan rumah yang bakal didiami lebih selesa dan kondusif. Pada hari yang sama, pihak PCZ 2012 turut menerima seorang mahasiswi baru, daripada agensi Skymedic serta menerima tanggungjawab untuk menguruskan kebajikan pelajar tersebut seperti urusan perumahan, visa, kuliah dan lain-lain.

Pada 15 September 2012, sekali lagi PCZ 2012 yang diwakili Saudara Mohd Syahmi Amir Md. Razali, merangkap Pengarah AHLAN’ 12 bersama-sama Puan Norizah, wakil daripada QAS Management telah mengatur satu pertemuan bersama-sama Profesor Maged, koordinator pelajar-pelajar Malaysia dalam kuliah Farmasi, Universiti Zagazig bagi menyelesaikan urusan kemasukan pelajar-pelajar baru kuliah farmasi sesi pengajian 2012/2013 daripada agensi tersebut. Pihak koordinator menyambut baik kedatangan Puan Norizah dan membawa beliau berjumpa dengan Dekan Fakulti Farmasi Universiti Zagazig, Profesor Abdullah Alshanawany. Agenda yang sama berlaku seperti mana di fakulti perubatan, Puan Norizah dengan bantuan wakil PCZ 2012 telah menyelesaikan urusan penyerahan fail pelajar kepada pihak fakulti farmasi seterusnya membincangkan beberapa permasalahan pelajar secara amnya di fakulti tersebut.

Pihak PCZ 2012 menghargai kepercayaan agensi-agensi kepada PERUBATAN Cawangan Zagaizg dalam membantu menguruskan urusan-urusan kebajikan para pelajar mereka sekaligus dalam urusan bersama-sama universiti. PCZ sangat berbesar hati untuk menolong menyelesaikan permasalahan yang timbul khususnya dalam komuniti pelajar-pelajar Malaysia di Zagazig bagi memastikan kebajikan semua ahli PERUBATAN di Zagazig terjaga. Diharapkan, segala urusan kebajikan mahasiswa-mahasiswi baru sama ada yang sudah tiba di Zagazig mahupun yang mendatang dapat diselesaikan dengan lancar dan mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Disediakan oleh:

SYAFIAH BINTI MOHAMAD,

Timbalan Setiausaha,
Program Sambutan Pelajar Baru (AHLAN’ 12)
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda