Home > Menu > Berita > Hi-Tea : Ikatan Ukhuwwah Bersama Mahasiswa-Mahasiswi Baru Terjalin

Hi-Tea : Ikatan Ukhuwwah Bersama Mahasiswa-Mahasiswi Baru Terjalin

Zagazig, 10 September 2012 – Dewan Darul Wehdah menjadi saksi pertemuan antara saf kepimpinan PERUBATAN Cawangan Zazgzig 2012 (PCZ 2012), beberapa orang eksekutif AHLAN’ 12 yang dipimpin Saudara Mohd Syahmi Amir Md. Razali dan 14 orang mahasiswa-mahasiswi baru dalam satu majlis yang diberi nama “ Hi Tea “ sekitar selepas waktu asar. Hi Tea diadakan bertujuan merapatkan hubungan pelajar-pelajar baru dan saf kepimpinan PCZ 2012, di samping memberi taujihat dan beberapa pesanan tentang suasana keselamatan di Mesir kepada para pelajar yang baru tiba di Mesir hampir seminggu yang lalu.

Majlis santai ini dimulakan dengan ucapan alu-alaun pengerusi majlis, Saudara Umar Izudin bin Ramli pada jam 4.05 petang. Seterusnya, pengerusi majlis menjemput pengarah AHLAN’ 12, Saudara Mohd Syahmi Amir Md. Razali bagi memberi sedikit kalam alu-aluan. Dalam ucapannya, pengarah meminta para pelajar baru agar tidak merasa kekok untuk merujuk dan meminta tunjuk ajar senior-senior sekiranya berlaku sebarang masalah dan kemusykilan dalam urusan seharian mereka di sini. Selesai ucapan daripada pengarah, pengerusi majlis menjemput Saudara Abd. Hakim bin Mohd Suhimin untuk memberi ucapan selamat datang dan alu-aluan beliau. Dalam kalam-kalam yang dilontarkan tuan pengerusi, beliau menekankan dan menyeru hadirin untuk memperbaharu niat mereka datang belajar di Mesir khususnya bagi pelajar-pelajar baru.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan sesi taaruf mahasiswa-mahasiswi baru dan taaruf AJKT PCZ 2012. Seusai sesi taaruf, pengerusi menyerahkan majlis kepada Saudara Mohd Shobri bin Mat Yaakub, selaku Penasihat Keselamatan PCZ merangkap Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig 2012/2013. Setelah menjeleskan isu-isu dan keadaan serta keselamatan Mesir, beliau menyerahkan kembali majlis tersebut kepada pengerusi majlis bagi mengendalikan satu lagi slot taaruf bersama wakil eksekutif pelaksana AHLAN’ 12. Majlis ditangguhkan pada jam 5.45 petang dan hadirin dihidangkan denga beberapa juadah minum petang yang disediakan oleh pihak eksekutif AHLAN’ 12, sebagai tanda meraikan kehadiran pelajar-pelajar baru ke bumi Mesir. Kesempatan untuk bergambar bersama-sama ahli-ahli baru tidak dilepaskan sebagai tanda kenang-kenangan pihak saf kepimpinan dan para pelajar baru pernah bersua muka dalam satu agenda santai lewat petang itu.

Semoga Hi Tea yang dianjurkan pihak AHLAN’ 12 ini dapat mewujudkan titik persamaan antara pelajar-pelajar baru dan barisan AJKT PCZ 2012 dalam menjalinkan ukhuwwah mereka serta memberi sedikit sebanyak gambaran suasana kehidupan bermasyarakat di bumi Zagazig kepada para mahasiswa/wi yang baru tiba di bumi Anbiya’ yang penuh barakah ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya.

Disediakan oleh :

SYAFIAH BINTI MOHAMAD

Timbalan Setiausaha,
Program Sambutan Mahasiswa Baru 2012/2013 (AHLAN’ 12)
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda