Home > Menu > Berita > Hari Pertama Kuliah Pelajar Baru Berjalan Lancar

Hari Pertama Kuliah Pelajar Baru Berjalan Lancar

Zagazig, 29 September 2012 – Kuliah sesi 2012/2013 bagi pelajar-pelajar baru Fakulti Perubatan bermula seperti yang telah dijanjikan. Sekitar jam 8.00 pagi, Dewan Kuliah Utama untuk pelajar-pelajar Malaysia di bangunan kontrol dipenuhi sekitar 160 orang mahasiswa/wi baru daripada semua agensi untuk menghadiri satu perjumpaan khas bersama Ketua Koordinator Pelajar Malaysia, Prof. Dr. Usamah Kamhawy. Turut hadir bersama-sama Dr Najwa ; Koordinator Tahun 2, Unit Akademik serta beberapa AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig yang lain. Beberapa orang senior turut menghadirkan diri untuk membantu perjalanan kuliah mahasiswa/wi baru sesi ini. Wajah ceria dan bersemangat jelas terpancar di wajah masing-masing.


Sekitar jam 8.30 pagi, perjumpaan tersebut telah dikendalikan oleh Dr Usamah sendiri.  Beliau mengalu-alukan kedatangan semua mahasiswa/wi baru ke Universiti Zagazig. Beliau turut menerangkan sedikit sebanyak tentang pengurusan pelajar Fakulti Perubatan terutamanya berkait dengan pengurusan pelajar-pelajar Malaysia seperti teknikal pembahagian kelas, pembahagian buku teks dan sistem kehadiran ke kuliah.

Selesai taklimat daripada Dr. Usamah, semua pelajar mula dibahagikan kepada kumpulan masing-masing sekitar jam 9.00 pagi. Setiap kelas dipandu oleh seorang senior sebagai pemudah cara dan penunjuk arah. Mereka dibawa ke kelas masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan. Hari pertama kuliah telah pun bermula dengan kelas teori dan praktikal bagi beberapa subjek.

Bagi memudahkan perjalanan kuliah pada kali ini, pihak Unit Akademik telah pun melantik wakil daripada setiap kelas sebagai pengantara. Turut diedarkan jadual terbaru untuk setiap kelas  kepada wakil masing-masing. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik sehingga akhir sesi kuliah di Fakulti Perubatan hari tersebut.

Sementara itu di Fakulti Farmasi pula, seramai 48 orang pelajar tahun 1  pada sesi ini terdiri daripada 13 mahasiswa dan 35 mahasiswi telah hadir sekitar jam 10pagi.Para mahasiswa telah dibawa meninjau ke semua bangunan-bangunan utama fakulti farmasi seperti bangunan kuliah utama, bilik praktikal dan dewan kuliah mereka sendiri.  Tepat jam 11.00 pagi, mahasiswa/wi digabungkan dalam satu kelas untuk sesi kuliah pertama mereka iaitu subjek English. Jelas terpapar semangat yang berkobar-kobar mereka dengan respon positif yang ditunjukkan.

Usai sesi pembelajaran yang memakan masa lebih daripada satu jam itu, mereka menuju ke surau untuk solat zohor. Dalam sesi pembelajaran kedua, sekali lagi perasaan teruja terpapar di wajah mereka berikutan itu adalah kali pertama pengalaman menyertai kuliah yang dikendalikan oleh pensyarah  yang mengunakan loghat English ala-ala arab. Alhamdulillah, hari pertama kuliah di Fakulti Farmasi boleh dikatakan berjalan lancar walaupun di sana masih terdapat beberapa masalah kecil yang sememangnya menjadi lumrah pengurusan di bumi Mesir ini.

Diharapkan kepada semua mahasiswa/wi baru akan terus bersemangat meneruskan visi misi masing-masing dalam permusafiran ilmu di Bumi Kuda Putih ini. Teruskanlah usaha mengejar cita-cita, semoga kejayaan milik bersama, insyaAllah.

Wallahu’alam

BERSAMA MENINGKATKAN MOMENTUM KECEMERLANGAN”

Disediakan oleh

SITI NURSHAKIRAH BT. YAACOB

Timbalan Ketua,
Unit Akademik,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012

Tinggalkan komen anda