Home > Menu > Berita > Bumi Kuda Putih menyambut Ketibaan Mahasiswa-mahasiswi Baru Daulah Medic

Bumi Kuda Putih menyambut Ketibaan Mahasiswa-mahasiswi Baru Daulah Medic

Zagazig, 21 September 2012 – PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 dengan kendalian AHLAN’ 12 telah menghantar 4 orang wakil, iaitu Saudara Mohd Bukhari Muslim Mohd Nadzim, Saudara Mohd Ermyzal Nazirul bin Musa, Saudari Nur Zahidah Hosman dan Saudari Shakirah Mohd Ruslan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah bagi menyambut ketibaan mahasiswa-mahasiswi baru Universiti Zagazig daripada agen Daulah Medic.Para pelajar baru itu selamat tiba di Bumi Anbiya’ pada jam 1.45 petang hari tersebut. Setelah menyelesaikan perbincangan dan urusan bersama pihak agen Daulah Medic di lapangan terbang, wakil daripada PCZ membawa para pelajar tersebut ke kostal yang disediakan pihak agen bagi meneruskan perjalanan ke Zagazig. Turut bersama mengiringi para pelajar tersebut ke Zagazig, wakil daripada Daulah Medic, Saudari Banan Shahidah bt Yaakob, mahasiswi tahun 3 kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar. Perjalanan ke Zagazig petang itu telah diketuai Saudara Mohd Bukhari Muslim Mohd Nadzim selaku ketua yang akan menguruskan kebajikan para pelajar tersebut pada awal-awal ketibaan pelajar itu di Zagazig sebagaimana yang dipersetujui bersama pihak Daulah Medic.

Para eksekutif AHLAN’ 12 bersama-sama Pengerusi, Timbalan Pengerusi 2 dan beberapa orang saf kepimpinan PCZ 2012 telah turun ke perkarangan rumah yang bakal didiami mahasiswi baru Daulah Medic, di Salam Sadnawi bagi menyambut ketibaan mereka sekitar jam 4.45 petang Jumaat itu. Setibanya rombongan pelajar baru di Zagazig, mereka dibawa ke rumah senior untuk solat dan setersunya dibawa ke Dewan Darul Wehdah bagi meneruskan agenda sambutan dan makan petang.

Majlis di dewan bermula sekitar jam 5.30 petang dipengerusikan oleh saudara Umar Izudin Mohd Ramli. Pada awal agenda majlis tersebut, pengerusi majlis menjemput Saudara Abd. Hakim Mohd Suhimin, Pengerusi PCZ 2012 bagi menyampaikan ucapan alau-aluannya. Tuan Pengerusi dalam ucapan ringkasnya telah memperkenalkan diri dan mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada mahasiswa-mahasiswi baru yang terpilih untuk menuntut ilmu di bumi Mesir khususnya di Zagazig.

Seterusnya, majlis telah menjemput Saudari Banan Shahidah bt Yaakub, wakil Daulah Medic bagi memberikan sepatah dua kata. Wakil daripada Daulah Medic itu telah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada PCZ kerana sudi membuat persediaan dan membantu mereka menyambut kedatangan pelajar-pelajar Daulah Medic ke bumi Zagazig. Pesanan Saudari Banan kepada adik-adik baru supaya berkenalan dengan para senior yang bakal bersama-sama mereka dan jadikan cabaran hidup di Zagazig sebagai sesuatu yang positif.

Selesai ucapan wakil agen itu, Pengarah AHLAN’ 12, Saudara Mohd Syahmi Amir Md. Razali telah dijemput untuk memberi sedikit taklimat perumahan dan memperkenalkan masul dan masulah yang bakal bersama-sama para pelajar tersebut, iaitu Saudara Mohd Bukhari Muslim

Mohd Nadzim dan Saudari Nur Zahidah bt Hosman. Majlis ringkas itu ditangguhkan pada jam 5.47 petang dan para pelajar dihidangkan makanan petang bagi menghilangkan sedikit kelesuan mereka selepas beberapa jam perjalanan daripada Kaherah ke Zagazig. Kemudian, para pelajar tersebut dibawa ke rumah yang bakal mereka diami sepanjang keberadaan mereka di Zagazig.

Akhirnya, semoga dengan ketibaan dan bertambahnya penuntut Ilmu warga Malaysia di Zagazig ini membawa sinar dan kekuatan kepada kesatuan kita yang sejak sekian lama berdiri teguh di tanah barakah, bumi Nabi Yusuf ini sekaligus memeberi semangat baru kepada para penuntut ilmu yang sedia ada di sini untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu Allah di Ardhul Kinanah ini. Selamat datang dan selamat meneruskan perjuangan kami ucapkan.

“ EMBRACING DIVERSITY, SOLIDIFYING UNITY “

Disediakan oleh:
SYAFIAH BINTI MOHAMAD,

Timbalan Setiusaha,
Program Sambutan Mahasiswa Baru 2012 (AHLAN’ 12)
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda