Home > Menu > Berita > 30 Minit Mampu Memperjelaskan Beberapa Isu Farmasi

30 Minit Mampu Memperjelaskan Beberapa Isu Farmasi

Zagazig, 24 September 2012 – Satu pertemuan telah diadakan di antara Dekan Fakulti Farmasi Prof. Dr Abdallah El-Shanwany dan Koordinator Program Klinikal Farmasi Prof. Dr. Hesham Ezzat Abdel Latef bersama-sama wakil PERUBATAN Cawangan Zagazig yang terdiri daripada Timbalan Pengerusi 1 saudara Naim Bin Sarfaraz Ahmad, Timbalan Pengerusi 2, saudari Fatimatul Zahrah Binti Mat Zin, Ketua Akademik PCZ, saudara Mohd Zakhiruddeen Bin A Bakar, serta Ketua dan Timbalan Unit Penerbitan dan Penerangan, saudara Muhammad Adib Bin Omar dan Nurul Farhana Binti Zainudin selaku AJKT daripada kuliah farmasi.

Pertemuan tersebut telah memperjelaskan beberapa isu yang menjadi persoalan oleh kebanyakan pelajar farmasi di Universiti Zagazig. Sebelum ini,Koordinator Pelajar Asing, Ass. Prof. Dr. Maged Abou Hashem melalui video “Boost The Spirit” oleh Unit Akademik telah memaklumkan bahawa pelajar yang hadir ke kelas melebihi tarikh asal mula kuliah iaitu 15 September 2012 dan terlepas tiga kelas praktikal tidak dapat menduduki peperiksaan akhir. Terdapat juga sedikit salah faham di kalangan koordinator-koordinator dan pensyarah-pensyarah kerana ada yang beranggapan bahawa pelajar Malaysia meminta untuk sesi kuliah pada semester ini ditunda melebihi tiga minggu daripada tarikh asal memandangkan majoriti pelajar masih berada di Malaysia. Pihak fakulti menjelaskan kehadiran pelajar hendaklah tidak kurang 25% daripada keseluruhan 15 minggu sesi pengajian dan ia merupakan peraturan universiti yang perlu dipatuhi. Mengikut pengiraan, tarikh terakhir bagi pelajar untuk menghadirkan diri adalah selewat-lewatnya 10 Oktober 2012 dan kami memaklumkan masih ada sebilangan kecil pelajar yang akan datang melebihi tarikh tersebut dan pihak universiti bersetuju melanjutkan tarikh terakhir iaitu 14 Oktober 2012 dan tiada sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada pelajar sekiranya tidak melebihi tarikh tersebut.

Selain itu, pihak PCZ telah membawa perbincangan berkenaan buku teks percuma bagi semua pelajar farmasi. Pada mulanya, pihak universiti hanya menyediakan buku teks percuma kepada pelajar tahun satu sahaja dan untuk pelajar tahun lain dikenakan pengurangan harga sebanyak 50%. Namun begitu selepas mengemukakan beberapa hujah dari pihak kami, dekan menjanjikan untuk berbincang tentang perkara tersebut dengan Head of Department (HOD) untuk memberi percuma untuk semua tahun. Berkaitan lab tools dan lab coat percuma, dekan hanya meluluskan lab coat untuk diberikan kepada pelajar tahun 1. Kami berharap agar makluman baik daripada dekan ini dapat menjadi kenyataan dan bukan sahaja janji kosong dari pihak universiti, dan pihak kami memaklumkan kepada beliau bahawa kami akan mengemaskini mengenai perkara ini dari masa ke semasa.

Pihak PCZ juga membuka perbincangan mengenai isu denda USD2000 bagi setiap subjek yang diulang tetapi pihak fakulti menegaskan bahawa mereka hanya mendapat arahan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir. Rayuan daripada pihak fakulti untuk mengurangkan denda tersebut kepada USD1000 juga telah ditolak oleh pihak KPT. Pihak dekan hanya mampu mengutarakan idea agar perkara ini dibawa ke pihak kedutaan Malaysia. Sebelum ini, pihak PCZ telah mengemukakan permasalahan ini di peringkat Education Malaysia Egypt (EME) namun, usaha ini terhenti seketika apabila pihak fakulti bertegas untuk merayu kepada KPT Mesir agar dikurangkan bayaran tersebut terlebih dahulu dan pihak EME tidak dapat bertindak selagimana kenyataan yuran tidak dikeluarkan oleh pihak fakulti. Seperti yang disarankan, pihak PCZ akan menyambung semula usaha yang pernah dijalankan.

Semoga pelajar-pelajar Malaysia di Fakulti Farmasi akan dipermudahkan dalam urusan pengajian dan dapat meneruskan kecemerlangan. Kami harapkan doa dari sahabat sahabiah sekalian agar urusan ini dapat kita selesaikan secepat mungkin demi kebaikan bersama.

Disediakan Oleh:
Muhammad Adib bin Omar
Ketua Unit Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012

Tinggalkan komen anda