Home > Menu > Karya > Artikel > Malam Yang Tiada Tandingan | Lailatul Qadr

Malam Yang Tiada Tandingan | Lailatul Qadr


 “Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran)  dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” [97:1-5]

Umat Islam diberi peluang oleh Allah SWT untuk menambah baikkan lagi amal ibadah di bulan puasa dengan kehadiran malam Lailatul Qadr yang tiada tandingan ini. Pada 10 malam terakhir ini ,mukmin sejati perlu yakin bahawasanya pahala dari pada salah satu dari malam-malam tersebut akan digandakan sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Dan dengan itulah malam ini dipanggil Lailatul Qadr.

Kerana mulianya Lailatul qadar, Rasulullah SAW menganjurkan supaya umat baginda bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA.

Maksudnya: “Barang siapa menghayati malam Lailatul Qadr dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala nescaya iadi ampunkan dosanya yang terdahulu”

“Rasullulah SAW telah menghidupkan malam (dengan beribadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh dalam beribadah dan beruzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya…” [ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]

Untuk merebut pahala-pahala seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT ini, mukmin sejati perlu bersedia dan terus melakukan ibadah dikeseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam yang tertentu sahaja. Setiap individu Islam perlu juga untuk bersungguh-sungguh dalam mencari malam Lailatul Qadr sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadah dengan memperoleh pahala hasil daripada kesungguhannya itu.

“Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW. Bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatul qadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut”

Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silapku.  [Hadis riwayat Aishah RA. ]

Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatul Qadr akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu sama ada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting yang tersebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

  • Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
  • Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadr itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat nya dan keredaannya.

Adalah  diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatul Qadr, hendaklah kita bertaubat dengan  sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan  meninggalkan segala larangannya.

 Disediakan oleh :
Jabatan Jurnal
Unit Penerbitan Dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012

Tinggalkan komen anda