Home > Menu > Karya > Artikel > [AHLAN] Persediaan Psikologi dan Spiritual

[AHLAN] Persediaan Psikologi dan Spiritual

Persediaan Psikologi

Seorang mahasiswa sebaiknya melakukan beberapa persediaan sebelum menjejakkan kaki ke menara gading. Persediaan dilakukan bagi mengelakkan kejutan budaya, suasana yang luar dari jangkaan serta seterusnya dapat menyesuaikan diri dalam tempoh yang singkat.

Persediaan psikologi yang perlu ada pada mahasiswa yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya Mesir; sedarlah bahawa bidang yang anda pilih iaitu perubatan atau farmasi adalah bukan calang-calang bidang. Kedua-dua bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi dan tanggungjawab yang lebih berat di alam kerjaya nanti.

Mahasiswa perlu melatih diri untuk cekal, sabar dan sentiasa bersemangat untuk meneruskan pembelajaran di sini. Sistem pembelajaran di Mesir sangat berbeza dengan sistem pembelajaran di universiti di Malaysia. Tiada jadual tahunan yang dikeluarkan pada awal tahun. Jadi mahasiswa di sini selalunya akan bersedia dengan peperiksaan atau kuiz yang mungkin akan diadakan pada minggu hadapan atau waktu yang lebih dekat; lusa atau yang lebih malang esok!

Mahasiswa Mesir atau di luar negara yang lain amnya perlu mengurus emosi dengan baik. Biasanya mahasiswa yang baru datang mengalami masalah ‘wabak’ rindu akan keluarga. Perasaan rindu yang membuatkan hati gundah gulana ini menyebabkan mahasiswa tidak boleh belajar dengan tenang. Untuk mengatasi masalah ini, selalulah berhubung dengan keluarga, berkongsilah masalah dengan sahabat, bertanyalah dan berbahagialah bersama sahabat. Sesungguhnya sahabat anda itu adalah ahli keluarga  kedua anda jika anda belajar di luar negara!

Seorang  mahasiswa perlu mengenali matlamat hidupnya dengan lebih fokus dan konsisten. Seorang mahasiswa yang inginkan kecemerlangan perlu memiliki cita-cita ataupun wawasan yang bestari. Sesuatu matlamat akan memandu arah dan haluan mahasiswa untuk lebih berusaha. Matlamat yang wujud dalam diri mahasiswa tidak akan tenggelam punca apabila berhadapan dengan sesuatu halangan, cabaran ataupun kegagalan. Misalnya, apabila mereka gagal di dalam sesuatu ujian, kekecewaan yang menyelubungi dirinya dapat segera diatasi dengan menguatkan lagi semangat dan usaha bagi mengatasi kegagalan tersebut.

Antara persediaan lain yang perlu ada bagi mahasiswa adalah bijak mengurus masa. Pengurusan masa yang bijak dapat menjamin seseorang mahasiswa itu menjalani kehidupan hariannya dengan lebih yakin dan teratur. Ini disebabkan setiap saat dari masa yang dimilikinya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan semaksimum yang mungkin. Latihlah diri untuk mengurus masa dengan lebih bijak dan berkesan. Mahasiswa yang bijak mampu menguruskan waktu dengan baik tanpa meninggalkan peranannya yang lain seperti keluar beriadah bersama sahabat dan terlibat dengan aktiviti persatuan.

Latihlah diri untuk lebih yakin dengan diri sendiri. Mempunyai keyakinan yang tinggi  serta mental yang kuat  penting dalam pembentukan diri seorang mahasiswa. Keyakinan meraih keputusan peperiksaan yang cemerlang mendorong mahasiswa untuk terus berusaha dengan lebih kuat, cekal dan penuh berdedikasi. Sehubungan itu, mahasiswa perlu tahu dan kenal pasti akan kelebihan dan kelemahan yang ada pada diri seterusnya sentiasa melakukan pembaikan diri. Keyakinan diri juga memperlihatkan semangat tidak mudah menyerah kalah dengan cabaran yang dihadapi.

Seterusnya, mahasiswa perlu mengamalkan sikap terbuka dalam menerima nasihat dan teguran akan sering mengingatkannya supaya lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan dan tindak-tanduknya. Pastinya mereka melakukan sesuatu tindakan dengan peringatan mengenai kesilapan yang pernah dilakukan oleh orang lain. Bentuk nasihat tidak semestinya dalam soal akademik, tetapi merangkumi sesetengah perkara dalam kehidupan seharian seperti pemakaian yang menutup aurat, meningkatkan disiplin diri dan menjadi seorang yang bersopan santun. Perkara ini sebenarnya memberi anda peluang untuk memperbaiki diri. Mahasiswa yang baru menjejakkan kaki di bumi Mesir perlu bijak menyesuaikan nasihat atau pandangan yang diberikan, serta berupaya memilih nasihat yang terbaik demi kebaikan diri mereka.

Persediaan Spiritual

Amalan spiritual juga dikenali sebagai amalan kerohanian. Kerohanian menurut Al-Ghazali (2000: 532) adalah merujuk kepada empat elemen kerohanian manusia iaitu al-ruh, al-qalb, al-‘aql dan al-nafs. Ini menjelaskan bahawa aspek kerohanian adalah aspek ma’nawi yang tersimpan di dalam diri manusia. Aspek ini tidak sepatutnya diabaikan dalam aktiviti pembelajaran terutama dalam kalangan mahasiswa muslim bagi menjamin kebergantungannya dengan Tuhan dalam usaha mencapai kejayaan. Hujah ini disokong oleh Mohammmad Shatar (2005: 15) yang menyatakan bahawa pengukuhan kerohanian dan aspek-aspek kerohanian mampu menyumbang kepada pembelajaran berkesan. Ia berkait rapat dengan aspek psikologi dan mental manusia dalam konteks kebergantungan manusia kepada Allah. Persediaan kerohanian termasuk sentiasa beriltizam untuk tidak meninggalkan solat dan tidak sentiasa menangguhkannya, memelihara rukun dan syarat sahnya serta bersembahyang nawafil seperti solat hajat, solat tasbih, solat syukur, solat tahajjud, solat dhuha dan sebagainya haruslah menjadi kebiasaan bagi orang yang ingin berjaya.

Setiap usaha yang dilakukan sebaik-baiknya disertai dengan doa. Dengan berdoa kepada Allah dapat memberikan satu kekuatan kepada individu yang melakukan sebarang usaha. Tiada kuasa yang paling layak bagi mendengar rintihan seorang hamba dan tiada juga yang paling layak bagi anda memohon petunjuk dan pertolongan selain daripada Allah.

Semangat keimanan dan ketakwaan menjadi penjana kepada kekuatan tubuh badan, daya intelek dan emosi. Solat sebagai satu ibadat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mengikut sunnah Rasulullah dapat melahirkan seorang mahasiswa yang seimbang fizikal, mental, emosional dan spiritual. Insyaallah.

Disediakan oleh :

Maisarah binti Mahmood,
Panel Akademik Zagazig,
Unit Akademik,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Info menarik akan datang :
Barang Keperluan Ke Mesir

Tinggalkan komen anda