Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > Tazkirah Pimpinan | Ramadhan dan Kelebihannya

Tazkirah Pimpinan | Ramadhan dan Kelebihannya

 

Ramadhan bulan yang penuh barakah kini menyapa umat islam seluruh pelusuk dunia lagi. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih lagi menganugerahkan kita kesempatan untuk merasai nikmat tarbiyyah dalam bulan ini. Ramadhan bulan tarbiyyah, bulan di mana umat islam daripada segenap lapisan umur berlumba-lumba meningkatkan kualiti mahupun kuantiti ibadah masing-masing.

Kelebihan bulan ramadhan ke atas bulan-bulan islam yang lain banyak disebut di dalam Al-quran mahupun hadis nabi s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w :

 

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.”

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi )

 

Namun begitu, kelebihan-kelebihan bulan ramadhan ini hanya mampu dikecapi umat islam yang benar-benar kuat mujahadahnya dalam menghadapi siri-siri ujian sepanjang bulan Ramadhan terutamanya dalam menjalani amalan puasa  yang merupakan amalan yang cukup sinonim pada bulan ini.

Puasa bukan bermakna kita menahan diri daripada lapar, dahaga dan apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa semata-mata akan tetapi kita seboleh-bolehnya menahan nafsu kita untuk melakukan maksiat dan dosa kepada Allah. Betapa ramai umat islam pada hari ini hanya memahami erti puasa daripada satu sudut sahaja; menahan lapar dan dahaga semata-semata tetapi masih lagi melakukan maksiat lain seperti tidak menutup aurat, mengumpat dan sebagainya.

Sirah perjuangan nabi s.a.w. dan para sahabat dalam peperangan badar yang berlaku pada bulan ramadhan boleh dijadikan sumber inspirasi kita dalam menghadapi bulan ini. Umat islam yang pada ketika itu bukan sahaja diuji daripada segi rohani malah fizikal dan mental juga. Cuaca yang panas, bilangan tentera islam yang sedikit, dan kelengkapan perang yang tidak seberapa mampu mereka hadapi dengan bekalan iman yang tinggi dan keyakinan yang kuat pada janji Allah. Jikalau umat islam pada zaman itu diuji sedemikian rupa, pada zaman kini juga ujian tidak kurang hebatnya; zaman dimana maksiat berleluasa dan melakukan dosa sudah menjadi kebiasaan dan membarah dalam masyarakat.

Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk kita mendidik jiwa kita menjadi muslim yang kuat daripada segi fizikal,mental dan rohani dan juga bulan ujian bagi setiap individu yang mengatakan dirinya beriman sebagaimana firman Allah taala dalam surah Al-Ankabut

ayat 29 :

 

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji?

Melalui bulan ramadhan dengan hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata adalah satu kerugian yang besar sedangkan bulan ramadhan dijanjikan dengan pelbagai ganjaran. Namun begitu janganlah pula kita menjadi hamba kepada bulan ini sahaja bahkan kita perlulah menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai batu loncatan dalam pengabdian kita kepada Allah pada masa-masa mendatang.

Bulan ramadhan seharusnya menjadi titik tolak bagi setiap individu muslim untuk meningkatkan lagi ibadah mereka dan mengurangkan maksiat-maksiat kepada Allah. Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan selain berpuasa adalah :

1)      Solat-solat sunat terutamanya solat terawih

2)      Perbanyakkan berzikir dan membaca Al quran

3)      Kurangkan bercakap perkara-perkara yang tidak bermanfaat

4)      Menghadiri majlis-majlis ilmu dan kuliah agama

5)      Kurangkan melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti menonton filem, mendengar musik yang melalaikan dll

6)      Perbanyakkan bersedekah

7)      Qiamullail

Terdapat banyak lagi amalan yang boleh dijadikan kelaziman sepanjang bulan ramadhan. Apa yang penting bukanlah kuantiti semata-mata malahan kualiti sebenarnya. Adakah kita istiqamah dalam amalan kita tersebut ataukah amalan tersebut berakhir seiring dengan berakhirnya bulan ramadhan? Jawapannya ada dalam diri kita masing-masing. Justeru itu, marilah kita sama-sama kuatkan iman kita untuk meneruskan perjuangan berhadapan ujian-ujian sepanjang bulan Ramadhan ini agar Ramadhan tahun ini lebih baik daripada sebelum ini kerana boleh jadi ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita.

 

Disediakan oleh :

Nurul Fatin Ajlaa Shaari
Bendahari
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda