Home > Menu > Karya > Artikel > Sya’ban : Persediaan Terakhir Menjelang Ramadhan

Sya’ban : Persediaan Terakhir Menjelang Ramadhan

Sya’ban : Persediaan Terakhir Menjelang Ramadhan

1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan

3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

  • Memperbanyakkan puasa sunat.
  • Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.
  • Bertaubat
  • Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Amalan yang digalakkan di dalam bulan Sya’ban

1.Memperbanyakkan puasa sunat

 Dari Aisyah r.a katanya:

“Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda tidak akan berbuka. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.” (Riwayat Imam Bukhari)

Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas r.a. dia berkata:

“Nabi s.a.w. ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa?” Nabi SAW menjawab, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan”. 

Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.

2.Memperbanyakkan doa, zikir dan selawat kepada Nabi SAW

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab  Zubdatul Wa’izhin) 

Doa yang biasa diamalkan Nabi SAW sebelum menjelang bulan Ramadhan 

للهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضانl
“Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan”

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan.”

3.Bertaubat dan Meraikan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat

Pada hari ke-14, masuknya malam 15 Syaaban.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun (merahmati hamba-hamba-Nya) pada waktu itu mulai terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah SWT berfirman: “Siapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki, maka aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala aku akan melepaskannya. Adakah daripada kalangan mereka begini dan adakah daripada kalangan mereka begini (berturutan pertanyaan daripada Allah) sehingga terbit fajar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 

Hukum menghidupkan Malam Nisfu Sya’ban

Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir menyatakan harus menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana malam tersebut mempunyai kelebihan yang istimewa.

Hukumnya adalah harus. Sesiapa yang ingin menghidupkan malam nisfu Syaaban ada hujah-hujah yang mengharuskan. Manakala bagi pihak yang tidak mahu menghidupkannya, terpulang kerana hukumnya adalah harus, bukan wajib. Mereka yang melakukan dapat pahala sunat, dan yang tidak melakukan tidak berdosa.

Ini perlu kita fahami dengan jelas agar kita tidak beramal secara membuta-tuli.

Yang tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, adalah melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.

Kerana tidak disebut kewajipan atau pengkhususan ibadat seperti bacaan surah yaasin, sembahyang sunat, tazkirah dan sebagainya. Namun tidak dihalang untuk menghidupkannya dengan amalan-amalan sunat yang umum.

Sesetengah tempat dalam kalangan umat Islam menghidupkannya dengan menyampaikan tazkirah dan ada yang membuat bacaan yaasin. Amalan ini boleh dilakukan dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya.

Justeru, amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan saja pada malam Nisfu Syaaban, tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakannya pada bila-bila masa siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan bertepatan dengan hukum syara’, maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak! 

Tinggalkan komen anda