Home > Biro PCZ > Biro Perumahan > SAKURA, Ke Arah Menjadi Suri Sejati

SAKURA, Ke Arah Menjadi Suri Sejati

Zagazig, 5 Julai – SAKURA (Selami Alam Kelengkapan Untuk Rumah Anda) merupakan program pertama anjuran Unit Perumahan PCZ 2012. Program yang dikhususkan untuk akhawat ini mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada akhawat Zagazig yang masing-masing mencipta impian untuk menjadi suri sejati yang arif dalam segenap aspek pengurusan rumahtangga.

SAKURA membuka tirai dengan bacaan doa oleh saudari Syafi’ah Mohamad dan kemudiannya diteruskan oleh ucapan Pengarah program iaitu saudari Noor Farihah Bt Mokhtar.

Slot pertama SAKURA pada hari itu adalah “HOME’S TALK” yang dikendalikan oleh ibu muda Puan Zukhurful Aina Bt Jamnul Azhar yang membicarakan mengenai seorang tokoh yang hebat iaitu junjungan mulia RASULULLAH S.A.W dalam aspek kehidupan seharian Baginda dalam pengurusan rumahtangga dan juga pemakanan Baginda. Banyak input berguna yang telah diperoleh, antaranya adalah “RASULULLAH S.A.W melarang keras umat Baginda makan menggunakan tangan kiri kerana itu disifatkan sebagai orang yang sombong.”

Seterusnya, para peserta diberikan rehat selama setengah jam. Rohani para peserta telah disegarkan dengan solat berjemaah. Kemudian, para peserta dihidangkan pula dengan jamuan makan tengahari yang telah disediakan. Semasa rehat juga para peserta telah berpeluang untuk meninjau booth pameran alat perumahan yang disediakan serta membeli makanan jualan daripada Unit Ekonomi.

Slot kedua yang diberi nama “MISS MAINTAINER” atau slot penyelenggaraan telah diteruskan pada jam 1 tengahari. Slot ini telah dikendalikan oleh mentor-mentor yang hebat dalam penyelenggaraan tertentu seperti pemasangan gas, mentol lampu dan juga penyelenggaraan sinki. Para peserta telah dibahagikan kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan bergilir-gilir mengunjugi stesen yang telah ditetapkan.

Selain itu, para peserta juga telah diberikan peluang oleh para mentor untuk membuat praktikal dan mempraktikkan apa yang diajar setelah selesai slot teori. Para peserta kelihatan cukup teruja apabila lampu mentol menyala setelah mereka cuba memasangnya.

Seterusnya, slot ketiga yang merupakan slot yang paling dinantikan oleh para peserta bermula pada jam 2 petang. Slot “THE CHEF” atau kelas masakan ini telah diajar oleh 2 adik beradik yang hebat dalam dunia masakan. Menu yang telah diajar adalah ‘apple crumble’ dan juga ‘tuna pie’. Apa yang menariknya, para peserta juga telah berpeluang untuk merasa sendiri makanan tersebut.

Akhir sekali, slot yang menjadi penutup kepada SAKURA pada hari itu adalah slot tambahan iaitu kelas kreativiti yang mana para peserta telah diajar cara untuk membuat ketupat dengan menggunakan kertas. Pelbagai jenis ketupat yang jarang kita dengar namanya telah diketahui contohnya seperti ketupat lembu, ketupat katak dan pelbagai lagi.

SAKURA akhirnya melabuhkan tirai dengan acara pembahagian hadiah kepada semua mentor yan terlibat dalam menjayakan SAKURA. Jelas kelihatan kegembiraan terpancar di wajah setiap peserta. Namun,apa yang penting, program SAKURA yang berlangsung telah mencapai objektif utama yang disasarkan oleh Unit Perumahan PCZ 2012 iaitu melahirkan suri sejati yang mahir dalam segenap aspek kehidupan rumahtangga.

Disediakan oleh,

AMILA SYAZNI BT MOHD ASHARI
Setiausaha Program Sakura 2012.

Tinggalkan komen anda